Halaman

13 November 2012

Pakej menarik tarik pelancong berkualiti

Oleh: Noraini Jusoh

Tawaran pakej yang merangkumi semua sektor dapat menarik lebih ramai pelancong berkualiti terutamanya dari Eropah datang ke negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata pelancong berkualiti yang dimaksudkan ialah pelancong yang datang ke sini dan berbelanja sekaligus dapat menjana ekonomi rakyat negeri Terengganu.

“Sebelum membuat keputusan untuk melawat sesuatu tempat, perkara utama yang dinilai oleh para pelancong adalah pakej yang ditawarkan.

“Dengan adanya pelbagai pakej menarik yang menanti mereka termasuk di pulau-pulau dan tasik, selain aspek-aspek warisan, kebudayaan dan alam semulajadi yang terdapat di Terengganu tidak mustahil akan menarik ramai pelancong asing datang ke sini sempena TMT 2013 nanti,”ujarnya.

Katanya, sekiranya pakej pelancongan yang ditawarkan menarik, para pelancong tidak akan menolak untuk datang ke sini ditambah lagi dengan harga pakej pelancongan di negara kita yang jauh lebih murah jika dibandingkan dengan negara luar.

“Terengganu yang sememangnya kaya dengan khazanah alam semulajadi memudahkan usaha kerajaan negeri membangunkan tempat-tempat menarik seperti Tasik Kenyir, Pulau Perhentian dan sebagainya pakej pelancongan unik untuk pelancong,” katanya kepada sidang media sempena majlis perasmian penutup dan penyampaian sijil seminar pembangunan pakej-pakej pelancongan sempena TMT 2013, semalam.

Katanya, walaupun tidak dapat ke pulau-pulau menarik di negeri kita apabila musim tergkujuh tiba, Tasik Kenyir contohnya dapat menjadi tarikan alternatif kepada pelancong untuk datang ke sini.

Menurut beliau, selain pakej pelancongan yang ditawarkan mesti menarik, aspek keselamatan pelancong juga perlu diberi perhatian. Selain itu, beliau juga berharap setiap pelancong yang datang ke Terengganu sempena TMT 2013 nanti akan diberikan cenderamata sebagai kenangan.