Halaman

17 June 2013

Umat Islam diminta berpegang kepada ajaran al-Quran – Sultan Terengganu

Oleh; Esah Abdullah 

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru setiap umat Islam untuk bermuhasabah dan berpegang kepada ajaran Al-Quran dan Al-Sunnah dalam menangani isu-isu mencabar yang menyentuh tentang sensitiviti agama dan nilai budaya masyarakat setempat serta perlu ditangani dengan penuh bijaksana oleh semua pihak.

“Perkara ini jika tidak ditangani dengan teliti akan membawa akibat yang buruk kepada negeri ini,” titah Baginda di Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketiga Belas di Wisma Darul Iman hari ini.

Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Tengku Sri Temenggong Raja; Engku Kelana DiRaja; Yang Dipertua DUN, Haji Mohd Zubir Embong; Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah dan To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.

Kenamaan lain yang hadir ialah Kerabat-kerabat Raja; Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Orang-orang Besar Raja; Ahli-ahli Darjah Kebesaran Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negara serta pegawai kerajaan.

Titah Baginda, dalam menjayakan agenda pembangunan negeri, perpaduan tetap menjadi acuan utuh bagi meneruskan legasi pembangunan dan berharap bibit perpaduan terus tersemai dalam kalangan rakyat bagi menjadikan negeri ini maju menjelang 2020.

“Beta berharap semua lapisan rakyat akan terus mengekalkan semangat hormat menghormati antara satu sama lain yang merupakan tunjang kepada keamanan dan keharmonian yang dinikmati selama ini.

“Beta bersyukur kerana Pilihan Raya Umum ke-13 telah berjalan dengan aman dan berharap kerajaan yang dipilih memastikan dasar-dasar negeri yang dirangka sebelum ini diteruskan pelaksanaannya,” titah Sultan Mizan.

Baginda juga berpuas hati dengan hasil pelaksanaan program pembangunan yang dilaksanakan kerajaan di mana ekonomi telah berkembang pada tahap positif.

“Pencapaian yang memberangsangkan dapat dilihat dalam peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) daripada RM14,738 juta (2008) kepada RM16,200 juta (2012) iaitu pertumbuhan sebanyak 9.92 peratus.

“Angka-angka ini merupakan penterjemahan daripada aktiviti ekonomi yang rancak di negeri ini dan sektor perkhidmatan menjadi penyumbang yang ketara kepada peningkatan KDNK tahun lalu iaitu RM9,636 juta,” titah Baginda.

Titah Sultan Mizan, kerajaan yang berjaya adalah kerajaan yang mampu menguruskan sumber kewangan dengan penuh cekap dan berkesan justeru itu kerajaan perlu mengambil langkah berjimat cermat dalam perbelanjaan termasuk dalam aspek pelaksanaan projek dan program.

“Projek-projek yang kurang efektif dan tidak memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh perlulah dielakkan dan kerajaan perlu mengawal perbelanjaan dengan mengekalkan konsep berhemah,” titah Baginda.