Halaman

27 December 2012

GPMS anjur malam integrasi nasional

Oleh: Noraini Jusoh

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri Terengganu akan menganjurkan Malam Integrasi Nasional di Dewan Besar Kolej Multimedia Telekom, Rusila, Marang, pada 28 Disember 2012 ini.

Pengerusi GPMS negeri Terengganu, Ahmad Izani Abdul Ghani berkata, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka merasmikan program yang berkonsepkan 1Malaysia itu nanti.

"Program ini akan menghimpunkan kira-kira 200 orang kaum Melayu dan Cina di bawah satu bumbung yang bertujuan untuk memupuk semangat integrasi dan memberi ruang kepada mereka untuk berinteraksi dan bersosial sesama mereka.

"Justeru, melalui program ini diharapkan dapat mengukuhkan lagi perpaduan kaum antara masyarakat Melayu dan Cina khususnya di negeri ini,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Katanya, pada program yang lebih berbentuk santai itu nanti para tetamu juga akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan oleh wakil setiap kaum.

Menurut Ahmad Izani, sudah menjadi matlamat GPMS untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia dan beliau mengharapkan semangat 1Malaysia akan terus dipertahankan demi keamanan negara tercinta.