Halaman

21 June 2013

Arkib kesan 85 peristiwa sejarah negara cetus polemik

Oleh: Aida Abd Rahman

Arkib Negara mengesan 85 tajuk atau peristiwa bersejarah yang ketepatan faktanya diragui sehingga mencetuskan polemik di kalangan masyarakat negara ini.

Susulan itu, sebanyak 29 sesi Polemik Sejarah dianjurkan oleh Arkib Negara sejak tahun 1994 sehingga sekarang bagi mendapatkan kesahihan dan fakta sebenar yang diperincikan menerusi pembentangan kertas kerja sebelum diterbitkan dan diedarkan kepada umum.

Ketua Pengarahnya, Puan Daresah Ismail, berkata sebanyak 83 kertas kerja diterbitkan melalui tiga jilid terbitan Polemik Sejarah Malaysia yang merungkai pelbagai topik dan fakta menarik sebalik peristiwa sejarah tertentu itu.

“Arkib Negara setakat ini mengesan termasuk peristiwa pembukaan Kuala Lumpur yang dikatakan diasas oleh Yap Ah Loy. Bagaimanapun, hasil pengkajian dan penemuan fakta baharu sejarah Malaysia oleh para ilmuwan sejarah mendapati Kuala Lumpur sebenarnya mula ditemui dan dibuka oleh orang tempatan iaitu Sultan Abdul Samad.

 “Sementara Ah Loy yang selama ini diwar-warkan sebagai pengasas Kuala Lumpur adalah tidak tepat sebaliknya saudagar China itu adalah seorang pendatang yang kemudiannya bertindak sebagai pemangkin kepada perkembangan industri perlombongan negara ketika itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Polemik Sejarah Malaysia Sesi Ke-29 di Dewan Al-Farabi, Institut Perguruan Kampus Dato' Razali Ismail, Batu Rakit, Kuala Terengganu, semalam.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah. Turut hadir, Pengarah IPG kampus berkenaan, Ghulam Sarber Mobarak Ali.

Lebih 1,000 peserta dari kalangan sejarawan, ahli-ahli akademik, guru-guru sejarah serta para pelajar tingkatan enam yang mengambil subjek sejarah menyertai program itu.

Puan Daresah berkata, penemuan fakta sejarah baharu itu juga terhasil daripada program Polemik Sejarah anjuran Arkib Negara yang turut mendapati 84 lagi tajuk atau peristiwa sejarah yang faktanya tidak tepat dan memerlukan penyelidikan semula.

Menurutnya, selain sejarah berkaitan Ah Loy menjadi polemik, lain-lain fakta sejarah yang diragui ketepatannya antaranya Sejarah Awal Kesultanan Johor-Riau, Sejarah Awal Kesultanan Melaka dan Sejarah Penempatan Awal Kedah.

Selain itu, sejarah Petempatan dan Kerajaan Awal Sarawak Sebelum 1400M, Petempatan Awal Semenanjung Malaysia Sebelum 1400M, Petempatan Awal Pulau Pinang dan sebagainya.

 "Jadi, menerusi Majlis Polemik Sejarah yang kita anjurkan ini dapat membantu memperbetulkan fakta sejarah yang tidak tepat demi kepentingan pensejarahan negara," katanya.

Menurutnya, pada tahun lalu, majlis Polemik Sejarah Malaysia berlangsung di Pulau Pinang sebelum diteruskan ke Sarawak dan Kuala Lumpur manakala tahun ini pula dladakan di Terengganu sebelum ke Johor pada Oktober ini dan Sabah, November nanti.