Halaman

21 December 2012

Pemuda UMNO Besut dekati masyarakat



Oleh: Mohammad Ishak 

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Besut menggerakkan jenteranya dengan menyertai program turun padang mendekati masyarakat khususnya golongan yang memerlukan bantuan.

Usaha itu selaras dengan matlamat Pemuda untuk mendampi rakyat selain menyampai bantuan kepada mereka yang memerlukannya.

Timbalan Ketua Pemuda, Kamarulzaman Idris berkata, program terbaru disertai pemuda ialah mengadakan kunjungan ke rumah penduduk yang ditimpa kemalangan dan menghadapi penyakit.

Semalam, Pemuda Besut menyertai Program Cakna Pemuda bersama Pejabat Penyelaras DUN Hulu Besut dan Pejabat Penerangan Daerah Besut.

Ketika mengadakan program di Kampung Pasir Akar, Pemuda turut menyampaikan cek RM16,250 kepada seorang pesakit,Anuar Muhamad serta menyampaikan kerusi roda kepada seorang pesakit lelaki berumur 14 tahun yang terlantar akibat kemalangan.

Katanya, pihaknya juga mendapat kerjasama dan sokongan melalui Dana Sosial Kerajaan Negeri Terengganu bagi menyampaikan bantuan kepada dua pesakit terbabit.

Kamarulzaman berkata, Pemuda juga merancang lebih banyak program berbentuk kemasyarakatan dan akan sentiasa turun padang bersama pemimpin setempat.

Beliau berharap, jentera ajkan umbi termasuk pemuda cawangan mengenapasti mereka yang memerlukan bantuan di kampung masing-masing untuk disenarai dan pertimbangan bagi pemberian bantuan mengikut keperluan masing-masing.

Persiapan pertandingan kebersihan dan keceriaan kampung



Oleh: Mohammad Ishak 

Penduduk enam kampung daerah Besut yang terpilih mewakili daerah itu ke Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Kampung Peringkat Negeri Terengganu 2012 giat menjalankan aktiviti gotong royong bagi membersih dan mengindahkan kampung masing-masing.

Kampung terbabit mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukiut Payong, Kayu Kelat, Gong Gucil, Amer Hilir, Lay Out Tok Saboh dan Perumahan Awam Seberang Jertih.

Berikutan itu, penduduk menjalankan kerja gotong royong untuk menghias kampung masing-masingg dengan pelbagai bentuk hiasan serta membina replica dan tugu berlambangkan identi kampong terbabit.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata bagi menjayakan iprogram tu pihaknya meminta kerjasama jabatan terbabit untuk membantu JKKK dalam melaksanakan kewrja-kerja mengindahkan kampung.

Antara jabatan yang terbabit ialah Majlis Daerah Besut, Jabatan Perhutanan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pertanian.

A Rahim berkata, beliau gembira sambutan yang diberikan oleh JKKK yang terpilih menyertai pertandingan itu kerana sebahagian besarnya berminat dan bersungguh-sungguh untuk mencari kemenangan.

“Adalah menjadi harapan pejabatnya supaya ada dikalangan kampong di daerah itu akan tersenarai pada peringkat akhir dalam pertandingan anjuran Kerajaan Negeri,” katanya.

Jadual lawatan TPM ke Terengganu

Jadual Lawatan YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke Terengganuu pada 22 Disember 2012 (Sabtu).

22 DISEMBER 2012 (SABTU)

8.30 pagi : Ketibaan YAB Timbalan Perdana Menteri di Lapangan Terbang Sultan MAhmud, Kuala Terengganu.

10.30 pagi : Jamuan Rakyat 1Malaysia Parlimen Hulu Terengganu di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir.

Aturcara : - Ucapan Aluan Ketua Bahagian Hulu Terengganu

- Ucapan YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu

- Ucapan YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia

- Penyerahan Bantuan Pentadbiran oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia - Penyerahan Bantuan Sekolah

- Jamuan Makan Tengahari - Sidang Media

1.30 petang : Perjumpaan Khas YAB Timbalan Perdana Menteri Bersama Pegawai Pengurusan Tertinggi & Profesional di Auditorium 1, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu. (Program Tertutup)

4.00 petang : Majlis Sepetang Bersama YAB Timbalan Perdana Menteri dengan Penghulu, Ketua Kampung, JKKK, Imam dan Bilal seluruh negeri Terengganu di Dewan Arena, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Aturcara :

- Ucapan YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu

- Ucapan YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia

- Sesi Dialog

- Penyerahan Bantuan Pentadbiran oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia

- Bersurai

 6.00 petang : YAB Timbalan Perdana Menteri berlepas balik dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Meja bulat dan meja buloh setia menanti TPM

Oleh: Suriati Ali

 Meja bulat dan bangku terpanjang berukuran 65 meter diperbuat daripada buluh sekali lagi dicipta penduduk kampung Manir bagi menanti tetamu istimewa Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin esok

. Rekabentuk unik itu pernah diiktiraf terpanjang di negara ini sekaligus mencatat dalam Malaysia Book Of Record (MBOR) sewaktu lawatan kerja Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, pada Mei tahun lalu.

 Hasil kerja tangan penduduk kampung yang dibina secara bergotong-royong sejak dua minggu lalu itu akan menjadi tempat utama Timbalan Perdana Menteri bersama tetamu kehormat yang lain menikmati jamuan makan tengahari bersama 20,000 rakyat yang membanjiri program Perjumpaan dan Mesra Rakyat di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, semalam.

Selain meja dan bangku buluh, pentas utama juga dibina secara tradisional dengan dinding dan lantai menggunakan material kayu nibung, manakala atap dihasilkan daripada daun pokok sagu.

 `Gelombang Kebangkitan DUN Manir’ akan turut dilancarkan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sempena lawatan kerja beliau ke Terengganu.

 Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam, berkata ketibaan Tan Sri Muhyiddin bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan disambut lebih 1,500 pemuda Umno bermotosikal. 

Manakala 1,000 pelajar dari empat sekolah rendah dan menengah berdekatan dan masing-masing 50 kenderaan pacuan empat roda dan motosikal klasik akan turut menyambut ketibaan dua pemimpin itu.

 “Timbalan Perdana Menteri kemudian akan dibawa menziarah penduduk Hassan Tahir yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi serta merasmikan Rumah Rehat 1Malaysia di kampung sama.

 “Pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk penyampaian bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, bantuan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana dan penyampaian cek kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya.

 Menurut Encik Yusof, apa yang istimewanya meja bulat dan bangku buluh berukuran 65 meter yang pernah menjadi tempat utama Perdana Menteri menjamu selera pada tahun lalu turut direka cipta penduduk tempatan.

" Hasil kerja tangan penduduk kampung yang dibina secara bergotong-royong sejak seminggu lalu itu kini hampir siap dan hanya menunggu masa untuk digunapakai,” katanya.

 

Kampung Bukit Rhu Rendang gotong royong buat bubur asyura

Oleh : Amirullah Othman 

Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung dan Kawalan Rukun Tetangga Kampung Bukit Rhu Rendang berganding bahu menjalankan aktiviti gotong royong memasak bubur asyura sebanyak empat kawah untuk dibahagikan kepada semua penduduk sekitar, semalam.

Seramai 200 orang penduduk kampung bergotong royong untuk menyiapkan bubur asyura yang bermula jam 7 pagi hingga 12 tengahari di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Rhu Rendang.

Penduduk di empat Taman dalam kawasan Rhu Rendang gembira kerana dikunjungi pemimpin JKKK dan KRT Kampung Bukit Rhu Rendang yang turut membahagikan bubur asyura kepada setiap rumah.

Ini merupakan program yang sangat baik bagi menjalinkan hubungan akrab antara penduduk kampung dengan pemimpin setempat supaya setiap permasalahan dapat disampaikan secara terus kepada pimpinan akar umbi.

Jusoh Abdul Rahman, 56, amat gembira kerana suasana orang lama iaitu amalan gotong royong yang telah diamalkan sejak dahulu lagi tidak hilang di telan zaman dan ia dibuktikan melalui program gotong royong yang telah dijalankan oleh JKKK dan KRT Kampung Atas Bukit Rhu Rendang.

Program ini turut dihadiri oleh Pegawai Pembangunan Dun Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku yang mahukan semua pimpinan akar umbi sama-sama memainkan peranan dalam memberikan bakti yang tulus dan ikhlas kepada rakyat.


Jualan kembali ke sekolah bermula

Oleh; Esah Abdullah

Terdapat kira-kira 100 premis kedai dan pasaraya di seluruh negeri ini menyertai Jualan Kembali Ke Sekolah (JKKS) sempena musim cuti persekolahan selama sebulan bermula 1 Disember ini.

Timbalan Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Encik Ab Ghani Harun berkata, sempena jualan itu premis berkenaan menawarkan potongan antara 20 hingga 30 peratus pakaian sekolah berbanding di premis lain.

Katanya, pengguna perlu merebut peluang untuk mendapatkan harga yang isitmewa bagi pakaian, kasut dan beg sekolah anak-anak mereka.

"Jualan itu merupakan aktiviti tahunan kementerian dalam usaha membantu orang ramai membeli keperluan sekolah dengan harga yang menarik," katanya selepas melancarkan Jualan Kembali Ke Sekolah di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) semalam.

Beliau berkata, daripada 100 premis yang menyertai jualan itu, 60 daripadanya menjalankan perniagaan di TTC yang bermula semalam sehingga 31 Disember ini.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, sehingga ini pihaknya belum menerima sebarang aduan daripada orang ramai yang mengadu harga pakaian sekolah yang ditawarkan mahal. Bagaimanapun pihaknya sentiasa memantau premis terbabit untuk memastikan tidak berlaku penipuan.

 

TESDEC lahir usahawan penyelenggaraan automotif

Oleh :Amirullah Othman

Berbekalkan ilmu teori dan praktikal yang ditimba selama tiga tahun di Kolej TESDEC, dua pemuda lepasan program Diploma of Engineering Technology in Automotive Maintenance (DET(AMT)) kelolaan Kolej TESDEC menceburi bidang perniagaan penyelenggaraan automotif dengan membuka sebuah bengkel servis kenderaan di Binjai Rendah.

 “Kami mengikuti program DET(AMT) di Kolej TESDEC ketika ia mula-mula diperkenalkan pada bulan Julai 2009 dulu.

 Pada mulanya, kami agak ragu-ragu kerana DET(AMT) adalah program akademik, namun setelah beberapa semester kami mendapati aspek praktikalnya banyak membimbing kami dan memberi keyakinan kepada kami untuk menceburkan diri ke alam perniagaan,” kata Muhammad NurIzzudin Ramli di bengkel KMJ Auto Service yang dibukanya bersama-sama rakan sekursus, Wan Mohd Helmiezie Wan Hamid.

Setelah mengikuti pengajian selama tiga tahun di Kolej TESDEC, NurIzzudin dan Wan Helmiezie akhirnya dianugerahi diploma oleh Universiti Kuala Lumpur di majlis Konvokesyen di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya, pada bulan Oktober lalu.

 Ketika ditanya mengapa dia terdorong untuk membuka bengkel servis kereta, NurIzzudin memberitahu bidang servis kenderaan mempunyai peluang cerah untuk maju memandangkan bilangan kereta yang makin bertambah setiap hari dan tabiat pemilik kereta yang menyelenggara kereta mereka secara tetap bukannya menunggu kerosakan berlaku.

“Kebanyakan pemilik kenderaan masa kini kurang maklumat bahawa menyelenggara kenderaan memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi sejajar dengan perkembangan dunia automotif.

 “Kenderaan zaman kini mempunyai sistem elektronik yang canggih dan juga ciri-ciri keselesaan dan keselamatan yang tinggi.

 Oleh itu, kita tidak mampu menyelenggara sesebuah kenderaan jika sekadar dilatih sebagai mekanik biasa,” ujar NurIzzudin.

 “Lagipun, salah satu mata pelajaran yang diajar di bawah program DET(AMT) ini ialah keusahawanan. Jadi sedikit sebanyak ilmu yang diperoleh daripada mata pelajaran ini boleh digabung jalindengan kemahiran praktikal yang banyak memberi keyakinan kepada kami untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” celah Wan Helmiezie.

Kolej TESDEC memperkenalkan program DET(AMT) secara kerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur di kampus Kolej di Kawasan Perindustrian Bukit Khor, Marang bermula sesi pengambilan Julai 2009.

Melalui kerjasama ini, Universiti Kuala Lumpur ‘memfrancaiskan ’program DET(AMT)-nya kepada Kolej TESDEC.

 Keseluruhan pengendalian program ini dikelolakan Kolej TESDEC sementara Universiti Kuala Lumpur menjalankan pemantauan berkala dari segi kualiti dan menganugerahi diploma kepada pelajar yang berjaya.

“Walaupun ini merupakan program pertama diperkenalkan oleh Kolej TESDEC secara kerjasama dengan sebuah universiti teknikal tempatan yang ternama, rekod menunjukkan kita berjaya melakukannya dengan cemerlang.

 “Program ini sudah memperoleh akreditasi penuh dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebelum pelajar sulungnya tamat pengajian.

 Di samping itu, 12 orang daripada 15 orang graduan sulungnya telah memperoleh pekerjaan setelah tamat pengajian dan dua orang yang lain diterima melanjutkan pengajian di peringkat ijazah oleh Universiti Kuala Lumpur”, kata Abdul Razak Bin Mohamed,

Pengurus Akademik dan Latihan Kolej TESDEC apabila ditanya lebih lanjut tentang program yang mendorong NurIzzudin dan Wan Helmiezie menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

 Pada masa ini, terdapat 108 orang pelajar yang sedang mengikuti program DET(AMT) di Kolej TESDEC. Seramai 20-25 orang lepasan SPM atau kelayakan kemahiran mendaftar masuk pada setiap pengambilan iaitu pada bulan Januari dan Julai setiap tahun.

Program ini bercirikan gabungan aspek teori dengan praktikal (hands-on) dalambidang penyelenggaraan automotif.

 Di samping mata pelajaran teknikal dalam bidang automotif, pelajar DET(AMT) juga mengambil matapelajaran bahasa-bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Perancis serta Keusahawanan.

Pelajar mengikuti kelas-kelas di bengkel dan bilik kuliah selama lima semester dan seterusnya menjalani latihan industry pada semester terakhir (keenam).

 

Nekad anak petani cipta kejayaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Nekad seorang pelajar mahu mengubah nasib keluarga pada masa depan berhasil apabila mendapat 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan, kelmarin (19 Disember).



 Anak sulung daripada empat beradik, Anis Syahirah Mohd Shafie, 15, belajar dengan gigih walaupun hidup dalam serba kekurangan sehingga mampu mencipta kejayaan yang turut menggembirakan kedua ibu bapanya, Wan Kalifatra Mat Ali, 41 dan Mohd Shafie Ismail, 41 serta seluruh warga sekolahnya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mizan, Kuala Terengganu itu menjadikan kesusahan hidup mereka sekeluarga yang hanya bergantung kepada sumber pencarian bapanya sebagai petani sebagai inspirasi untuk meraih kejayaan itu.

 “Saya mahu mengubah nasib keluarga dan mahu membalas jasa bapa yang sanggup membanting tulang di sawah dan menanam pelbagai sayu-sayuran untuk dijual sebagai mata pencarian untuk menyara dan menyekolahkan kami adik beradik.

 “Selepas ini, sebagai anak sulung dan ikutan kepada adik-adik yang lain saya mahu terus membuat yang terbaik dalam pelajaran dan berjaya menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran bagi mencapai cita-cita bergelar doktor,” katanya.

Anis yang memperolehi 6A 2B ketika peperiksaan percubaan PMR menerapkan kaedah belajar dengan mengulangkaji secara konsisten, selain sentiasa solat hajat dan tahajud bagi memohon keberkatan dalam setiap usahanya.


Sementara itu, Pengetua SMK Tengku Mizan, Haji Ismail Khusri, berbangga dengan prestasi memberangsangkan yang dihasilkan pelajarnya pada PMR kali ini.

 “Seramai 14 pelajar saya berjaya memperolehi semua A, meningkat lima orang berbanding tahun lalu. Ini semua usaha padu guru, pelajar dan juga sokongan tidak berbelah bahagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah yang dipengerusikan YB Ustaz Khazan Che Mat (Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit),” katanya.

Katanya, Gred Purata Sekolah sedikit merosot, bagaimanapun dua mata pelajaran mencapai 100 peratus minimum D, iaitu Kemahiran Hidup dan Bahasa Arab.





20 December 2012

Program gemilang siswa di Tesdec

Oleh: Noraini Jusoh


Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) hari ini telah mengadakan Program Gemilang Siswa IPTA/IPTS 2012 peringkat Negeri Terengganu bertempat di Kampus Induk Kolej Tesdec, Marang.


Penolong Pengarah JPNT, Encik Mohd Iskandar Jaafar berkata, program yang kali ketiga dianjurkan ini berkonsepkan turun padang untuk mendekati golongan sasaran.

"Tujuan utama program ini adalah untuk mendekati dan memberi pemahaman kepada pelajar kolej ini berhubung dengan dasar-dasar kerajaan khasnya Gagasan 1Malaysia.

 "Selain itu, ia juga bertujuan menyampaikan maklumat berkaitan isu-isu semasa kepada mereka melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan,” ujarnya di sidang media selepas selesai program tersebut.


 Katanya, program yang bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir 12 tengahari tersebut dipenuhi dengan aktiviti yang dapat memupuk semangat patriotisme di kalangan pelajar.



"Antara aktiviti yang disertai oleh lebih kurang 200 orang pelajar pada hari ini termasuk senam seni 1Malaysia, sudut patriotik, aktiviti dalam kumpulan serta ceramah 1Malaysia,” ujarnya.

Difahamkan, Program Gemilang Siswa merupakan kesinambungan daripada Program Kembara Kampus yang pernah diperkenalkan Jabatan Penerangan pada tahun 2010 untuk mendekati golongan mahasiwa dan mahasiswi di seluruh negara.



 







Amanat Hadi wajar ditolak, ditarik balik

Analisis berita oleh: Kamarudin Mat Akib 

Memang wajar semua pihak menolak Amanat Hadi yang dikeluarkan pada tahun 1981 kerana banyak fakta yang terkandung dalam amanat itu bukan saja menyalahi syarak, tetapi juga mendatangkan terlalu banyak keburukan.

Bermula sejak amanat itu dikeluarkan dan disebar secara meluas bagi kepentingan politik Pas, hingga sekarang ini tidak ada satu pun kebaikan ke arah menyatupadukan ummah.

Sejak berpuluh-puluh tahun lalu amanat tersebut menghantui masyarakat Melayu dan Islam, tidak ada sebarang faedah ia dikeluarkan, sebaliknya apa yang berlaku amanat itu telah menyumbang ke arah memecah-belahkan masyarakat dan menimbulkan huru-hara di seluruh negara.

Kemuncak amalan karut yang dipegang ahli-ahli dan pengikut Pas, Amanat Hadi telah menyebabkan berlakunya pertumpahan darah Peristiwa Memali pada 19 November 1985 yang mengorbankan 14 orang penduduk tempatan.

Berapa ramai kaum keluarga yang berpecah akibat amanat itu, tidak terhitung. Berapa ramai pasangan yang bercerai kerana amanat itu, tidak terbilang.

Berapa ramai bapa dan anak tidak bertegur sapa kerana amanat itu, tidak terkira. Laporan Berita Harian hari ini yang memetik pengakuan bekas ahli Dewan Ulama Pas, Prof Madya Mohd Noor Deris, amat menyedihkan masyarakat Islam.

Pengakuan dari hati yang tulus bekas pemimpin Pas itu membuktikan betapa amanat itu merupakan ajaran sesat yang sengaja disebarkan dan digerakkan untuk menggulingkan Kerajaan Barisan Nasional (BN), amat mengejutkan semua pihak.

Kita semua dikejutkan dengan pengakuan Prof Madya Mohd Noor bahawa Amanat Hadi tidak lain tidak bukan semata-mata bertujuan menghasut para pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menggulingkan kerajaan yang dianggap kafir.

Malah, beberapa gerakan berhaluan kiri dan militan telah digerakkan pada awal pengenalan Amanat Hadi bagi meniupkan ras benci rakyat, khususnya para pelajar IPT supaya membenci kerajaan dan pemimpin Umno dan BN yang tidak bersalah.

Kini masih ramai pengikut dan penyokong Pas masih berpegang teguh kepada Amanat Hadi kerana tidak ada sebarang langkah daripada pemimpin Pas untuk menarik balik amanat tersebut.

Mohd Noor yang membuat pengakuan bahawa beliau berada dalam keadaan sesat ketika membantu menyebarkan amanat tersebut bersama-sama pemimpin Pas lain, termasuk Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, telah kembali ke pangkal jalan dan bertaubat.

Sepatutnya langkah itu dicontohi semua pemimpin Pas dan Abdul Hadi sendiri, demi bagi menyelamatkan akidah umat Islam yang terpesong akibat ajaran songsang itu.