Halaman

18 June 2013

Lebih ramai pengusaha batik diseru mendaftar sebagai ahli PBM

Oleh: Noraini Jusoh

Dalam usaha memartabatkan industri batik negara, Persatuan Batik Malaysia (PBM) menyeru lebih ramai pembatik dan pengusaha batik seluruh negeri mendaftar sebagai ahli persatuan.


Pengerusinya, Dato’ Leela Mohd Ali berkata, selain memperjuangkan hak pengusaha batik persatuan ini juga berperanan sebagai medan pertemuan dan perbincangan setiap ahli dan banyak faedah lain yang dapat dikongsi.

"Setakat ini, PBM yang ditubuhkan pada tahun 2006 hanya mempunyai 102 ahli sahaja, walau bagaimanapun suara persatuan ini telah mula didengar.

"Sebagai contoh, pihak Kastam dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menjemput PBM untuk menghadiri mesyuarat serta sesi perbincangan dan perundingan mengenai batik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-7 Persatuan Batik Malaysia yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud di Kompleks Kraf Noor Arfa Batik, semalam.

Katanya, Jabatan Perdana Menteri juga telah mengiktiraf dan menyokong PBM dengan menyumbang RM20,000 melalui Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) awal tahun ini.

Katanya, beliau yakin PBM mampu berjuang untuk pembatik dan pengusaha batik dari pelbagai aspek jika ramai lagi menyertai persatuan ini kerana bilangan ahli akan menjadi tanda ukur status perwakilan.

"Suara persatuan akan lebih didengar dan dilayan jika persatuan dilihat dan diterima sebagai satu badan yang mewakili pengusaha batik dan pembatik,” ujarnya.