Halaman

29 December 2012

Polis buka 3,225 kertas siasat jenayah

Oleh; Esah Abdullah

Sebanyak 3,225 kertas siasatan jenayah indeks dibuka dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini, menurun sebanyak 284 kes atau 8.09 peratus berbanding dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.


Ketua Polis Terengganu, Dato’ Jamshah Mustapa berkata, tahun lalu sebanyak 3,509 kertas siasatan jenayah indeks dibuka.

Menurutnya, kadar penurunan itu telah mencapai sasaran kerajaan untuk menurunkan kadar jenayah indeks sebanyak lima peratus

Katanya, dalam tempoh itu juga Polis negeri berjaya menyelesaikan 1,620 kes atau 50.2 peratus pada tahun ini berbanding pada tahun lalu sebanyak 1,670 kes atau 47.6 peratus dengan peningkatan sebanyak 2.64 peratus.

``Bagi jenayah jalanan pula sebanyak 204 kes dilaporkan pada tahun ini berbanding pada tahun lalu sebanyak 238 kes dalam tempoh yang sama,’’

 ``Ini telah menunjukkan penurunan sebanyak 34 kes atau 14.29 peratus. Bagaimanapun ianya tidak mencapai kadar penurunan yang telah ditetapkan sebanyak 40 peratus bagi jenayah jalanan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Polis di Perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis negeri. Hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri, Dato’ Hamzah Mohd Jamil dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Samsuddin.

Menurut beliau, dalam tempoh itu juga Polis berjaya menumpaskan beberapa kumpulan penjenayah motosikal, motokar, kabel dan lain –lain yang aktif di negeri ini.

Katanya, antara kumpulan penjenayah yang ditumpaskan ialah kumpulan arif, kumpulan zimi Bukit Bading, kumpulan angah, kumpulan mirul payung, kumpulan zuan dan kumpulan botak.

Katanya, walaupun tahun tahun ini banyak kejayaan telah dicapai, tetapi pegawai dan anggota perlu mengambil iktibar dan merancang untuk dijadikan panduan dalam melaksanakan tindakan pada tahun depan.

``Saya berharap pegawai dan anggota akan terus meningkatkan mutu perkhidmatan dari masa ke semasa dengan berkhidmat lebih berintergriti, berhemah, berbudi pekerti dan hindari perkara yang bertentangan disiplin dan undang-undang,’’ katanya.

Sempena dengan majlis itu beliau turut menyampaikan 67 surat penghargaan kepada pegawai dan anggotanya kerana telah menunjukkan kecemerlangan, kegigihan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas.