Halaman

27 December 2012

Timbalan Menteri KPWKM lawat mangsa banjir di SK Kompleks Gong Badak

Oleh: Noraini Jusoh

Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), YB Dato’ Noriah Kasnon hari ini melawat mangsa banjir Pusat Pemindahan Bencana di SK Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu.



Kehadiran beliau diiringi Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Encik Zuhami Omar dan disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh.

Difahamkan kebanyakan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan tersebut terdiri daripada penduduk Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak.

Dato’ Noriah meluangkan masa kira-kira sejam beramah mesra dan bertanya khabar serta meninjau keadaan 339 mangsa daripada 76 keluarga yang masih berada di pusat pemindahan itu sejak dibuka Isnin lalu.

Beliau melahirkan rasa syukur kerana dapat meninjau dan melihat sendiri situasi yang dialami mangsa banjir di negeri ini.

"Setakat ini, alhamdulillah tidak ada masalah kerana tindakan awal telah diambil oleh pihak JKM, jawatankuasa bencana daerah, dan pihak-pihak lain yang terlibat dalam menguruskan mangsa banjir.

"Ada penduduk yang menyatakan rasa bimbang keadaan ini akan berulang kerana sebahagian daripada penduduk taman perumahan ini mendapati kawasan kediaman mereka merupakan kawasan takungan air hanya setelah mendiami rumah tersebut,” ujarnya ketika ditemui Teganukita di pusat pemindahan tersebut, hari ini.

Katanya, walau bagaimanapun beliau percaya pihak kerajaan akan mengambil tindakan untuk mengatasi masalah yang dialami oleh penduduk Taman Desa Tanjung Damai terutamanya yang melibatkan masalah takungan air dan sistem saliran dengan kerjasama pihak jabatan berkaitan.

Menurutnya, beliau ada mencadangkan kepada pengerusi taman perumahan terbabit supaya membuat permohonan rasmi kepada pihak tertentu supaya sekurang-kurangnya ada inisiatif awal untuk menyelesaikan masalah yang timbul apabila banjir melanda.