Halaman

05 March 2013

Tuduhan berat, Tian Chua tidak boleh dimaafkan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang menganggap insiden tembakan di Lahad Datu, Sabah sebagai konspirasi terancang Kerajaan Umno sesuatu yang tidak boleh dimaafkan, kata Naib Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Razali Idris.

 “Kenyataan Tian Chua itu adalah tuduhan berat dan membawa padah yang besar. Bukan hanya memberi kesan kepada Umno dan juga Sabah, keluarga anggota keselamatan dan masyarakat akan berdendam dengan Umno (jika terpengaruh).

“Memang kenyataan sedemikian tidak boleh dimaafkan,” katanya ketika sidang media di Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.

Datuk Razali yang juga Pengerusi Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) berkata, kesan kepada kenyataan itu turut mengakibatkan pemimpin pembangkang terbabit menerima kutukan keras daripada pelbagai pihak terutama pimpinan Umno di pelbagai peringkat.

Beliau berkata, tindakan sedemikian bukan hanya menimbulkan provokasi di kalangan ahli Umno tetapi turut mendatangkan kesan besar terhadap keluarga mangsa anggota keselamatan yang terkorban dalam siri pencerobohan itu.

Menurutnya, isu yang sengaja dipolitikkan pembangkang itu antara lain bagi menarik perhatian rakyat dan cuba menyemai benih-benih kebencian kepada kerajaan dan juga kepimpinan Umno dan Barisan Nasional.

Dalam masa yang sama beliau tidak menolak Tian Chua bertindak sedemikian bagi mengalih perhatian rakyat berkaitan isu yang mengaitkan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai dalang sebagaimana dilaporkan dalam media arus perdana sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya Gertak tidak berhasrat mengadakan bantahan terhadap pihak terlibat sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menyelesaikan isu itu sebaik yang mungkin mengikut landasan perundangan.


UniSZA sasar 200 pelajar antarabangsa 2015

Oleh: Aida Abd Rahman

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mensasarkan 200 pelajar antarabangsa bakal mengikuti pelbagai bidang pengajian di peringkat diploma, ijazah serta pascasiswazah yang ditawarkan Institusi Pengajian Tinggi Awam itu dalam tempoh dua tahun akan datang.

Naib Canselornya, Prof Dr Yahaya Ibrahim (gambar), berkata pihaknya giat mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) dan promosi secara intensif di pelbagai universiti luar negara bagi menarik penyertaan pelajar asing khususnya dari rantau Asean ke pusat pengajian itu.

“Dalam usaha mengembangkan kolaborasi UniSZA dengan universiti di peringkat antarabangsa, UniSZA menandatangani MoU dengan Universiti Islam Sharif Ali (Unisa), di Bandar Seri Begawan, Brunei, baru-baru ini sebelum mengadakan kunjungan susulan ke universiti berkenaan pada 25 Februari lalu.

 “Dalam MoU itu, UniSZA- Unisa akan menjalinkan beberapa program kerjasama termasuk pertukaran tenaga pengajar dan pelajar serta program bersangkutan antara kedua-dua universiti, selain program melanjutkan pengajian peringkat ijazah tinggi di antara kedua-dua universiti , terutama dalam usaha UniSZA menarik kemasukan pelajar antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam sempena Fiesta UniSZA-Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) di Riyaz Heritage Resort & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Sehingga kini, seramai 60 pelajar antarabangsa mengikuti pelbagai bidang yang ditawarkan di UniSZA.
Dalam perkembangan yang sama, Prof Dr Yahaya berkata, seramai 20 pelajar Unisa sudah menghantar borang permohonan untuk melanjutkan pengajian di UniSZA selepas usaha promosi yang dilaksanakan pihaknya di Brunei, baru-baru ini.

Katanya, UniSZA menjangkakan lebih ramai lagi pelajar Unisa akan menyerahkan borang permohonan untuk mengikut pelbagai bidang pengajian yang diminati khususnya di bawah Fakulti Pengajian Kotemporari Islam dan Fakulti Pengurusan Perniagaan seperti Pengurusan Islam, Perbankan Islam, Kewangan Islam dan juga Perakaunan.

 “Borang sudah diproses pada dasar kita telah menerima mereka dengan tawaran dan kelulusan bersyarat bagi kemasukan semester baru pada September ini. Selain dari Brunei, pelajar baru berkenaan juga dari Aceh dan Riau, Indonesia.

 “Kita juga akan meneruskan program untuk menarik pelajar Indonesia kerana pasaran pelajarnya cukup besar berikutan jumlah rakyatnya yang mencecah 250 juta orang. Jadi jika kita dapat menarik kemasukan sebahagian kecil daripada pelajar mereka, bilangannya sudah cukup besar kepada UniSZA sebagai universiti yang kecil,” katanya.

Susulan itu juga, Prof Dr Yahaya berkata pihaknya juga bakal menerima kemasukan 30 pelajar dari Aceh menerusi MoU dengan beberapa universiti di negeri jiran itu.

Katanya, UniSZA juga akan mengadakan promosi ke Riau yang akan diikuti dengan satu lawatan balas dari Dinas Pendidikan Riau ke UniSZA tidak lama lagi.

“ Mereka berjanji untuk akan menghantar seramai mungkin pelajar bagi menyambung pengajian terutama di peringkat pascasiswazah Fakulti Pengurusan dan Pengajian Kotemporari Islam UniSZA.

“ Kita juga akan ke daerah lain seperti Palembang dan juga Sulawesi bagi menjalankan kerjasama dua hala dan mempromosikan UniSZA kepada pelajar di daerah itu," tambahnya.

Beliau yakin keunikan dan keistimewaan pelbagai bidang yang mengandungi input Islam yang ditawarkan di UniSZA mampu menarik pelajar antarabangsa untuk mengikuti pengajian di universiti itu.



Manifesto PR bersifat fantasi

Oleh: gelombang biru

“Manifesto Pakatan Rakyat (PR) yang diumumkan baru-baru ini boleh diumpamakan sebagai `gula-gula’ untuk umpan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

 “Kandungan yang dijanjikan itu semuanya karut, bersifat fantasi dan bukan realiti. Amat mustahil untuk ditunaikan jika mereka berjaya memerintah negara ini,” kata Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dato’ Abd Rahman Bakar kepada Teganukita.

 Kataya, dia percaya, apa yang diperkatakan itu, semuanya bohong. Apa yang dijanjikan kepada rakyat Selangor sebelum ini, masih belum ditunaikan seperti elaun warga emas dan ibu tunggal, bantuan sekolah kanak-kanak tadika, pendidikan percuma, air percuma dan sebagainya.

“Kini mereka membuat pelbagai pembaharuan janji pula yang lama pun masih belum terlaksana, mustahil ingin lakukan yang baru..

 “PR terlebih dulu mesti tunai janji lama, baru rakyat boleh percaya..kalau tidak manifesto tersebut bersifat momokan atau propaganda murahan dalam usaha menawan hati rakyat,” katanya. Dato’ Abd Rahman, berkata mana mungkin PR berangan-angan ingin beri royalti kepada kerajaan negeri sebanyak 20 peratus.

“Jika ianya dilaksanakan juga negara boleh jatuh bankrap dalam tempoh singkat selain menjerumuskan negara ke dalam kancah huru hara dan rakyat akan menderita.

“PR menjanjikan bulan bintang dan menaburkan kata kata manis bertujuan meraih undi dan mengalih sokongan rakyat kepada PR,” ujarnya.

 Katanya, rakyat tidak mudah diperkotak-katikan dan diperbodohkan. Rakyat kini sudah cerdik dan tahu kedudukan dan kemampuan ekonomi negara..

“Saya sarankan pengundi jangan mudah terpedaya dengan tipu muslihat dan permainan licik politik PR dan laksanakan tanggungjawab dengan memilih pemimpin berkaliber dan parti yang sudah utuh ,” katanya.



Kerajaan sasar lahir 1,000 hafiz dan hafizah

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri berhasrat melahirkan 1,000 orang hafiz dan hafizah setahun dalam tempoh 10 tahun akan datang dan usaha kearah mencapai sasaran tersebut sedang dilaksanakan.

Antaranya usaha menaiktaraf Sekolah Pondok Darul Iman (PDI) di Hulu Terengganu dan Institut Pendidikan Islam (Inspi) di Kemaman.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan yakin capai sasaran berkenaan berdasarkan beberapa sekolah pondok moden diwujudkan di Hulu Terengganu dan Kemaman serta pertambahan sekolah Imtiaz di setiap daerah.

 “Sehingga ini kita mempunyai 300 hafiz dan hafizah seluruh negeri,” katanya kepada pemberita di Majlis Pelancaran Kitab Al-Fiqhul-Muyassaru Fi-Matla’il Badraini Wa Majma’il-Bahraini Siri Kedua dan Ketiga dan Kursus Metodologi Pengajaran Guru-guru Agama Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan Pengarahyayasan Islam Terengganu (YIT), Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail.

 Katanya, pada masa ini terdapat lima buah Sekolah Imtiaz di negeri ini setiap daerah kecuali Marang dan Setiu yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

 “Kita akan memperkasakan sekolah Imtiaz sedia ada dan membina dua buah sekolah lagi iaitu di daerah Marang dan Setiu bagi membolehkan lebih ramai pelajar masuk ke sekolah berkenaan,” katanya.

Tambahnya, ramai ibu bapa dari negeri-negeri lain berminat menghantar anak-anak mereka belajar di Sekolah Imtiaz, tetapi setakat ini kerajaan negeri hanya memberi peluang 10 peratus pelajar luar melanjutkan pelajaran di sekolah berkenaan.

 

Wajar pilih pemimpin berkaliber

 Oleh: Gelombang biru

 Masyarakat di Terengganu diminta jangan memperjudikan maruah dengan memilih parti yang belum pasti mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat, pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

 Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsudin Sulong (gambar), berkata tindakan memilih parti yang belum pasti boleh membawa hala tuju negara boleh mengakibatkan pelbagai kemungkinan berlalu.

“Memang benar, Malaysia sebuah negara demokrasi dan setiap kali pilihan raya diadakan, rakyat berhak untuk memilih mana-mana parti atau pemimpin..


“Harapan saya, biarlan pilihan kita itu tepat dimana memilih parti yang mampu membawa keharmonian dan bukannya parti yang tiada hala tuju,” katanya ketika berucapa pada Program Jati Diri di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

 Katanya, jangan sesekali cuba buat `eksperimen’ bagi menentukan pertadbiran negara atau negeri, kerana ia boleh bawa padah.

“Pembangkang sudah lama cemburu dengan kejayaan kerajaan Barisan Nasional, pelbagai taktik dan fitnah jahat dilemparkan golongan itu supaya rakyat terpengaruh,” katanya..

 Menurutya, mereka kata penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) umpama lembu dan ayam dan pemberinya pula sebagai firaun.

“Dulu makin hamun kerajaan bina Putrajaya tetapi kini berangan-angan kosong untuk ke sana; mendoakan kehancuran BN dan sebagainya

 “Apabila kita mendengar semua itu, adakah pemimpin itu layak untuk mentadbir negara,” katanya. Haji Shamsudin berkata, sebagai manusia berfikiran waras, kita boleh fikir baik dan buruknya, oleh itu, kepada mereka yang layak mengundi, wajib keluar untuk memilih pemimpin terbaik.

 


04 March 2013

Wanita UMNO Besut selar pemimpin PKR



Oleh: Mohammad Ishak 

Sikap biadab Naib Presiden PKR,Tian Chua yang menuduh pertempuran anggota pasukan keselamatan dengan penceroboh di Lahat Datu,Sabah sebagai konspirasi kerajaan dan UMNO satu kenyataan biadab

Sebagai tanda protes terhadap kenyataan itu,Wanita Umno Besut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, di Kampung Raja, semalam.

Ketua Wanita Umno Besut, Engku Naimah Engku Taib yang mengetuai ahli jawatankuasa pergerakan itu tiba di IPD Besut jam 10 pagi dan membuat loporan polis.

Bercakap kepada media selepas laporan dibuat,Engku Naimah berkata, pihaknya menyifatkan tindakan pemimpin pembangkagng itu sebagai manusia tidak bertanggungjawab dan lupa sejarah.

Katanya, pemimpin seumpa itu tidak sepatutnya berada di Malaysia kerana beliau tidak menghormati budaya hidup dan menjadi pengacau kepada keamanan negara

"Saya mewakili Wanita Umno Besut membantah keras tindakan Tian Chua yang cuba memperlekehkan pasukan keselamatan dan egara,” katanya.

 Beliau berharap, kerajaan mengambil tindakan setimpal supaya pemimpin pembangkan itu tidak lagi mengulangi perbuatannya yang sering mengeluarkan kenyataan yang membangkitkan kemarahan rakyat negara ini.

Kerajaan terbit 6,000 Kitab Feqah versi baru

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri telah menerbitkan 6,000 buah versi baru Kitab Al-Fiqhul –Muyassaru Fi-Matla’il Badraini Wa Majma’il-Bahraini untuk tatapan generasi masa kini.



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, usaha ini dilakukan sesuai dengan perkembangan semasa di samping untuk mengekalkan khazanah yang ditinggalkan oleh ulama terdahulu.

“Bahasa dan ayat yang terdapat dalam kitab lama memang unik dan kadang –kadang sukar difahami jadi kita ambil inisiatif untuk menerbitkan semula dengan menggunakan bahasa jawi moden yang mudah difahami,” katanya,

Menteri Besar berkata demikian di Majlis Pelancaran Kitab Al-Fiqhul-Muyassaru Fi-Matla’il Badraini Wa Majma’il-Bahraini, Siri Kedua dan Ketiga dan Kursus Metodologi Pengajaran Guru-guru Agama Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail.

Katanya, siri kedua dan ketiga masing-masing dicetak 3,000 buah setiap siri dengan kos keseluruhan RM825,000 manakala siri pertama telah diterbitkan pada 2011 dan diedar kepada guru-guru agama YIT yang mengajar di masjid dan surau seluruh negeri.

“Guru-guru agama dan guru takmir di kampung-kampung main peranan penting menyalurkan ilmu agama kepada masyarakat dan ia memerlukan bahan yang senang dan mudah difahami oleh semua golongan,” katanya.

Menurutnya, kitab ini telah ditulis oleh guru-guru agama dan ulamak yang hebat dengan menggunakan bahasa dan ayat pada zaman itu dan khazanah lama itu diangkat semula dalam bentuk moden yang lebih menarik dan mudah difahami tanpa menjejaskan maksud asal.

“Setakat ini kita hanya bekalkan kitab ini kepada guru-guru agama YIT secara percuma, tetapi jika ada orang ramai yang berminat untuk mendapatnya boleh berhubung dengan pihak YIT,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya telah menyerahkan Kitab A -Fiqhul-Muyassaru Fi-Matla’il Badraini Wa Majma’il-Bahraini siri kedua dan ketiga kepada pegawai agama daerah-daerah untuk disampaikan kepada guru agama di daerah masing-masing.



T-ISSI anjur program Dinner Talk

Oleh: Noraini Jusoh

Terengganu Integrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI) dengan kerjasama Pentadbiran Negeri akan menganjurkan Program Dinner Talk-Ke Manakah Halatuju “Kite” Di Alaf Baru, di Riyaz Heritage Hotel, malam esok.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka menyempurnakan majlis perasmian program tersebut.

Dua orang ahli panel yang akan terlibat dalam membincangkan topik yang akan dibicarakan pada malam tersebut ialah Tan Sri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah dan Profersor Dr. Mohammad Fairus Khairuddin sementara Tuan Haji Shamsuddin Sulong bertindak sebagai moderator.

Dianggarkan 500 peserta yang terdiri daripada Pegawai Tadbir Negeri, Pegawai Tadbir Agama, Ketua-Ketua Jabatan, Agensi-Agensi, Badan Berkanun Negeri dan Persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pegawai-Pegawai Akademik Pengurusan dan Profesional, Pesara, Pengurusan Tertinggi Syarikat-Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) serta Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) akan hadir ke majlis tersebut.

Lapan kategori meriahkan kejohanan merentas desa IPG

Oleh: Noraini Jusoh

Kejohanan Merentas Desa peringkat Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail baru-baru ini, berlangsung dalam suasana meriah dengan lapan kategori dipertandingkan.


Program anjuran Jabatan Pendidikan Jasmani dengan kerjasama Biro Sukan dan Rekreasi Jawatankuasa Perwakilan Pelajar itu melibatkan penyertaan daripada pensyarah, kakitangan IPG, guru pelatih serta guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan Institut Perguruan Kuala Terengganu.

Antara kategori yang dipertandingkan adalah kategori guru pelatih IPG lelaki / wanita, kategori pensyarah, staf dan guru lelaki / wanita, kategori veteran, kategori pelajar sekolah lelaki / wanita dan kategori istimewa.

Penyertaan Pengarah IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, Encik Ghulam Sarver Mobarak Ali telah membakar semangat peserta untuk memulakan larian pada kejohanan yang julung kalinya melibatkan penyertaan daripada pelajar Sekolah Kebangsaan Institut Perguruan Kuala Terengganu itu.

Lebih menarik, beliau sendiri yang memenangi kategori istimewa yang terbuka kepada semua peserta yang mempunyai berat melebihi 75kg bagi peserta wanita manakala 90kg bagi peserta lelaki.

Kejohanan tersebut turut diserikan dengan senaman aerobik yang dikendalikan oleh guru-guru pelatih dari Unit Pendidikan Jasmani dan acara cabutan bertuah mengakhiri program.

 

03 March 2013

RM7 juta bantu kontraktor kelas F Kuala Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Sebanyak RM7 juta telah diluluskan kerajaan bagi membantu kontraktor kelas F Kuala Terengganu untuk melaksanakan Projek Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Asas (PIAS) bagi tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, ‘Sistem Pengundian Berkomputer’ terpaksa diguna pakai bagi memberi keadilan kepada kontraktor yang memohon untuk mendapatkan projek-projek tersebut.

"Terdapat 221 projek yang ditawarkan manakala seramai 614 kontraktor telah mendaftar, justeru kita terpaksa mengunakan sistem ini untuk bersikap adil.

"Sesiapa yang mendapat projek tersebut berdasarkan nasib masing-masing dan tidak akan timbul soal pilih kasih,” ujarnya pada sidang media di Majlis Pengundian Projek PIA-PIAS Daerah Kuala Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, inisiatif ini dilaksanakan adalah sebagai usaha kerajaan untuk membantu kontraktor Bumiputera dan diharap mereka yang berjaya mendapatkan projek tersebut dapat menyiapkannya dengan sebaik mungkin dalam masa yang telah ditetapkan.

Tambah beliau, kontraktor juga seharusnya berusaha sendiri menyiapkan projek yang telah diperoleh dan tidak sepatutnya memberikan separuh daripada projek tersebut kepada pihak lain untuk disiapkan.

"Saya berharap kontraktor kelas F terutamanya belajar untuk buat sendiri dan berusaha untuk berjaya kerana keuntungan yang diperoleh hasil kerja sendiri lebih lumayan,” katanya.