Halaman

28 December 2012

PMINT kekal pencapaian 4 bintang audit akaun

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) mengekalkan pencapaian terbaik apabila mendapat penarafan 4 bintang di dalam Pengauditan Indeks Akauntabili Pengurusan Kewangan selama tiga tahun berturut-turut.

Pengurus Besarnya, Dato’ Osman Muda, berkata pihaknya berharap pencapaian itu dapat dikekalkan dan ditingkatkan dari masa ke semasa terutama untuk menghadapi persediaan kerja-kerja pengauditan kali ke -6 yang akan bermula pada Januari 2013 nanti.

Beliau berkata, bagi proses pengauditan kali ini, PMINT telah mengenal pasti beberapa elemen yang perlu ditambahbaik berdasarkan criteria dan pemerhatian audit yang lepas.

“Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengauditan ini telah banyak membantu PMINT memastikan tatacara dan peraturan pengurusan kewangan yang ditetapkan sentiasa dipatuhi yang mana ianya sekaligus dapat menambahbaik lagi keyakinan pelanggan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan PMINT,” ujarnya.

Selain itu, beliau berharap agar warga kerja PMINT dapat meningkatkan lagi usaha dan bekerja dengan lebih gigih untuk mengekalkan pencapaian-pencapaian lain yang diperolehi sebelum ini seperti Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001 : 2008, Pensijilan Amalan Persekitaran Berkualiti (QE/5S) dan lain-lain pencapaian.

“Setiap hasrat dan matlamat yang ingin dicapai tidak akan dapat dicapai tanpa adanya modal insan yang kompeten dan berprestasi tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata, sebagai sebuah badan korporat terutamanya Syarikat Yang Berkaitan Kerajaan (GLC), PMINT perlu mempunyai system kawalan dalaman dan tadbirurus korporat yang baik.