Halaman

25 December 2012

Umno desak Amanat Hadi ditarikbalik

Badan Perhubungan Umno Terengganu mendesak pucuk pimpinan Pas, khususnya Presiden parti itu, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang bertindak segera menarik balik Amanat Haji Hadi, bagi mengatasi masalah perpecahan di kalangan umat Islam di negeri ini.

Ketua Penerangannya, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya kesal dengan sikap Abdul Hadi dan pemimpin Pas lain yang tidak mengendahkan gesaan pelbagai pihak terhadap mereka supaya berbuat demikian.

Sebelum ini pelbagai pihak, teramsuk beberapa mufti mendesak Pas supaya menarik balik amanat yang dibuat di Banggol Peradong pada 1981, demi kebaikan semua pihak.

Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, beberapa langkah akan turut dilakukan selagi Abdul Hadi masih berdiam diri termasuk menyerahkan memorandum kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin supaya bertindak sewajarnya terhadap amanat tersebut.

“Kita juga akan menggerakkan seluruh Umno Bahagian dan Cawangan Negeri Terengganu agar menjelaskan perkara yang menyebabkan kesesatan umat Islam akibat amanat ini,” katanya.

 Dalam masa sama katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan Umno Pusat dan negeri-negeri bagi mendesak Abdul Hadi menarik balik dan memohon maaf kepada mereka yang tersesat akibat amanat terbabit.

Beliau menjelaskan, pihaknya akan turut menerbitkan bahan bacaan dan tontonan berhubung kenapa Amanat Haji Hadi itu dianggap sesat dan memporak-perandakan umat Islam di Terengganu dan beberapa negeri lain.

Menyentuh perkara sama, pihaknya turut menyatakan sokongan terhadap usaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JaHEAT) agar ‘memerangi’ amanat yang memecahbelahkan umat Islam hingga ke beberapa negeri lain dengan membuat penjelasan wajar.

 “Kita berharap melalui ‘berperang habis-habisan’ dengan mereka yang mempertahankan amanat ini sehingga ia ditarik balik adalah suatu jihad demi memulih akidah dan persaudaraan di kalangan umat Islam.

“Kita menyeru seluruh rakyat negeri dan negara ini yang beragama Islam menolak amanat ini dengan penuh kesedaran dan keinginan untuk melihat umat Islam kembali bertaut dan bersatu di negara ini,” katanya.