Halaman

16 June 2013

SIDANG DUN DIJANGKA HANGAT: PEMBANGKANG IKTIRAF KEPUTUSAN PRU 13

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Bahagian kedua dan akhir. 

Kehadiran kesemua 15 orang wakil pembangkang, iaitu 14 orang dari Pas dan seorang dari PKR, di majlis angkat sumpah Yang Dipertua dan Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini membuktikan bahawa pembangkang menerima keputusan pilihan raya umum ke 13 dan mengiktiraf bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya telah menjalan tugas dengan sempurna.



Ini termasuklah Presiden Pas sendiri, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang yang mewakili Dun Rhu Rendang, Marang.

Kesemua pembangkang yang diketuai Adun Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut selaku ketua pembangkang juga telah mengangkat sumpah dan membaca skrip sumpah yang telah disediakan oleh pihak urusetia dewan sebagaimana peraturan-peraturannya.

Kalau sebelum ini pembangkang banyak membuat protes dan tuduhan bahawa SPR memihak kepada Umno, tidak menjalankan tugas dengan adil, menyeleweng, dakwat kekal yang tidak kekal, ‘black out’ dan sebagainya, tetapi dengan kehadiran mereka mengangkat sumpah sebagai ahli dewan hari ini di Terengganu dengan jelas segalanya yang disebut-sebut sebelum ini hanyalah mainan politik semata-mata untuk memburuk-burukkan parti pemerintah.

Bahkan wakil PKR sendiri, YB Azan Ismail (Adun PKR- Bandar) juga turut hadir mengangkat sumpah sebagai ahli dewan Undangan negeri Terengganu pada hari ini.

Kehadiran Presiden Pas mengangkat sumpah dengan tertib hari ini barangkali selaras dengan keputusan tidak rasmi Pas Terengganu pada 12 Jun baru-baru ini yang tidak berapa setuju dengan Himpunan 226 yang dianggap agenda peribadi pihak tertentu.


Difahamkan Haji Hadi sendiri tidak akan menghadiri perhimpunan itu. Mungkin Adun PKR Bandar, Azan Ismail akan hadir, belum dapat dipastikan lagi. Menyentuh tentang isu dewan pada sidang pertama, terutama pada 18 dan 19 Jun (sesi menjawab soalan dan perbahasan) adalah dijangkakan perbahasan dan isu yang mungkin berbangkit di dalam sidang Dun Terengganu kali ini ialah berkaitan pembinaan semula kedai Pasar Payang, royalti, pembangunan di kawasan yang pembangkang menang, Exco Agama dan lain-lain yang kebanyakan isu lama.

Walau pun berulang-kali Menteri Besar telah menjelaskan bahawa struktur binaan pasar payang, terutama di bahagian bawah (dalam air) sudah uzur dan boleh membawa keruntuhan, tetapi nampaknya pembangkang terus memainkan sentimen rakyat yang percayakan dakyah pembangkang.

Pada hal, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia yang telah memberitahu kepada kerajaan negeri tentang perkara itu (perlunya pembinaan semula) bermakna ia adalah perkara keselamatan dan bukannya ‘politik’ tetapi telah dipolitikkan oleh pihak pembangkang.

Bangunan baru pasar itu yang disepadukan dengan pembinaan hotel dan ‘apartment’ oleh pemaju tanpa membabitkan perbelanjaan kerajaan atau menyelamatkan wang rakyat pun telah diputarbelitkan oleh pembangkang seolah-olah untuk menyusahkan peniaga sedangkan untuk kebaikan.

Menteri Besar telah memberi jaminan bahawa peniaga di situ akan dikekalkan dan kadar bayar sewa yang mampu dibayar dan tambahan kepada unit-unit yang ada di pasar itu, tetapi pembangkang terus membuat hasutan dan pemalsuan maklumat.

Mengenai royalti atau wang hasil dari pendapatan minyak dan gas yang diperolehi oleh Terengganu seolah-olahnya wang itu tidak diberikan oleh kerajaan pusat.

Ehsan yang diberikan oleh kerajaan pusat sepatutnya disyukuri kerana hasil dari pemberian itulah menjadikan ‘lanskap’ Terengganu sekarang telah jauh berubah membangun, tetapi kerana dipolitikkan oleh pembangkang seolah-oleh menafikan kehadiran wang itu dalam pembangunan dan pengurusan negeri Terengganu.

Mengenai Exco Agama yang mungkin dibangkitkan juga , bagi Pas mereka lupa selama ini mereka pernah mengatakan tidak perlu adanya jabatan agama yang disamakan dengan kehadiran pejabat pos (ucapan Presiden Pas sendiri), bermakna semua perkara berkaitan agama adalah di dalam penguasaan semua portfolio Exco kerajaan kerana Islam itu syumul atau menyeluruh.

Oleh itu, tidak kiralah portfolio itu diuruskan oleh Menteri Besar atau Exco Tugas-tugaskan atau Exco lain, pokoknya ialah Islam itu adalah meliputi keseluruhan aspek dan perkara, bukannya diasingkan.

Penulis yakin, Presiden Pas dan wakil-wakil Pas keseluruhannya boleh bersetuju dengan perkara ini.

Manakala tentang isu pembangunan kawasan pembangkang dan ketiadaan perlantikan Pegawai Pembangunan Dun (PPD) sepatutnya ia sesuai dengan kehendak Pas sendiri sebelum ini, kenapa sekarang perlu dipolitikkan pula.

Bagi Pas mereka menyatakan sebelum ini, dalam amalan demokrasi berilah peluang kepada wakil rakyat Pas yang berkhidmat di kawasan yang diwakilinya, tidak perlulah kerajaan melantik PPD.

Oleh itu, apa yang disebutkan oleh Menteri Besar adalah menepati kehendak pembangkang selama ini, tidak perlu pertikaian apa-apa lagi, sokong sahajalah.

Mengenai peruntukan kepada pembangkang, zaman Pas berkuasa pun tidak diberikan, hanya pernah diluluskan sahaja peruntukkan itu kononnya untuk ‘tunjuk baik” tetapi ditarik balik selepas itu, itulah permainan politik kerajaan Pas semata-mata waktu itu untuk mengaburi rakyat.

Walaiu bagaimanapun, era baru ini marilah sama-sama kita buat transformasi baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Sama sama buatklah yang terbaik untuk faedah rakyat.

Apa yang kita harapkan, rakyat tidak mempercayai pembangkang semata-mata kerana kebjikasanaan mereka berpidato dan pandai memutar-belitkan fakta, tetapi dapatkanlah maklumat yang tepat dalam sesuatu perkara.

Pembangkang pula hendaklah berkata benar kepada perkara yang benar, janganlah hanya kerana kerajaan BN yang buat semua jadi tidak benar dan salah dan yang mereka buat walaupun salah dikatakan benar dan baik pula.

Semoga persidangan Dun Terengganu yang pertama selepas PRU 13 ini dapat memberikan gambaran bahawa perlunya semua ahli-ahli dewan yang terdiri dari rumpun dan kepercayaan yang sama, bersatu fikiran dan menuju ke arah yang lebih insaf untuk masa depan agama, bangsa dan negara/negeri mereka sendiri!