Halaman

20 June 2013

Hospital dan klinik diarah berjaga-jaga hadapi pencemaran udara

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri meminta semua hospital dan klinik di seluruh Terengganu mengambil langkah berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan akibat pencemaran udara yang boleh mengakibatkan risiko kesesakan nafas kepada pesakit asma.

Dato' Ahmad Razif (kanan) sedang berbual dengan peserta Karnival Skills Malaysia.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman mengesahkan sehingga kini masih tiada kes berpunca daripada kualiti udara tidak baik berikutan jerebu  yang dilaporkan di negeri ini.

"Keadaan masih lagi terkawal dan pihak kami sentiasa berwaspada bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

 "Bagaimanapun, kami sudah memaklumkan kepada pihak hospital dan klinik supaya mengambil langkah berjaga-jaga terutama kepada pesakit asma dan lelah yang berisiko dan dan terdedah dengan udara tidak sihat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Skills Malaysia, di Quinara Al-Saffir Tok Jembal, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Ahmad Razif menjelaskan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan indeks pencemaran udara (IPU ) berada pada tahap sederhana dengan bacaan antara 54 hingga 80 sehingga petang semalam. 

Katanya, kawasan Kemaman mencacatkan IPU 80, manakala di Kuala Terengganu dan Paka masing-masing mencacatkan bacaan IPU 75 dan 54. “Bacaan itu jauh lebih baik berbanding kawasan Kemaman sebelum ini mencatatkan bacaan IPU 108, yang paling tinggi setakat ini (tahap tidak sihat) pada Isnin lalu.

"Ketiga-tiga kawasan iaitu Kemaman, Paka dan Kuala Terengganu dan ini adalah antara kawasan yang kritikal di Terengganu sebelum ini. Bagaimanapun, laporan menunjukkan bacaan IPU di tiga kawasan ini semakin menurun dan berada pada tahap sederhana," katanya.

Beliau berkata, pihak JAS dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat juga sentiasa melakukan pemantauan secara berkala bagi memastikan tiada pihak melakukan perkara berisiko terutama pembakaran terbuka.

Katanya, pihaknya turut meminta pihak terlibat dengan pengawalan dan pemantauan itu khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat bertindak berasaskan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Negeri Terengganu.

Bacaan IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, 51 dan 100 sederhana,101 dan 200 tidak sihat, 201 dan 300 sangat tidak sihat dan melebihi 301 adalah berbahaya.

Kes jerebu yang menyelubungi negara sejak 16 jun lalu dikatakan berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia yang menyebabkan bacaan pencemaran udara yang tidak sihat di beberapa lokasi di seluruh negara.