Halaman

16 June 2013

Kematian disahkan akibat virus leptospirosis

Oleh: Noraini Jusoh

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan kematian seorang kakitangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 8 Jun lepas setelah menyertai aktiviti di Pulau Bidong adalah akibat jangkitan virus kencing tikus (Leptospirosis).

Pegawai Kesihatan Epidemiologi JKNT, Dr. A.L Liza Abd Latip berkata, hasil ujian lanjut yang dijalankan di Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia mendapati keputusan darah Ahmadi Abdul Ghawi, 47, yang dikeluarkan dua hari lalu positif virus tersebut.

"Berikutan kes kematian tersebut, Pusat Penyelidikan UMT di Pulau Bidong ditutup sementara untuk pembersihan dan semua aktiviti diberhentikan sehingga keputusan sampel persekitaran yang diambil diketahui,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Menurut beliau, orang ramai yang baru pulang dari mengunjungi tempat berisiko seperti pulau yang tidak berpenghuni segera ke klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami tanda-tanda jangkitan virus ini.

"Nasihat saya kepada orang ramai agar segera dapatkan rawatan untuk mengesan virus ini lebih awal,” ujarnya.

Difahamkan, leptospirosis adalah penyakit berjangkit dengan pelbagai gejala klinikal, yang terdiri daripada penyakit ringan seperti selsema sehingga ke penyakit yang teruk dengan gejala berdarah dan kegagalan multi organ.

Leptospirosis teruk biasanya boleh menyebabkan kematian jika pesakit datang lewat ke klinik atau hospital dan rawatan lambat dimulakan.

Haiwan pembawa kuman leptospirosis adalah mamalia seperti tikus, lembu, anjing, musang, arnab dan lain-lain.

Haiwan-haiwan ini bertindak sebagai pembawa kuman leptospires dan mengeluarkan kuman melalui air kencing mereka yang bertanggungjawab untuk pencemaran air dan tanah.