Halaman

17 June 2013

Kerajaan negeri komited pertahankan industri batik

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri sentiasa menyokong industri batik kerana ia adalah salah satu identiti tarikan pelancong ke negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud berkata, Terengganu merupakan antara negeri yang terkenal dalam penghasilan batik bermutu dan 15 orang daripada 102 ahli Persatuan Batik Malaysia merupakan anak Terengganu.

"Sebagai usaha meningkatkan industi batik di Terengganu, kerajaan negeri giat mengadakan program inkubator dalam melahirkan pelapis usahawan batik.

"Usaha ini adalah berterusan untuk mengekalkan negeri Terengganu sebagai sebuah negeri yang banyak mengeluarkan batik di negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-7 Persatuan Batik Malaysia di Kompleks Kraf Noor Arfa Batik, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga banyak mengadakan pameran dan program di luar negara dalam mengembangkan industri batik untuk menembusi pasaran global.

"Ini adalah komitmen kerajaan negeri dalam memastikan negeri Terengganu memperkasakan industri batik serta kraf lain,” ujarnya.

Katanya, pengusaha batik Terengganu khususnya diseru agar terus mempertahankan industri batik kerana ia adalah warisan turun temurun.

"Saya yakin pengusaha batik akan sedaya upaya membuat inovasi dalam penghasilan batik dan teknik agar ia sejajar dengan tuntutan semasa dan fesyen terkini,” ujarnya.

Katanya, Persatuan Batik Malaysia yang lebih tujuh tahun ditubuhkan diharap mampu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai medan pertemuan dan perbincangan dalam memartabatkan industri batik.