Halaman

24 December 2012

Pemimpin BN Marang lawat mangsa banjir

Oleh : Amirullah Othman

Hujan yang turun mencurah-curah tanpa henti di bumi Marang sejak semalam menyebabkan 113 orang dari Kampung Seberang Marang, Rhu Muda, Gong Merawang dan Kelulut dari DUN Rhu Rendang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing manakala 51 orang dari DUN Bukit Payong dipindahkan di Sekolah Menengah Sri Payong hari ini.

Sehubungan dengan itu, situasi ini telah mengundang rasa prihatin yang tinggi di kalangan pimpinan Barisan Nasional Marang untuk melawat dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir seperti makanan dan kelengkapan lain.

Y.B. Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar, Pegawai Pembangunan Parlimen Marang telah melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing dan Sekolah Menengah Seri Payong untuk bertanya khabar mangsa banjir sendiri bagi melihat kekurangan yang dihadapi untuk dibantu dari semasa ke semasa.

Komitmen dan bantuan dari jabatan-jabatan kerajaan iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertahanan, RELA, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Marang, Pejabat Daerah Marang, Majlis Daerah Marang, serta pemimpin-pemimpin JKKK setempat telah menghilangkan sedikit sebanyak keresahan mangsa-mangsa banjir.

Haji Nik Dir Nik Wan Ku dan Encik Zaidi Muda juga turut meluangkan masa melawat kawasan masing-masing supaya bantuan dapat diberikan dengan lancar. Makan-minum mangsa banjir dimasak oleh tukang masak yang dilantik khas oleh jawatankuasa banjir peringkat daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Marang.