Halaman

16 November 2012

Sultan Terengganu menitahkan agar peranan dan imej masjid dipulih

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agar peranan dan imej masjid dipulihkan semula bagi menjadikan rumah ibadat itu institusi yang bersih dan indah serta berperanan sebagai penggerak utama dalam proses perubahan sikap ummah bagi mendidik masyarakat yang wasatiyyah.



Sehubungan itu, baginda tidak mahu masjid-masjid di negeri ini bertukar menjadi simbol perbualan negatif seperti persekitaran yang kotor, tidak terurus, tiada pengunjung dan tiada pengajaran agama kepada anak mukim.


“Bersempena sambutan Maal Hijrah dan perasmian masjid ini, adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk memelihara imej masjid sebagai Rumah Allah yang mulia dan suci,” titah baginda sewaktu menyampaikan titah ucapan perasmian Masjid Khalifah, Taman Jaya, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Awang; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Kazan Che Mat; ketua-ketua jabatan dan pembesar negeri.

Sultan Mizan bertitah masjid merupakan lambang kesatuan dan perpaduan di mana ia mengatasi perbezaan yang berasaskan bangsa, bahasa, ideologi dan warna kulit.

“Beta berharap seluruh rakyat Negeri Terengganu Darul Iman ini mematuhi dan menghayati apa yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w mengenai peranan dan fungsi masjid itu sendiri,” titah baginda.