Halaman

25 December 2012

Pengamal media digalak sertai koperasi, tambah sumber ekonomi

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengamal media di negeri ini bukan sahaja digalakkan aktif berpersatuan, malah menyertai koperasi sebagai platform membantu menambah pendapatan di kalangan ahli yang dijana menerusi pelbagai sumber.



Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata walaupun terpaksa menunggu sehingga tempoh 30 tahun sejak Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) diwujudkan, penubuhan Koperasi Media Terengganu Berhad tetap relevan dan tepat dengan keperluan semasa yang menuntut kepada aktiviti yang dapat mencambah ekonomi.

“Kenapa lama sangat sampai 30 tahun baru dapat ditubuhkan koperasi (media) ini? Bagaimanapun, tidak mengapa koperasi ini akhirnya tetap menjadi kenyataan juga.

 “Saya berharap selain aktif berpersatuan dengan melaksanakan pelbagai aktiviti, penubuhan koperasimen dapat mempelbagaikan sumber-sumber lain bagi membantu di kalangan ahli,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Kawat 2012, di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Turut hadir, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat dan 81 ahli kelab berkenaan.

Dato’ Mohd Nasir berkata, kejayaan mewujudkan koperasi boleh dilihat dengan mengambil contoh kemajuan yang dikecapi negara Korea.

 “Kita lihat kepada negara yang hampir sama dengan negara kita. Contoh pada zaman 60-an dan 70-an negara Korea sama sahaja dengan Malaysia. Kalau main bola, dia menang, kita juga boleh menang.

“Bagaimanapun, pada zaman 80-an dengan anjakan kemajuan Korea Selatan berjaya menganjurkan Olimpik pada 1988. Akhirnya hari ini Korea sudah bergelar negara maju yang bermula dengan penubuhan koperasi sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu sepatutnya menjadi contoh dan amalan di kalangan kita demi kemajuan dan pembangunan yang dapat memberi manfaat berterusan kepada ahli.



Sementara itu, dalam pemilihan pucuk pimpinan exco Kawat bagi penggal 2012/2014, Encik Ayob mengekalkan jawatan presiden berikutan kerusi itu tidak dicabar calon lain dan beliau dipilih sebulat suara bagi mengetuai persatuan untuk lima penggal berturut-turut.

Manakala Timbalan Presiden juga kekal disandang Haji Redza Arshad yang juga dipilih sebulat suara tanpa bertanding.

Lapan Ahli Jawatankuasa Kawat bagi penggal yang baru adalah Aida Abd Rahman, Mohd Shuhaimi Ahmad, Baharom Bakar, Hashimah Mohd, Lew I-Ling, Mohd Ishak Ngah, Mohd Lazim Endut dan Suhaila Mohd Daud.

Manakala Nurul Huda Hussin dan Manirah Othman dipilih sebagai pemeriksa kira-kira.