Sejarah dicipta sebuah persatuan media - Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) apabila muncul sebagai kelab media pertama di Malaysia yang menubuhkan koperasi bagi menjana pendapatan tambahan kepada anggotanya.
Koperasi Media Terengganu Berhad berkenaan dijangka akan dirasmikan pada Januari 2013 ini akan menawarkan pembelian saham maksimum lima unit bagi setiap ahli koperasi dengan nilai RM100 seunit.
Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat berkata pihaknya menyasarkan kira-kira 300 petugas media negeri itu yang menjadi ahli akan menganggotai koperasi tersebut.
“Fokus utama perniagaan koperasi itu ialah penerbitan dan pengurusan acara memandangkan Kawat mempunyai kemahiran di bidang itu.
"Sasaran kita untuk modal permulaan sebanyak RM300,000 dan menjelang akhir tahun depan kita sasarkan pendapatan koperasi mencecah RM500,000 menerusi dua cabang perniagaan utama itu," katanya.
Malah, katanya kewujudan koperasi itu membuktikan kesungguhan Kawat untuk menjadi kelab yang mampu berdikari, sekali gus menjaga kebajikan dan menjana pendapatan tambahan kepada anggota melalui pengagihan dividen setiap akhir tahun.
"Selepas lebih 32 tahun ditubuhkan, sudah sampai masanya Kawat mempunyai platform yang boleh menjadi masa depan pendapatannya, tetapi pada masa sama kami masih mengharapkan bantuan pelbagai pihak.
"Kawat juga mempunyai rangkaian rakan strategik yang akan bertindak sebagai rakan dalam menjayakan aktiviti perniagaan koperasi itu nanti," katanya.