Halaman

19 June 2013

Sidang DUN : Wakil rakyat BN berlaku adil termasuk kepada anak pemimpin Pas

Oleh: Aida Abd Rahman

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato’ Sabri Mohd Noor (gambar kanan) menafikan wakil rakyat Barisan Basional (BN) tidak berlaku adil terhadap anak penyokong pembangkang kerana beliau sebagai pemimpin kerajaan bersedia menurunkan tandatangan terhadap sebarang permohonan rakyat.

 “Baru-baru ini ada tiga pelajar ke rumah saya minta tandatangan untuk melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Jadi apabila dihulurkan saya tandatangan seorang demi seorang dan masuk yang ketiga saya tandatangan, apabila dilihat pelajar itu berbinkan `Hassan’.

“Apabila ditanya Hassan ini siapa dan dijawab Hassan Karim merupakan calon Pas yang melawan saya baru-baru ini (PRU13) seterusnya disahkan oleh pelajar itu. Saya kata tidak mengapalah, saya segera menandatanganinya,” katanya ketika sesi perbahasan persidangan DUN, hari ini.

Dato’ Sabri menjelaskan, situasi itu menunjukkan bahawa wakil rakyat BN juga tidak mengira latar belakang ibu bapa pemohon kerana mereka tetap akan menurunkan tandatangan termasuk kepada anak bekas calon Pas sekalipun, sebagai tanggungjawab terhadap rakyat yang memerlukan perkhidmatan.

Menurutnya, semua penduduk seluruh Langkap tiada sekatan untuk menemuinya bagi tujuan itu sekaligus dapat melancarkan lagi tanggungjawabnya sebagai pemimpin yang perlu mempunyai keprihatinan yang tinggi.

Beliau kemudiannya berharap semua wakil rakyat terus melaksanakan peranan sebagai pemimpin pilihan rakyat di kawasan masing-masing dengan sikap positif, mengekalkan keharmonian dan pertelingkahan semasa PRU13 dapat diselesaikan.

“Semua ini harus diusahakan kea rah positif dan jangan hanya dilakukan oleh golongan tertentu sahaja. Perpaduan rakyat adalah benteng utama kepada keamanan dan keharmonian sesebuah masyarakat.

 “Kita sebagai wakil rakyat sepatutnya sentiasa bersatu dan ikatan ukhwah setiap insan dapat dikekalkan,” katanya.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau sempat berjenaka sambil menjelaskan bahawa tandatangan itu diturunkan pada borang permohonan milik anak Hassan hasil perkahwinan dengan isteri yang muda dan bukan isteri pertama bekas calon Pas terbabit, sehingga menyebabkan Adun dan para pemerhati yang mengikuti persidangan itu sejak pagi turut tertawa.