Halaman

16 June 2013

JPNIN sasar 50 SRS tahun ini

Oleh; Esah Abdullah

 Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri Terengganu sasarkan 50 lagi Skim Rondaan Sukarela (SRS) ditubuhkan pada tahun ini dalam usaha merapatkan komuniti dan juga bagi memerangi jenayah setempat.

Pengarahnya, Encik Burhanuddin Daud berkata, sehingga kini terdapat 391 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) wujud di negeri ini dengan sebanyak 316 SRS ditubuhkan.

Menurutnya, pihaknya galakan komuniti di negeri ini untuk libatkan diri dalam SRS bukan untuk kepentingan jabatan tetapi dalam usaha meningkatkan semangat perpaduan dan kejiranan serta cegah masalah jenayah.

“Peranan mereka bukan hanya sekadar untuk menjalankan tugas meronda pada waktu malam di kawasan perumahan, sebaliknya melalui aktiviti (rondaan) tersebut, dapat eratkan hubungan silaturahim dalam satu komuniti.

“Apabila komuniti sudah kuat masalah jenayah dapat dibendung tanpa mengundang sebarang masalah. Sebab itu kita sasarkan 50 lagi SRS dapat diwujudkan pada tahun ini,” katanya.

Beliau juga berharap berharap SRS dapat diperluaskan ke lebih banyak kawasan perumahan di bandar raya ini selain dipertingkatkan dalam usaha memerangi jenayah yang tidak pernah surut.

“Saya melihat, masyarakat di sini masih mempunyai hubungan kemasyarakatan dan silaturahim komuniti di sini masih utuh berbanding di bandar-bandar besar yang mengamalkan kehidupan menjaga kepentingan dan diri masing-masing.

 “Sebab itulah, peranan dan fungsinya dapat dimanfaatkan dengan baik. Harapannya juga amalan murni tersebut berkekalan,” katanya yang baru bertugas di sini pada 2 Jun lalu.