Polis Terengganu mempertingkatkan rondaan dan lawatan ke rumah-rumah yang terlibat dengan pemindahan banjir bagi mengelakkan jenayah mencuri dan pecah masuk rumah yang ditinggalkan.
Ketua Polis Terengganu, Dato’ Jamshah Mustapa berkata, semua Ketua Polis Daerah sudah diarahkan menubuhkan pasukan rondaan dan lawatan bagi mencegah sebarang jenayah tidak berlaku di kediaman ketika musibah yang melanda penduduk.
Menurutnya, rondaan dari masa ke semasa dengan menggunakan bot dan kenderaan lain dibuat secara berterusan untuk memastikan harta benda awam dan persendirian tidak menjadi tumpuan penjenayah.
Katanya, ketika ini mangsa banjir terpaksa meninggalkan rumah untuk menyelamatkan nyawa dan berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan.
``Dalam usaha membanteras jenayah pecah rumah ketika banjir pihak polis turut bekerjsama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk membantu,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Polis di Perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis negeri, Hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Mohd Jamil dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Samsuddin.
Bagaimanapun katanya, mangsa yang terlibat dengan pemindahan banjir juga dinasihatkan agar dapat memaklumkan alamat rumah yang ditinggalkan kepada Balai Polis yang berhampiran atau kepada anggota polis yang bertugas di pusat pemindahan banjir.
Katanya, ini untuk memudahkan menghubungi pemilik kediaman jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini semasa pihak polis menjalankan rondaan.
Sehubungan dengan itu juga, beliau menasihatkan orang ramai supaya peka dan berwaspada dengan amaran banjir yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan menyimpan dokumen penting di tempat selamat.
``Ibu bapa juga perlu sentiasa mengawasi anak-anak agar tidak bermain dengan air kerana arus deras apabila hujan lebat yang berterusan, tambahan pula pada masa ini musim cuti persekolahan dan malang tidak berbau,’’ ujarnya.
Katanya, IPK Terengganu turut menubuhkan Bilik Gerakan Banjir negeri dan daerah telah dibuka dan beroperasi 24 jam. Bilik Gerakan negeri boleh dihubungi melalui telefon 6354744.