Halaman

26 December 2012

PMINT untung RM22.3 juta tahun ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM22.3 juta bagi tempoh sehingga 30 November tahun ini, iaitu meningkat 38.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pada tahun lalu PMINT mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM16.1 juta.


Pengurus Besar PMINT, Dato’ Osman Muda berkata, prestasi bagi tempoh dua suku pertama tahun ini juga telah melebihi anggaran tahunan dengan pencapaian 106%.

“Manakala nilaian aset bersih PMINT pada tahun ini telah bertambah kepada RM579.8 juta berbanding RM493.1 juta pada tahun lepas,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PMINT 2012 di Primula Beach Hotel, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan pegawai kanan PMINT.

Dato’ Osman berkata, pihaknya yakin dengan keadaan kewangan yang kukuh dan disusuli dengan pelan perancangan strategik yang komprehensif, PMINT mampu meneruskan peranannya dalam “Merubah lanskap pembangunan Negeri” untuk terus kekal relevan.



“Penceburan baru PMINT di dalam membangunkan projek high rise building seperti PB Square akan menjadi pemangkin kepada PMINT untuk memperhebatkan pembangunan seumpamanya yang dapat menyediakan lebih banyak ruang pejabat, premis perniagaan dan perumahan di dalam kawasan Bandaraya Kuala Terengganu.



“Di samping itu, PMINT perlu bersedia untuk menguruskan bangunan yang tinggi dan menubuhkan unit pengurusan lebih cekap supaya rakyat dapat menikmati kemudahan kelas pertama,” ujar beliau.

Beliau berkata, PMINT akan sentiasa membantu merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kependudukan dan aset Bumiputera di dalam kawasan bandar dengan melaksanakan pembangunan ke atas tanah yang diambilbalik dan yang berpotensi di dalam bandar.

“Kini sebanyak lapan buah lokasi tanah yang dikenalpasti dengan tujuan pengambilanbalik oleh PMINT di kawasan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman.

“ Selain kaedah pengambilanbalik tanah, PMINT juga turut mengenal pasti kaedah lain di dalam pembangunan projek iaitu dengan menjalankan projek secara usahasama dan kolaborasi dengan syarikat-syarikat swasta,” katanya.