Semua Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung seluruh Terengganu digesa bermati-matian membantu jentera parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) bagi memastikan kejayaan menjadi milik Barisan Nasional dan Umno.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, bantuan pemimpin di peringkat akar umbi itu juga bukan sahaja memastikan kemenangan parti, mereka juga perlu memainkan peranan dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di setiap kawasan masing-masing sebagaimana yang diamanahkan pucuk pimpinan negeri serta Pusat.
“Dalam tempoh beberapa minggu lagi, saya harap saudara semua di semua peringkat Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung dengan tempoh masa yang tinggal beberapa hari lagi yang akan bertukar ke tahun baru, saya minta, Menteri Besar juga minta supaya kita semua bermati-matian bekerja bagi menghadapi pilihan raya umum kali ini.
“Pilihan raya umum kali ini merupakan ibu kepada segala pilihan raya ,” katanya di Msjlia Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri, di Dewan Arena, Komplkes Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.
Tan Sri Muhyiddin berkata, pengalamannya yang sudah melalui beberapa kali pilihan raya termasuk mengetuai setiap pilihan raya umum dan pilihan raya kecil tidak mampu dilaksanakan bersendirian sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak dan bantuan seluruh peringkat jentera parti.
“Saya sudah melalui pilihan raya sudah beberapa kali, saya sudah melalui beberapa pilihan raya kecil , malah saya mengepalai perang, menjadi pengerusi , mengatur gerakan dan tanggungjawab itu saya tidak boleh memikulnya seorang.
“Jadi bersama-sama Perdana Menteri, bersama saya, bersama Menteri Besar, kita akan sentiasa bersama-sama bekerja dengan rakyat bagi mempertahankan institusi agama, bangsa dan negara kita,” katanya.
Beliau berkata, seluruh rakyat negeri ini harus menolak perjuangan pembangkang kerana mereka jelas tidak bermaruah, tiada moral, mengenepikan hukum agama selain suka memfitnah, membuat tohmahan, sedangkan mereka mengakui berjuang atas landasan agama Islam.
“Inilah yang menjadi kebimbangan kita kalau dibiarkan mereka melakukan kemungkaran, rosaklah institusi agama kita. Maka kita sahajalah yang harus menentang setiap kemungkaran yang dilakukan oleh mereka ini,” katanya.