Halaman

24 December 2012

Seramai 707 orang mangsa banjir berada di pusat perpindahan

Oleh: Suriati Ali



Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat dan setakat pukul 2.00 petang ini sebanyak 707 orang berada di pusat pemindahan berbanding 144 mangsa petang semalam.

Semua mangsa ditempatkan di 18 Pusat Permindahan Banjir (PPB) yang dibuka sejak petang semalam. Menurut portal banjir kerajaan negeri, PPB Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 101 orang membabitkan 26 keluarga.

Manakala PPB SK Anak Ikan, Besut mencatatkan 94 mangsa daripada jumlah 25 keluarga, diikuti PPB SK Tanjung Gelam, Kuala Terengganu (91 mangsa-25 keluarga); PPB Dewan Sivik Seberang Pintasan Dungun (51 mangsa-11 keluarga) dan SK Pulau Serai, Dungun 49 mangsa-11 keluarga).

Sebanyak 10 lokasi dilaporkan banjir membabitkan enam daerah di Terengganu kecuali Kemaman. Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu, menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengawasi anak-anak kecil agar tidak menjadi mangsa banjir.

“Selain itu, apabila diminta berpindah sementara ke pusat pemindahan yang disediakan, kepada pesakit kronik diingatkan supaya pastikan buku rekod perubatan dan ubat dibawa bersama manakala para ibu yang mengandung pula perlu pastikan keperluan peribadi dan bayi ada bersama mereka,” katanya.