Halaman

23 December 2012

Teliti pelbagai aspek sebelum ambil guru Bahasa Inggeris dari India

Oleh: Aida Abd Rahman


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin memberi jaminan bahawa cadangan pengambilan guru dari India untuk mengajar bahasa Inggeris di Malaysia ini akan diteliti dengan terperinci sama ada menepati dengan keperluan pendidikan negara.

Kementerian Pelajaran akan mengambil kira daripada pelbagai aspek dan mengkaji perkara itu terlebih dahulu termasuk menilai latar belakang dan kemahiran guru berkenaan.

 "Kita akan teliti apakah guru bahasa Inggeris dari India ini sesuai, sudah tentu orang yang kita hendak ambik mungkin dia ada kelulusan Cambridge atau Oxford dan daripada univesiti yang diiktiraf, misalnya, boleh mengajar dengan baik.

“Bukan disebabkan longhatnya bagi sesetengah pihak merasa tidak berapa sesuai tetapi kandungan pengajaran menyebabkan banyak perkara yang Kementerian Pelajaran perlu ambil kira untuk meneliti bahawa guru yang diambil itu adalah guru yang benar-benar sesuai, pakar dan terlatih mengikut kehendak kita," katanya di sidang media selepas mengadakan Perjumpaan Khas Bersama Pengurusan Tertinggi dan Profesional, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini yang mahu kajian mendalam dilakukan berhubung cadangan pengambilan guru bahasa Inggeris dari India.

Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, semasa lawatannya ke New Delhi tiga hari lalu bercadang mengambil sejumlah guru bahasa Inggeris dari India mengajar di Malaysia.

 “Jadi biar kita kaji dahulu, kaji dalam erti kata apabila kita hendak ambil esok, apakah jenis guru bahasa Inggeris yang ada di India yang dianggap sesuai untuk sistem pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris di Malaysia dan bagaimana latar belakang dan kemahiran dia serta sebagainya itu hendaklah kita diambil kira,” katanya.