Halaman

25 December 2012

Karnival Mesra Belia Parlimen Marang

Oleh :Amirullah Othman

Karnival Mesra Belia Peringkat Parlimen Marang yang diilhamkan Yaaysan Pembangunan Keluarga negeri Terengganu, diadakan dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Marang di Kampung Laut dan Kampung Belukar Jambu, semalam.

Karnival yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar kawasan itu merangkumi banyak acara antaranya kejohanan Futsal 3 on 3, dam aji, auto show motosikal klasik dan cantik serta persembahan muzikal pada sebelah malamnya.

Kejohanan futsal 3 on 3 membabitkan 58 pasukan seluruh Parlimen Marang telah dijalankan di Padang bola Kampung Laut bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.

Pasukan Atas Tol muncul juara manakala naib johan Kampung Laut dan Kampung Binjai Rendah meraih tempat ketiga.

Persembahan auto show motosikal klasik dan cantik atau retro di perkarangan Dewan Sivik Kampung Laut telah menarik perhatian orang ramai kerana keunikan dan persembahan yang dipamerkan oleh peserta sangat mengkagumkan.

Pertandingan dam aji turut menarik minat penduduk sekitarnya yang diadili oleh Persatuan Dam Aji Negeri Terengganu yang bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Para penonton dari pelbagai peringkat umur penuh membanjiri kawasan pertandingan dam aji di Balai Raya Kampung Belukar Jambu. Kemuncak karnival itu ialah pada sebelah malamnya apabila terdapat persembahan dari dua band anak muda negeri Terengganu yang di namakan “Herow” dan “Kayangan” dengan persembahan yang memukau penonton.

Pada malamnya turut diadakan pertandingan nyanyian yang diringi dengan band di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga. Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, yang juga Pengerusi Majlis Belia Daerah Marang, amat berpuas hati dengan program yang dijalankan dan sambutan menggalakkan dari orang ramai.

Beliau yakin dengan kesungguhan ini, apa jua bentuk program dapat dijalankan di DUN berkenaan dan beliau amat mengharapkan kepada semua hadirin supaya selalu bersyukur kepada Alalh atas kesenangan yang kita nikmati pada hari ini dan berterima kasih kepada Kerajaan Barisan Nasional atas bantuan yang tidak putus-putus kepada penduduk kawasan itu.