Halaman

24 December 2012

Azizul, Fatehah pertahan anugerah olahragawan, olahragawati negeri

Oleh: Aida Abd Rahman



Sebagaimana jangkaan, dua pelumba berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa mempertahankan gelaran masing-masing untuk meraih anugerah Olahragawan dan Olahragawati Anugerah Sukan Terengganu (AST) 2011/2012, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.



 Pelumba kelahiran Dungun, yang digelar The Pocket Rocket Man mengenepikan empat lagi calon olahragawan lain dengan tiga daripada mereka juga pelumba basikal, iaitu Mohd Harrif Salleh, Mohammad Adiq Husainie Othman dan Amir Mustafa Rusli.

Sementara seorang lagi calon, atlet pencak silat negara, Mohd Hafiz Mahari. Manakala, ratu trek berbasikal, Fatehah pula menewaskan atlet pencak silat, Siti Rahmah Mohamed Nasir, Siti Munirah Jusoh (Squash), Siti Rajiah Ali (Kanu) dan Noor Maizura Zainol (Judo).

Pengiktirafan kepada dua jagoan Olimpik itu melayakkan mereka membawa pulang hadiah berupa sehelai kot, wang tunai RM7,500, piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan.


Selain itu, dua atlet memanah Olimpik negara iaitu Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim, masing-masing dianugerahkan Olahragawan Harapan dan Olahragawati Harapan. Mereka menerima hadiah RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan. Persatuan Boling Padang Negeri Terengganu menerima Anugerah Pengurusan Persatuan Terbaik manakala jurulatih lumba basikal Terengganu, Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan dinobatkan Anugerah Jurulatih Terbaik dan masing-masing menerima hadiah RM2,000, piala iringan dan sijil penghargaan.

 Sementara Anugerah Tokoh Sukan menjadi milik Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) merangkap Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia, Mohd Shapian Ali berikutan beberapa kejayaan yang dicipta pasukan itu seperti memenangi Piala Emas Khir Johari, Piala Presiden, Piala Belia Kebangsaan dan Piala Super Series.

Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis dan menyampaikan anugerah kepada pemenang.

Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat; Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Zolkples Embong dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin.


Selain itu, pasukan sepak takraw Terengganu yang menjulang Piala Emas Khir Johari buat kali pertama pada Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Ke-49 pula menerima Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik manakala
Pasukan Hoki Wanita yang menjuarai Sukma ke-15 pula diumumkan sebagai Pasukan Terbaik Wanita.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, anugerah yang diberikan sejak dulu lagi itu sebagai satu pengiktirafan kerajaan bagi menghargai serta mengenang jasa atlet yang sanggup mengerah keringat sehingga mampu memahat nama negeri ke pentas dunia.

 Malah, kejayaan dan suntikan insentif itu juga diharap dapat memberi rangsangan kepada semua atlet dan penggiat sukan dalam memartabatkan sukan di negeri ini.

''Kerajaan negeri tidak pernah melupakan jasa dan keringat atlet yang mengharumkan nama negeri dan negara. Kita amat berbangga dan mengambil berat di atas segala pengorbanan atlet dan jurulatih persatuan sukan negeri ini," katanya.