Halaman

16 November 2012

Hijrah tidak berlaku jika tidak bersedia

 Oleh: Suriati Ali

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said memberitahu hijrah tidak akan terjadi sekiranya umat Islam belum bersedia mengorbankan tabiat buruk kepada sifat lebih mulia dan berakhlak .

 “Kita juga tidak boleh terlalu mengejar dunia sehingga mengabaikan akhirat, begitu juga sebaliknya, apapun biarlah seimbang.

 “Sebagai contoh, tidak mahu berkahwin kerana ada yang menganggap perkahwinan itu hanyalah mainan dunia sehingga boleh melalaikan tanggungjawab kepada pencipta,” katanya ketika berucap Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis itu yang turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Khazan Che Mat dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh.

Sambutan Maal Hijrah yang bertemakan `Wassatiyah Tonggak Kesatuan Ummah’ itu menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah kepada Dato’ Ismail Ali dan Tokoh Keluarga Mithali pula, Haji Mohd Ismail, 74 bersama pasangannya Teh @ Mariam Abdullah, 70 dari Kampung Pak Madah, Marang.

Manakala Tokoh Saudara Kita dianugerahkan kepada Mohd Ridzuan Ang Abdullah; anugerah Masjid Mukim terbaik (Masjid Kampung Bukit Chempaka) dan Masjid Kerajaan Terbaik dimenangi Masjid Bukit Payong.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, kerajaan negeri meluluskan kenaikan imbuhan jurumandi mayat daripada RM60 kepada RM100, manakala imbuhan kepada pembantunya pula daripada RM30 kepada RM60.

“Pendekatan seumpama ini mampu mendorong individu lain untuk turut mendalami ilmu berkaitan pengurusan jenazah,” katanya