Halaman

29 December 2012

81 pelajar cemerlang dapat hadiah

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 81 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menerima hadiah insentif atas kecemerlangan yang ditunjukkan dalam peperiksaan awam tersebut baru-baru ini.



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato' Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata 56 pelajar cemerlang UPSR serta 25 pelajar cemerlang PMR dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir menerima penghargaan tersebut.

"Setiap pelajar yang cemerlang dalam UPSR menerima wang tunai RM100 dan sijil penghargaan.

"Manakala, bagi pelajar cemerlang dalam PMR pula menerima wang tunai RM150 dan juga sijil penghargaan yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM9350,” ujarnya.



Beliau berkata demikian kepada Teganukita selepas selesai menyempurnakan perasmian Majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Pelajar UPSR dan PMR 2012 dan Penyampaian Bantuan Peperiksaan Awam 2013 DUN Seberang Takir, di Bangunan Penyelaras UMNO, DUN tersebut, semalam.

Katanya, pemberian hadiah tersebut adalah sebagai galakan dan sokongan kepada mereka untuk lebih bersemangat dalam meneruskan pelajaran dan sebagai motivasi untuk terus mengekalkan kecemerlangan.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri turut menasihatkan pelajar agar terus berusaha menuntut ilmu ke peringkat tertinggi.

"Sekiranya kita mempunyai ilmu orang akan hormat dan pandang kita, dan dengan ilmu jugalah kita mampu mengubah nasib keluarga apabila telah berjaya kelak,” katanya.