Halaman

28 December 2012

Empangan Paya Beda Hulu Besut tidak mampu menampung lebihan air


ADUN Hulu Besut Nawi Mohamad (hadapan sekali) meninjau Empangan Paya Beda

Oleh: Mohammad Ishak

Banjir yang melanda Besut hingga menyebabkan lebih 2,300 penduduk berpindah berpunca daripada limpahan air dari satu aliran Empangan Baru Paya Beda, Hulu Besut setelah ia tidak mampu menampung air hujan yang turun tanpa henti sejak Ahad lalu.

Jurutera Projek Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (Ketara), Wee Yit Ming berkata banjir luar biasa itu berpunca daripada satu bahagian tebing hulu Empangan Paya Beda yang dalam pembinaan  mengalami hakisan hingga berlaku sedikit keruntuhan.

"Kajian pihak pengurusan mendapati empangan tersebut tidak mampu menakung peningkatan air limpahan hujan sejak Ahad yang mencecah ketinggian 25 meter hingga mengalami sedikit keruntuhan di satu bahagian tebing," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Laporan itu juga menyebut ekoran hujan berterusan pada pagi hari berikutnya, paras air meningkat sehingga ketinggian di tahap maksimum di satu bahagian empangan lencongan tersebut.

Justeru, pihak pengurusan mengambil keputusan mengorek sebuah kawasan bagi melencongkan air ke satu kawasan lencongan bagi memastikan takungan air di empangan utama tidak melimpah keluar.

 "Ketika pekerja melakukan kerja-kerja pengorekan, datang sekumpulan penduduk menghalang pekerja dari meneruskan kerja "

Oleh kerana ketakutan, pekerja tersebut telah memberhentikan kerja dan tanpa disedari paras air empangan utama tersebut meningkat ke ketinggian maksimum 28 meter dan menyebabkan satu bahagian daripada empangan utama tersebut terhakis dan runtuh sedikit hingga menyebabkan air melimpah keluar," katanya. 

Menurut laporan itu juga, air limpahan kemudiannya mengalir ke Sungai Angga berdekatan dan melimpah hingga ke Kampung Padang Bual, di sini hingga menyebabkan kawasan berkenaan ditenggelami sehingga ke paras bumbung.

Laporan itu juga menyebut pihak pengurusan Ketara telah mengadakan mesyuarat tergempar semalam dan memutuskan satu mesyuarat lanjutan akan diadakan bersama Pegawai Daerah Besut bagi memastikan tidak ada urusan campur tangan daripada penduduk setempat di atas pembinaan empangan berkenaan selepas ini.

Projek Empangan Paya Beda yang bernilai RM333 juta itu telah dimulakan pembinaan pada tahun lepas dan dijangka siap akhir tahun 2013. Ia bertujuan membekalkan air kepada 8,000 petani di Besut dan Setiu selain membekalkan sumber air asli untuk kegunaan penduduk daerah berkenaan.