Halaman

27 December 2012

Maidam berjaya kutip zakat RM98.3 juta

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah berjaya mengutip RM98.3 juta sehingga 26 Disember tahun ini di mana zakat pendapaan merupakan penyumbang tertinggi dengan jumlah kutipan RM 37.4 juta diikuti zakat perniagaan (RM30 juta) dan zakat simpanan (RM18.2 juta).


Yang Dipertua Maidam, Dato’ Bentara Luar Dato’ Omar Pilus berkata, Maidam mensasarkan jumlah kutipan zakat RM100 juta tahun ini.

Katanya, sebanyak RM80.5 juta telah dikeluarkan bagi agihan zakat dan jumlah tertinggi ialah untuk golongan miskin (RM30.4 juta) diikuti fisabilillah (RM24.9 juta).

“Maidam juga telah memperluaskan bantuan khusus kepada golongan faqir dan miskin dengan memberi bantuan pembinaan rumah baru dengan kos RM38,000 setiap unit,” katanya kepada pemberita di majlis Penyerahan Zakat Bank Islam Malaysia Berhad kepada Maidam di Pejabat Maidam Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh dan Pengurusan Besar Bank Islam, Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh.

Katanya, sehingga Disember tahun ini sebanyak 30 buah telah berjaya dibina di bawah skim baru ini manakala bantuan baiki rumah masih diteruskan.

Selain itu katanya, Maidam juga telah membelankan hampir RM10 juta khusus untuk bantuan pendidikan sekolah menengah dalam bentuk seragam sekolah, baucer makanan waktu rehat, tambang bas serta yuran asrama membabitkan 24,572 pelajar dari 366 buah sekolah seluruh negeri.

“Seramai 2,121 orang golongan yang sudah tidak produktif juga telah menerima bantuan antara RM250 hingga RM450 sebulan,” katanya.

Pada majlis itu, Bank Islam yang diwakili Dato’ Wan Ismail telah menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM324,938 kepada Dato’ Bentara Luar yang mewakili Maidam.

Sehubungan itu Bank Islam telah menunaikan zakat perniagaannya setiap tahun sejak beroperasi di negeri ini yang berjumlah RM272,000 (2009), RM385,000 (2010) dan RM390,000 tahun lalu (2011).

Selain itu hasil kerjasama yang terjalin dengan Bank Islam, Maidam berjaya membina 37 unit rumah teres kos rendah dengan kos RM1.4 juta di Banggol Peradong, Manir untuk golongan faqir dan miskin yang telah siap sepenuhnya awal tahun ini.

 

GPMS anjur malam integrasi nasional

Oleh: Noraini Jusoh

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri Terengganu akan menganjurkan Malam Integrasi Nasional di Dewan Besar Kolej Multimedia Telekom, Rusila, Marang, pada 28 Disember 2012 ini.

Pengerusi GPMS negeri Terengganu, Ahmad Izani Abdul Ghani berkata, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka merasmikan program yang berkonsepkan 1Malaysia itu nanti.

"Program ini akan menghimpunkan kira-kira 200 orang kaum Melayu dan Cina di bawah satu bumbung yang bertujuan untuk memupuk semangat integrasi dan memberi ruang kepada mereka untuk berinteraksi dan bersosial sesama mereka.

"Justeru, melalui program ini diharapkan dapat mengukuhkan lagi perpaduan kaum antara masyarakat Melayu dan Cina khususnya di negeri ini,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Katanya, pada program yang lebih berbentuk santai itu nanti para tetamu juga akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan oleh wakil setiap kaum.

Menurut Ahmad Izani, sudah menjadi matlamat GPMS untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia dan beliau mengharapkan semangat 1Malaysia akan terus dipertahankan demi keamanan negara tercinta.

 

NGO sertai gotong royong bersih masjid dilanda banjir


YB Datuk Seri Idris Jusoh menyembur air bersih simen masjid

Oleh: Mohammad Ishak

Seramai 100 peserta mewakili pelbagai badan bukan kerajaan dan jabatan kerajaan menyertai gotong royong membersih Masjid Kampung Padang Bual,Hulu Besut yang dilanda banjir teruk kelmarin.

Selepas dilanda banjir teruk menyebabkan banyak rumah dan kemudahan awam dicemari lumpur penduduk daerah Besut yang terjejas dengan bencana banjir mula mengadakan gotong royong membersih rumah dan tempat awam.

Belia MAYC dan Briged Tani bergabung tenaga menjalankan aktiviti membantu komuniti yang terbabit dalam kejadian banjir kelmarin.

Masjid Kampung Padang Bual,Hulu Besut, yang terjejas teruk dengan banjir menjadi lokasi pertama gabungan NGO berkenaan mengadakan gotong royong membersih lumpur.

Program itu turut disertai pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung terbabit.

Ketua Umno Bahagian Besut,Datuk Seri Idris Jusoh yang juga ADUN Jertih dan ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad hadir sama menyertai gotong royong itu

Kerja gotong royong itu terpaksa menggunakan pacutan air bomba bagi membersih lumpur dan sampah sarap yang tersangkut sekitar masjid terbabit.

Selepas menyertai gotong royong Idris bersama sukarelawan terbabit menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa banjir dari rumah ke rumah sekitar Kampung Padang Bual, yang terjejas teruk akibat banjir Isnin lalu.

Keceluparan hakis kredibiliti Pas

Oleh: Aida Abd Rahman

Sikap Mursyidul Am Pas, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang gemar mengularkan hujah mengelirukan, selain menghamburkan kata-kata kesat yang langsung tidak wajar dikeluarkan oleh seorang pemimpin yang bertaraf ulama serta tok guru, kian menangis kredibilitinya sebagai pemimpin parti yang kononnya memperjuangkan Islam.

Beliau terus menanam politik kebencian di kalangan penyokong Pas terhadap Umno dengan mengentam Umno dan memberi pelbagai gambaran buruk kepada parti Melayu itu seakan-akan Umno tidak pernah memberi jasa dan manfaat kepada negara dan umat Islam, termasuk keluarganya sendiri.

Malah, butir bicara juga kadangkala seperti `orang tua nyanyuk’ yang cakap lepas dan tidak mengambil pusing risiko bakal dihadapinya kelak.

 Terbaru, kata-kata Nik Aziz “…kalau Umno tukar dasar kebangsaan kepada Islam dan Umno dan Pas bersatu, buat apa lagi saya berpolitik. Tidur malam pun nyenyak.

 Tetapi, kalau selagi Melayu sokong Umno, wajib atas saya melawan kerana ini bahagian mungkar.’ Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menyifatkan Mursyidul Am berkenaan sebagai bermulut celupar dan suka membuat fatwa sendiri apabila mengatakan orang Melayu yang menyokong Umno sebagai perkara mungkar.

Kata-kata Nik Aziz itu bukan pertama kali, malah sudah acap kali pemimpin Pas itu lantang bersuara demi meraih populariti dan mempertahankan perjuangan politik Pas yang semakin kabur.

Tan Sri Muhyiddin berkata kenyataan seumpama itu tidak pelik jika dibuat oleh Mursyidul Am itu apatah lagi setiap kali menjelang pilihan raya yang bertujuan mempengaruhi pengundi supaya tidak menyokong calon Umno dan BN pada pilihan raya umum nanti.

 “Itu satu lagi bukti Nik Aziz mengeluarkan faktwa yang tidak mengikut hukum bila dia sebut kumpulan orang yang mungkar ni kafir, orang Umno ni Firaun dan macam-macam lagi zalim dan sebagainya

 “Saya bimbang pasal (perkara ini) bukan baru, Nik Aziz selalu dia celupar, lepas cakap yang tidak ada bersandarkan hukum, dia buat fatwa sendiri, banyak tokoh-tokoh ulamak mempertikaikannya.

“Inilah antara sebab masalah perpecahan di kalangan umat Islam kerana oleh fatwa-fatwa songsang oleh pemimpin PAS,” katanya di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

 

Peminat T-Team berpeluang bertemu pemain pujaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Penyokong dan peminat pasukan T-Team berpeluang beramah-mesra sambil menyertai pelbagai aktiviti bersama pemain bola sepak pujaan mereka, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, esok.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Abdul Rasid Jusoh berkata, kira-kira 400 peminat yang sudah mendaftar nama di laman Facebook T-Team-Titans layak menerima baju-T secara percuma.

“Mereka yang bertuah berpeluang memenangi pelbagai hadiah dalam beberapa acara yang disediakan penganjur program.

 “Program itu bertujuan memberi peluang kepada peminat terutama penyokong ‘The Titans’ bertemu pemain pujaan mereka selepas sambutan yang diterima pada program pertama sempena Bulan Pelayaran Terengganu dan Kejohanan Piala Monsun 2012 di Pulau Duyong, bulan lalu,” katanya.

 Katanya, kesempatan itu membolehkan peminat berpeluang bermesra dengan semua pemain termasuk dua pemain import, George Boateng dan Caleb Folan.

 

Banjir di Terengganu ragut dua nyawa

Banjir di Terengganu meragut satu lagi nyawa semalam apabila seorang remaja lemas ketika bermain air banjir di kawasan perumahan Bukit Mentok, di Kemaman. Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu mangsa Mohd Hamidi Abdul Hamid, 15, dan seorang rakannya, dipercayai bermain dan mendayung sampan berhampiran rumahnya. Kelmarin, seorang wanita Samhanim Ramli, 36, yang lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Lanjut di Jambatan Permaisuri, Setiu.
Ketua Polis Daerah Kemaman Che Suza Che Hitam berkata seorang lagi rakan mangsa yang belum diketahui identitinya pula turut dilaporkan hilang dan belum dapat dipastikan lagi nasibnya. "Kejadian itu disedari keluarga mangsa setelah hampir dua jam mangsa tidak pulang ke rumah. "Keluarganya melihat sampan yang dinaiki mangsa kosong dan lantas mencari mangsa di kawasan sekitar. Menurutnya ahli keluarga mangsa bagaimanapun berjaya menemui mangsa kira-kira 4.30 petang tadi berhampiran sampan berkenaan. Panik dengan kejadian itu bapa mangsa memanggil Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) lalu menghantar mangsa ke hospital dan pihak hospital mengesahkan mangsa telah meninggal. Difahamkan kediaman mangsa di taman perumahan itu ditenggelami air sedalam 1.5 meter berikutan hujan lebat sejak dua hari lalu. Dalam pada itu Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang turut melawat mangsa banjir di daerah ini hari ini berkata banjir yang melanda daerah Kemaman tahun ini adalah antara banjir terburuk sejak lebih 30 tahun lalu. Sementara itu, keadaan banjir yang melanda negeri di Pantai Timur semalam semakin buruk dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan di Kelantan, Pahang dan Terengganu meningkat kepada 17,443 petang ini berbanding 13,746 orang pada sebelah pagi. Keadaan banjir di Terengganu paling buruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 10,412 orang petang semalam berbanding 6,550 pada sebelah pagi. Menurut portal banjir negeri, mangsa yang paling ramai dipindahkan sehingga 6 petang semalam ialah di daerah Besut seramai 2,666 orang diikuti Kemaman (2,272 orang), Dungun (1,983 orang), Hulu Terengganu (1,390 orang), Besut (1,088 orang), Kuala Terengganu (807 orang) dan Marang (206 orang). Sehingga tempoh itu, 30 pusat pemindahan dibuka di Setiu, Kemaman (23), Dungun (29), Hulu Terengganu (16), Besut (10), Kuala Terengganu dan Marang (masing-masing 7).

Jalan tanah runtuh boleh dilalui

Jalan masuk utama Jabor-Jerangau ke Air Puteh di Kilometer 139 kini sudah boleh digunakan selepas kerja membaik pulih jalan terbabit yang terjejas akibat runtuhan tanah awal pagi semalam selesai dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dalam kejadian itu, lapan buah kereta tertimbus apabila tebing jalan masuk utama Jabor-Jerangau ke Jalan Air Puteh di kilometer 139 di Kemaman runtuh, berikutan hujan lebat berterusan di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Che Suza Che Hitam berkata, jalan tersebut dibuka kira-kira 5 petang semalam dan turut terbabit dalam runtuhan tanah itu ialah sebuah lori dan lima kenderaan jenis sedan.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan kini jalan sudah boleh dilalui semua jenis kenderaan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi ini tebing jalan setinggi 12 meter runtuh dan menimbusi jalan sepanjang 50 meter.

Tebing jalan runtuh kira-kira 3.30 pagi ini lalu menghempap kenderaan-kenderaan terbabit yang diletakkan di kawasan berkenaan.

"Kita khuatir kemungkinan ada orang yang tidur di dalam kereta yang tertimbus itu," katanya sebelum ini.

Che Suza berkata pihaknya menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membantu kerja-kerja membersihkan kawasan yang tertimbus menggunakan jentolak.

Katanya kejadian itu berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan pergerakan tanah di kawasan itu. Menurutnya runtuhan itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat sehingga menyebabkan berlaku pergerakan tanah.


TPM lawat kawasan banjir di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dijadualkan melawat pusat penempatan banjir di Terengganu, hari ini.

Beliau yang diiringi isteri, Puan Seri Norainee Abd Rahman, dijangka tiba dengan pesawat khas dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, kira-kira jam 2 petang.

Ketibaan beliau akan disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri serta isteri akan menaiki helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan mendarat di Mini Stadium Mak Chili, Chukai, Kemaman.

Beliau dan rombongan kemudiannya dijadualkan melawat pusat perpindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mentok dan Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, Chukai, Kemaman.

Selepas itu, beliau dijadualkan bertolak ke Kuantan dan menaiki pesawat khas di Lapangan Terbang Kuantan untuk balik ke Kuala Lumpur.


Ampangan Paya Beda,Hulu Besut tidak pecah



Oleh: Mohammad Ishak 

Pihak pengurusan projek pembinaan Ampangan Paya Beda,Hulu Besut,terpaksa bertindak membina saliran air bagi mengalirkan air keluar dari takungan ampangan berkenaan bagi mengelak berlakunya kejadian banjir lebih buruk di Hulu Besut.

Pengarah Projek Pembangunan Pertanian Terengganu Utara, Mohd Kabri Abdul Ghani berkata, jika tindakan sedemikian tidak dilakukan dikhuatiri banjir besar akan berlaku secara mendadak kerana takungan air ampangan itu berada pada tahap luar biasa.

Katanya, sebelum tindakan itu diambil pihaknya bersama pengurusan pembinaan projek itu sudah berbincang dengan penduduk dan tindakan yang perlu dilakukan bagi menyelamatkan penduduk daripada berlakunya banjir besar.

Menurutnya, hujan lebat berlebihan berlaku Isnin lalu menyebabkan takungan air ampangan yang dalam pembinaan itu berada pada tahap kandungan air 29 meter padu.


Projek berharga RM300 juta yang dimulakan pembinaan tahun lalu dan dijangka siap akhir 2013 bertujuan membekalkan air kepada 8,000 petani di daerah Besut dan Setiu selain membekarkan sumber air asli untuk kegunaan penduduk daerah berkenaan.

Mohd Kabri berkata, beliau menolak dakwaan penduduk mengenai ampangan itu pecah menyebabkan limpahan air berlebihan sehingga mengakibatkan banjir besar berlaku di Hulu Besut terutama penduduk Kampung Padang Bual.

 “Kami melakukan tindakan semata-mata untuk menyelamatkan penduduk dan jika tidak berbuat demikian dikhuatiri takungan air ampangan itu akan melimpah dan menjadi banjir kilat,” katanya

Beliau berharap, penjelasan itu tidak lagi menjadi isu kepada penduduk daerah Besut yang sebelum ini melemparkan pelbagai tanggapan terhadap usaha kerajaan membina ampangan terbabit.

26 December 2012

MB lawat kawasan banjir guna helikopter, lori

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menaiki helikopter dari Kuala Terengganu hari ini bagi melawat beberapa kawasan di sekitar daerah Kemaman yang teruk dilanda banjir.



Sebaik selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) di Wisma Darul Iman, tengahari ini, beliau terus bergegas menaiki helikopter bagi melawat kawasan tanah runtuh dan mangsa banjir di daerah Kemaman.

Menteri Besar melawat kawasan tanah runtuh di Jalan Air Puteh, Kemaman yang menyebabkan lapan buah kereta tertimbus, awal pagi tadi.

Beliau dan rombongan turut menaiki lori untuk melawat beberapa pusat pemindahan banjir di sekitar daerah Kemaman bagi melihat sendiri keadaan di situ dan bertanya khabar mangsa banjir.