Halaman

26 December 2012

Banjir di Terengganu ragut korban pertama

Seorang wanita menjadi korban pertama banjir di Terengganu apabila beliau ditemui lemas setelah terjatuh ke dalam Sungai Lanjut berdekatan Jambatan Permaisuri, semalam.

Ketua Operasi Penyelamat Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohd Izani Zakaria berkata, pihaknya dengan bantuan penduduk kampung, menemui mayat mangsa pada pukul 6.30 petang berdekatan tempat mangsa terjatuh.

Samhanim Ramli, 36, dikatakan tergelincir ketika sedang menahan pukat jaring bersama suaminya, Wan Amran Wan Sudin di sungai tersebut kira-kira pukul 3 petang.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Setiu untuk bedah siasat.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar menasihatkan orang ramai supaya menjaga ahli keluarga masing-masing, terutama kanak-kanak ketika musim banjir bagi mengelakkan pelbagai kejadian tidak diingini.

Beliau berharap banjr pada tahun ini tidak akan meragut korban disebabkan kelalaian mereka menjaga ahli keluarga.