Halaman

16 June 2013

Speaker baru berjanji pastikan sidang DUN lancar, ikut tertib

Oleh: Aida Abd Rahman

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Haji Mohd Zubir Embong, 49, yang baru mengangkat sumpah jawatan itu hari ini, menyifatkan amanah yang diberikan amat berat, bagaimanapun beliau bertekad untuk memastikan persidangan DUN berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini.

“ Alhamdulilah saya amat bersyukur dengan amanah yang diberikan oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerana jawatan Yang Dipertua DUN ini amat tinggi bagi insan yang lemah seperti saya.

“Insya-Allah saya berjanji akan memastikan perjalanan dewan mendapat kerjasama semua Adun dewan dan berjalan dengan tertib teratur serta semua mematuhi adab sebagai ahli dewan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Yang Dipertua DUN Bagi Penggal Ke-13, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Bekas Ketua Sektor Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) itu juga percaya dengan pengalaman kebanyakan ahli dewan yang sudah biasa menyertai persidangan DUN mampu melancarkan perjalanan dengan mematuhi adab dan tertib yang diperuntukkan sebagai ahli dewan.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) bertanding kerusi Ahli Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13, turut yakin sehingga kini, persidangan DUN di Terengganu masih baik dan bersih tanpa insiden tidak diingini, tidak seperti persidangan DUN di segelintir negeri lain serta percaya suasana aman itu dapat terus dipertahankan semua Adun.

Sementara itu, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN ke-13 hari ini bermula dengan Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Yang Dipertua DUN dan Majlis Angkat Sumpah Adun, manakala esok Istiadat Pembukaan Penggal Pertama DUN Ke-13, kira-kira jam 9.30 pagi

Pada hari ketiga dan keempat sidang mesyuarat  DUN juga akan diadakan bermula jam 9.30 pagi.

Bagi DUN penggal ini, BN mempunyai 17 ahli DUN manakala pembangkang 15 ahli.