Halaman

29 December 2012

Bantuan Pakaian Sekolah DUN Kijal

Menyediakan makan minum dan pakaian bagi anak-anak tentunya tanggungjawab ibu bapa atau penjaga yang tidak perlu dipersoalkan.



 Namun tidak semua keperluan itu dapat disediakan dengan sempurna apatah lagi jika ibu bapa menghadapi kekangan kewangan dalam menguruskan keperluan harian keluarga.

 Dalam konteks pakaian sekolah misalnya ada yang hanya mampu menyediakan sepasang dua pakaian untuk digunakan sepanjang tahun sehingga kelihatan kusam dan lusuh apabila tidak berganti.

Justeru, kerajaan negeri yang terus berusaha memberikan kesejahteraan kepada rakyat dan menjadikan negeri ini sebagai negeri berkebajikan turut memberikan sumbangan pakaian kepada pelajar di seluruh negeri.



 Semalam, hampir 4,000 murid dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima bantuan pakaian sekolah yang diterima oleh ibu bapa masing-masing.

 Bantuan bernilai RM100 setiap seorang untuk membeli keperluan itu disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said kepada ibu bapa di empat tempat berasingan iaitu di Sekolah Kebangsaan Payoh, Dewan Sivik Bukit Kuang, Dewan Ketengah Seri Bandi dan Dewan Sivik Kijal.



 Ibu bapa yang hadir pada majlis itu mengucapkan terima kasih dan syukur kepada pimpinan negeri pasti sumbangan itu pastinya menggembirakan anak-anak.

 Kebanyakan penerima sumbangan tersebut adalah pekerja ladang, petani, nelayan dan buruh binaan menerima bantuan wang tunai sebanyak RM100 seorang dan bagi keluarga yang mempunyai lebih dari seorang anak bersekolah mereka menerima RM200.