Halaman

20 June 2013

Terengganu sasar 30 pingat emas

Paasukan Sukma Terengganu melaungkan amaran akan mengekalkan kejuaraan untuk kali kelima berturut-turut.

Oleh: Mastura Jamaluddin
Gambar oleh Zulkipli Putra dan Mastura Jamaluddin 

Terengganu meletakkan sasaran 30 pingat emas bagi kontijennya untuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-XVI Kuala Lumpur 2013 yang dijadualkan pada 26 Jun hingga 7 Julai depan.

Sasaran itu mungkin jumlah yang agak kecil tetapi ia pasti meningkat bersandarkan prestasi sebagai juara Sukma keempat berturut-turut sebelum ini. Tahun lalu pada Sukma Pahang XV, Terengganu mengutip 62 emas, 24 perak dan 31 gangsa, layak bergelar juara keseluruhan.

“Sasasan itu adalah berdasarkan kepada prestasi pasukan dan peningkatan mutu para atlet yang mampu bersaing dengan atlet kebangsaan dan antarabangsa,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, YB Haji Rozi Mamat selepas Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontijen Sukma Terengganu di Dewan Utama Akademi Binaan Malaysia (ABM) Jenagor, Hulu Terengganu, malam tadi.

Majlis penyerahan bendera kepada Ketua Kontinjen Terengganu.
Seramai 388 atlet berkampung di akademi itu sejak empat hari lalu dan akan berakhir pada 27 Jun ini, yang merupakan Kem Fasa Akhir Sukma XVI Kuala Lumpur 2013. Pada temasya Sukma kali ini, Terengganu yang turut dikenali sebagai kontijen Hanelang akan menyertai 17 daripada 20 acara yang dipertandingkan.

Pada majlis itu, Tuan Haji Mohd Kamil Othman diberi mandat sebagai Ketua Kontijen Terengganu pada tahun ini.

YB Haji Rozi berkata, keyakinan penuh diberikan kepada ketua kontijen bagi melakukan sesuatu yang luar biasa pada misi kali ini untuk mengekalkan kejuaraan buat kali kelima berturut-turut.


“Tahun ini sekali lagi kita dibekalkan atlet muda Terengganu yang mampu membuktikan kepada atlet dari negeri lain bahawa anak Terengganu juga boleh berjaya dalam apa jua yang di ceburi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pemerintahan Barisan Nasional cukup komited untuk bangunkan sukan. Oleh sebab itulah barisan pimpinan dalam negeri bersetuju untuk mengambil satu pasukan dalam satu acara yang di pertandingkan sebagai anak angkat.

“Mereka akan membantu segala yang diperlukan oleh pasukan anak angkat untuk menjadi johan dan mendapat pingat emas yang disasarkan.” katanya.


TUDUHAN KERAJAAN MEMBERI PROJEK PASAR PAYANG BERNILAI RM400 JUTA ADALAH FITNAH

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said hari ini mengingatkan kepada Adun Pas Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Nawawi supaya tidak membuat fitnah berkaitan isu pembinaan semula Pasar Kedai Payang.

 “Fitnah adalah lebih bahaya dari membunuh dan di dalam peristiwa Isra’ Mikraj digambarkan orang yang menfitnah itu lidahnya dipotong kemudian bersambung dan dipotong lagi begitulah berulang-ulang,” kata Menteri Besar.

 Ini berikutan kenyataan Dr Syed Azman di dalam Harakahdaily membuat kenyataan bahawa apakah rasionalnya diberikan projek bernilai RM400 juta kepada Tan Sri Abu Sahid dan tidak diberikan kepada rakyat Terengganu yang berwibawa. Petikan dari Harakahdaily:

Beliau berkata demikian pada satu sidang medianya di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Terengganu, di Pusat Niaga Paya Keladi dekat sini hari ini.

 Harakahdaily dimaklumkan, pembangunan baru Pasar Besar Kedai Payang yang menjadi kontroversi bernilai RM400 juta itu dikurniakan kepada syarikat terbabit yang telah memperolehi banyak projek di Terengganu termasuk Perwaja Steel di Kemaman.

Dr Syed Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok mendakwa, masih ramai kontraktor-kontraktor Terengganu yang berwibawa tetapi tidak diutamakan.

Justeru, kata beliau, apakah rasionalnya diberikan projek RM400 juta itu kepada seorang bergelar Tan Sri yang telah kaya-raya serta telah memperolehi banyak projek kerajaan negeri sebelum ini

“Ramai kontraktor-kontraktor Terengganu sekarang ini yang tidak ada projek untuk menjalankan projek-projek mereka.

“Apa rasionalnya diberi kepada seorang Tan Sri yang telah kaya-raya dan dapat projek terlalu banyak di Terengganu ini, termasuk projek Perwaja Steel di Kemaman yang Terengganu sendiri mengalami kerugian ratusan juta dalam projek Perwaja itu,” jelasnya.

Dr Syed Azman juga meminta semua termasuk pihak syarikat berkenaan agar dapat mengkaji semula cadangan pelaksanan projek tersebut yang mendapat bantahan semua pihak.

Menteri Besar Terengganu ketika membuat penggulungan perbahasan titah diraja menjelaskan, kenyataan Dr Syed Azman itu jelas dan nyata fitnah kerana tidak apapun pemberian projek berjumlah RM400 dari kerajaan kepada syarikat berkenaan sebagaimana yang dilaporkan itu.

 Sedangkan hakikat sebenarnya, syarikat itu ialah pemaju swasta yang mahu membina hotel di kawasan kedai payang dan kerajaan diberi percuma pembinaan pasar payang yang lebih selesa selaras dengan dasar pengswastaan, membuktikan kenyataan Dr.Syed Azman adalah fitnah.

Suasana dewan tegang apabila wakil Batu Burok tiba-tiba mengeluarkan perkataan yang boleh dianggap seperti ‘bodoh’ kepada Menteri Besar Terengganu ke atas jawapan yang diberikan, lantas Dato’ Seri Ahmad menyatakan jawapan bodoh kepada soalan bodoh.

Wakil Pas Batu Burok meminta menyemak peraturan Dewan tentang perkataan-perkataan yang boleh digunakan dan Menteri Besar menjelaskan bahawa perkataan ‘bodoh’ itu dimulakan oleh wakil Pas Batu Burok itu terhadapnya terlebih dahulu.

Menteri Besar meneruskan penjelasan dengan menyatakan bahawa kalau tidak buat pembangunan kerajaan juga akan dipersalahkan, membuat pembangunan juga dipersalahkan dengan berbagai maklumat yang salah dan fitnah.

 Pihaknya mendapati amat sesuai Pasar Payang dibina baru dengan suasana yang lebih baik termasuk berhawa dingin dan tangga bergerak kerana banyak sunggutan dari orang ramai dan pelancong yang datang berkunjung membeli belah di pasar berkenaan, bahawa suasananya amat tidak selesa dan panas.


45,110 pelangan berkunjung ke Bestasi.Com

Oleh; Esah Abdullah

 Seramai 45,110 pelanggan telah mengunjungi Pusat Bestari.Com yang diwujudkan disetiap daerah negeri ini dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian, Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri, YB A. Latif Awang berkata, pusat berkenaan telah beroperasi dengan baik serta mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari masyarakat tempatan.

“Pusat Bestari.Com diwujudkan disetiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga Parlimen untuk memberi khidmat kepada masyarakat di luar bandar mendalami ilmu teknologi maklumat, permbayaran bil secara melalui talian terus,

“Ia juga berfungsi sebagai pusat sumber maklumat kerajaan negeri serta pusat latihan keusahawanan pusat e-aduan dengan mempatkan petugas bagi memudahkan orang ramai membuat urusan,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri semalam.

YB A. Latif (BN-Pengkalan Berangan) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dari YB Haji Bazlan Abd. Rahman (BN-Batu Rakit) mengenai jumlah pusat serta pengunjung sepanjang beroperasi.

Katanya, mengikut pecahan Parlimen Besut mempunyai tujuh pusat Bestari.Com, Setiu (5), Kuala Terengganu (4), Kuala Nerus (8) dan masing-masing enam buah di Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

“Kerajaan sangat prihatin dalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat khususnya mereka yang tinggal di kampung-kampung dan pusat ini banyak membantu melancarkan urusan berkaitan ICT,” katanya.

19 June 2013

Sidang DUN: Ramai pihak akur keupayaan Terengganu di bidang sukan

YB MOHD MAHDI
Oleh: Aida Abd Rahman

Ramai pihak sudah menghormati prestasi dan kebangkitan pasukan Terengganu di pelbagai acara sukan, berbanding sebelum ini mereka secara terbuka memperlekehkan keupayaan negeri ini apabila bersaing di sebarang pertandingan.

YB Mohd Mahdi Musa (BN-Kota Putera), berkata keprihatinan dan tumpuan khusus kerajaan negeri terhadap pembangunan sukan memberi hasil yang membanggakan semua pihak khususnya rakyat tanpa mengira latar politik dan profesional.

 “Jika sebelum ini sebut sahaja, Terengganu dalam bidang sukan, sama ada Sukan Malaysia (Sukma), pertandingan bola sepak, kalau peringkat kebangsaan pihak lawan yang mahu menetang pasukan Terengganu, sebelum ini berkata `boleh makan’ dah (Terengganu) 3-0.

“Bagaimanapun oleh kerana langkah yang dilaksanakan kerajaan negeri sehingga kini, kita melihat Sukma khususnya, berjaya menjuarai kejohanan itu empat kali berturut-turut . Malah, Insya-Allah tahun ini kita juga akan menjuarai Sukma sekali lagi,” katanya ketika berbahas di persidangan DUN, hari ini.

YB Mohd Mahdi berkata, perkembangan yang sama juga dalam acara bola sepak berikutan ramai peminat sukan itu di seluruh tanah air sebelum ini melabelkan Terengganu sebagai pasukan`cap ayam’ (pasukan lemah), sudah mula mengakui prestasi baik pasukan tempatan itu.

atanya, Terengganu pernah menjuarai Piala FA 2011 dan hampir-hampir meraikan kejayaan bergandapada perlawanan final piala yang sama tahun lalu, selain melangkah ke perlawanan separuh akhir piala itu, baru-baru ini.

Selain itu, menurutnya Terengganu juga sudah melahirkan ramai pelumba basikal bertaraf dunia yang jelas membuktikan komitmen kerajaan negeri bagi meneruskan kesinambungan kemajuan sukan sehingga ke persada antarabangsa.

Sementara itu, beliau juga memgingatkan semua Adun jika mahu menjadi orang yang positif haruslah bersama orang yang positif serta berfikiran positif.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti pembangkang berada di pihak mana kerana golongan itu seakan-akan sengaja tidak mahu melihat setiap kejayaan dan kebaikan yang sudah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional selama ini.

 “Apa yang dilakukan kerajaan terlalu banyak, seakan peribahasa berkata, gajah di depan mata tidak dapat lihat, tetapi kuman di sebarang lautan selalu dilihat,’. Inilah yang selalu terbawa-bawa di kalangan pembangkang,” katanya.


Penemuan Mineral Andalusit di Terengganu

Terengganu dijangka memperoleh hasil pendapatan baharu berikutan penemuan Mineral Andalusit, sejenis bahan mineral dalam bentuk kristal, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Terengganu, Encik Zukeri Abdul Ghani berkata Mineral Andalusit ialah sejenis bahan yang tahan panas pada suhu yang tinggi dan lazimnya diguna dalam industri besi.

"Nama Andalusit mengambil sempena nama Andalusia di Sepanyol iaitu tempat pertama ia ditemui. Bahan itu merupakan komponen kimia alumina silikat yang sesuai untuk kegunaan industri refraktori termaju.

 "Jika kajian mendapati ia berpotensi untuk diusahakan, maka Terengganu mempunyai sumber mineral baharu untuk dikomersialkan," katanya di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) jabatan itu, seamalm.

Encik Zukeri berkata JMG sedang mengkaji dan memperhalusi gred dan jumlah bahan itu untuk dikeluarkan sebagai hasil ekonomi baharu Terengganu pada masa depan.

Beliau berkata nilai bahan itu boleh mencapai sehingga AS$7,000 (RM22,074) untuk satu tan berbanding bijih besi yang berharga antara AS$200 (RM630) hingga AS$300 (RM946) setiap satu tan.


Sidang DUN : Wakil rakyat BN berlaku adil termasuk kepada anak pemimpin Pas

Oleh: Aida Abd Rahman

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato’ Sabri Mohd Noor (gambar kanan) menafikan wakil rakyat Barisan Basional (BN) tidak berlaku adil terhadap anak penyokong pembangkang kerana beliau sebagai pemimpin kerajaan bersedia menurunkan tandatangan terhadap sebarang permohonan rakyat.

 “Baru-baru ini ada tiga pelajar ke rumah saya minta tandatangan untuk melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Jadi apabila dihulurkan saya tandatangan seorang demi seorang dan masuk yang ketiga saya tandatangan, apabila dilihat pelajar itu berbinkan `Hassan’.

“Apabila ditanya Hassan ini siapa dan dijawab Hassan Karim merupakan calon Pas yang melawan saya baru-baru ini (PRU13) seterusnya disahkan oleh pelajar itu. Saya kata tidak mengapalah, saya segera menandatanganinya,” katanya ketika sesi perbahasan persidangan DUN, hari ini.

Dato’ Sabri menjelaskan, situasi itu menunjukkan bahawa wakil rakyat BN juga tidak mengira latar belakang ibu bapa pemohon kerana mereka tetap akan menurunkan tandatangan termasuk kepada anak bekas calon Pas sekalipun, sebagai tanggungjawab terhadap rakyat yang memerlukan perkhidmatan.

Menurutnya, semua penduduk seluruh Langkap tiada sekatan untuk menemuinya bagi tujuan itu sekaligus dapat melancarkan lagi tanggungjawabnya sebagai pemimpin yang perlu mempunyai keprihatinan yang tinggi.

Beliau kemudiannya berharap semua wakil rakyat terus melaksanakan peranan sebagai pemimpin pilihan rakyat di kawasan masing-masing dengan sikap positif, mengekalkan keharmonian dan pertelingkahan semasa PRU13 dapat diselesaikan.

“Semua ini harus diusahakan kea rah positif dan jangan hanya dilakukan oleh golongan tertentu sahaja. Perpaduan rakyat adalah benteng utama kepada keamanan dan keharmonian sesebuah masyarakat.

 “Kita sebagai wakil rakyat sepatutnya sentiasa bersatu dan ikatan ukhwah setiap insan dapat dikekalkan,” katanya.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau sempat berjenaka sambil menjelaskan bahawa tandatangan itu diturunkan pada borang permohonan milik anak Hassan hasil perkahwinan dengan isteri yang muda dan bukan isteri pertama bekas calon Pas terbabit, sehingga menyebabkan Adun dan para pemerhati yang mengikuti persidangan itu sejak pagi turut tertawa.


Sidang DUN: Pelbagai bantuan tetap diteruskan-MB

Oleh: Suriati Ali

 Kerajaan negeri meminta rakyat, terutama kurang berkemampuan tidak perlu risau kerana pelbagai bantuan akan diteruskan walaupun Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan tipis.pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) lalu.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika menjawab soalan Iskandar Jaafar (Jabi-BN), berkata kerajaan Terengganu akan meneruskan pelbagai bantuan seperti Dana Raya, Dana Remaja, Bantuan Perubatan, Dana Tabung Kronik, Bantuan Atap Biru dan sebagainya.

 “Katanya, sebagai kerajaan yang bersikap cakna, prihatin dan bertanggungjawab, setiap janji akan dikotakan, walaupun terpaksa berdepan dengan fitnah pembangkang dan tohmohan.

“Bantuan-bantuan itu akan diagih secara berperingkat-peringkat bergantung kepada kesesuaian masa,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, sikap rakyat pelbagai ragam, bagi mereka yang tidak kenang budi, bagi emas seketul pun, tetap tidak berterima kasih.

 “Bagi orang yang berbudi bahasa pula , agih biskut sekeping pun tetap berterima kasih kerana mereka tahu menghargai setiap pemberian,” katanya ketika menjawab soalan tambahan YB Iskandar,” katanya.

 Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM2 juta setahun menerusi skim kebajikan sosial perubatan bagi membantu rakyat yang tidak berkemampuan membiayai rawatan.

 “Antara peralatan yang disediakan bagi manfaat pesakit termasuk kaki palsu, mesin oksigen, implant, lampin pakai buang, bekalan susu khas yang melibatkan jumlah perbelanjaan yang cukup besar.

 “Kita juga banyak berbelanja bagi membiayai rawatan pesakit kronik dan penyakit tertentu yang bukan terhad kepada kebajikan sosial perubatan sahaja.

 “Jika peruntukan ini masih tidak mencukupi, kerajaan sudi menambah peruntukan, semata-mata mahu rakyat hidup selesa dan sihat,” katanya.

 


Setiu jadi pembekal solar terbesar dalam negara

Oleh; Esah Abdullah

Daerah Setiu bakal menjadi pembekal dalam industri solar terbesar di negara ini apabila projek yang bernilai RM38.5 juta itu bila beroperasi kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang berkata, projek industri solar di Sungai Bari Langkap itu telah diluluskan kepada Syarikat Synergy Generated Sdn Bhd.

“Industri solar merupakan sumber baru dan industri ini akan menjadi pembekal solar terbesar di negara ini,”. ,” katanya pada Sidang Undangan Negeri semalam.

Dato’ Haji Tengku Putera (BN-Kuala Berang) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dato’ Sabri Mohd Noor (BN-Langkap) mengenai perkembangan terkini industr i solar di Setiu serta peluang pekerjaan yang wujud hasil pelaburan tersebut.

“Saya sangat yakin industri ini menjadi asas kepada pembangunan keseluruhannya serta sumber daripada solar ini merupakan perkara baru di negara kita,” katanya.

Katanya, Langkap merupakan kawasan baru yang perlu dimajukan sebagai sumber negeri dan tempias juga kepada masyarakat tempatan.

“Kerajaan turut bercadang membuka peluang kepada pelabur bertapak di kawasan indusrti Sungai Bari dan Saujana Setiu dan memberi jaminan menyegerakan urusan berkaitan kelulusan tapak dan sebagainya dalam usaha menarik pelabur ,” katanya.

Katanya, semua kawasan industri yang terdapat di negeri ini sebenarnya memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat dengan pembangunan lestari disetiap daerah.
 

PAS MANIPULASI TITAH

Oleh: Lang Telipot 

Perbuatan pihak Pas memanipulasi titah DYMM Sultan Terengganu dan menogok tambah apa yang tidak dititah oleh Tuanku amat ketara dan ia pula dilapor secara yang tidak tepat oleh blog pro pembangkang.

Dalam laporan itu kononnya Sultan Terengganu bertitah meminta pihak kerajaan supaya kerajaan negeri membuang sentimen kepartian dalam memberi bantuan kepada rakyat.

Ini bermakna parti Pas melalui para pemimpinnya cuba mencemarkan nama Sultan Terengganu untuk kepentingan mereka.

Apa yang disebut oleh Tuanku dalam teks titah di muka surat 18 ialah: “Oleh itu, kita menyeru Ahli Ahli Yang Berhormat, pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, pemimpin pemimpin sektor swasta dan NGO serta semua golongan masyarakat megeratkan hubungan antara satu sama lain tanpa mengira fahaman politik dan bekerjasama untuk mengharungi cabaran cabaran yang bakal ditempohi kelak”.

Muka surat 20: “Penuh rasa hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa mengambil kira ideologi politik masing masing”.

Oleh itu tidak timbul soal derhaka kepada Sultan seperti dilaporkan dibangkit oleh Adun Pas Chukai.

Sila bandingkan dengan laporan dan manipulasi laporan blog pembangkang (harakahdaily) dengan teks titah yang sebenar sebagaimana berikut: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh negeri diseru mentaati titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang mahu semua pihak membuang sentimen kepartian dalam memberikan bantuan kepada rakyat.

Adun Chukai, Hanafiah Mat memberitahu, selepas Pilihan raya Umum ke-13 lalu, JKKK telah berhelah dan tidak mahu menandatangani borang-borang permohonan rakyat dengan alasan kononnya mereka tidak ada kuasa lagi.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu berkata, apabila ditanya kepada pihak JKKK mengapa berbuat demikian diberitahu tidak mempunyai kuasa.

"Saya paling ramai orang mengadu, JKKK tak mahu tandatangan.

Bila saya tanya, dia (JKKK) kata MB tak beri untuk tandatangan dan dia (JKKK) sebut lagi, dia tak ada kuasa.

"Jadi saya juga minta MB Ahmad Said supaya dengar perintah (titah) sultan hari ini, jangan menderhaka," ujarya dipetik Buletin Online.

Sultan Mizan sewaktu bertitah merasmikan pembukaan penggal pertama sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) kali Ke-13 di Wisma Darul Iman kelmarin menyeru semua pihak bekerjasama tanpa mengira fahaman politik.

Harakahdaily sebelum ini melaporkan, Presiden PAS yang juga Adun Rhu Rendang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, titah tuanku itu harus diberi perhatian kerana selepas PRU13 Mei lalu, wujud diskriminasi terhadap rakyat kerana faktor politik.




Sidang DUN:KTNZ mampu tingkat ekonomi negeri

Oleh: Suriati Ali

Pengerusi Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi YB Roslee Daud memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Kompleks Tuanku Nur Zahirah (KTNZ) di Kampung Tanjung Bunut, Manir yang dibina dengan kos RM4.6 juta itu mampu meningkatkan ekonomi negeri.

 Katanya, pada masa sama langkah itu mampu menarik kedatangan peminat songket dan batik dari dalam dan luar negara.

 “KTNZ juga akan menjadi pusat informasi berkaitan perkembangan dan pembangunan tekstil tenun songket bersepadu selain pusat penyelidikan serta menyalurkan khidmat profesional berkaitan seni dan teknologi bertaraf antarabangsa,” katanya ketika menjawab Ridzuan Hashim (Teluk Pasu-Pas).

Menurutnya, pembinaa KTNZ dibawah kendalian Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) turut menyediakan kursus kemahiran tertentu yang mengambil masa setahun setengah.

 “Pengambilan peserta disasarkan kepada golongan remaja dan penduduk setempat, buat permulaan seramai 10 peserta sedang mengikuti kursus yang ditawarkan. .

 “Matlamat utama, YPU menyasarkan seramai 30 hingga 40 pelajar dapat mengikuti kursus di situ pada setiap sesi. Pelatih bakal menerima elaun sebanyak RM450 sebulan daripada YPU,” katanya.

 Katanya, penubuhan institut yang setanding dengan Institut Kraftangan serta sijil yang diiktiraf Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan itu mampu membuka peluang pekerjaan kepada pelatihnya apabila tamat kursus di situ nanti.

 Selain itu, pelatih IKSNZ juga bakal ditawarkan pekerjaan di KTNZ serta boleh menceburkan diri dalam mana-mana bidang berkaitan termasuk menjadi usahawan songket dan batik di seluruh negara.