Halaman

12 November 2012

Jelajah Qatar penentuan 10 pelumba TSG ke LTdL


Perlumbaan Jelajah Qatar 2013 akan menjadi kayu pengukur kepada pasukan Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) untuk memilih pelumba ke Jelajah Le Tour de Langkawi (LtdL), Februari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Encik Hadi Hassan, berkata mereka akan menghantar sekurang-kurangnya 10 pelumba bagi menghadapi saingan Jelajah Qatar dari 3 hingga 8 Februari depan.

Katanya Jelajah Qatar, yang setaraf dengan LTdL, akan menjadi medan untuk TSG menilai prestasi pelumba sebelum menghadapi LTdL 2013 dari 21 Februari hingga 2 Mac depan.

Selain Jelajah Qatar, beliau berkata sekiranya ada kesempatan dan masa, mereka akan menghantar pelumba ke Jelajah Oman dari 12 hingga 17 Februari depan.

 Sekembali dari Jelajah Qatar, TSG akan mengadakan jelajah Malaysia selama seminggu bermula di Perlis dan berakhir di Terengganu dengan menggunakan laluan LTdL sebagai persiapan akhir menghadapi LTdL.

Katanya Chiang Rai, Thailand, dipilih sebagai lokasi latihan skuad TSG bulan depan bagi menghadapi LTdL kerana wilayah utara negara itu mempunyai kawasan landai dan berbukit dan sesuai untuk menjalankan latihan akhir.