Halaman

18 June 2013

Sidang DUN: Pembangkang mohon `kuasa' mereka diiktiraf

Oleh: Aida Abd Rahman

Wakil rakyat pembangkang yang kini mula merasai kehilangan `kuasa’ memohon kerajaan negeri supaya mengiktiraf tandatangan mereka dalam sebarang urusan dengan penduduk yang memohon bantuan kerajaan, pada sesi perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), petang ini.

YB Satiful Bahri Mamat (Pas-Paka) dalam perbahasannya turut menyentuh mengenai tidak perlu melalui `kesulitan ’ mendapatkan tandatangan bagi proses permohonan mendapatkan bantuan pendidikan dan pengajian menerusi Yayasan Terengganu (YT).

Beliau berkata, memadai setiap permohonan terus merujuk kepada YT tanpa pengesahan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), sebagaimana kelaziman.

“Saya merasakan kita kurangkanlah karenah birokrasi. Saya masih ingat zaman pemerintahan (1999-2004) pelajar yang mendapat tawaran universiti, buat diploma dan sebagainya tidak payah mendapat tandatangan Yang Berhormat dan Adun tetapi terus kepada Yayasan Terengganu,” katanya.

Sebelum itu, YB Tengku Hassan Tengku Omar (Pas-Ladang) juga menyuarakan perkara yang sama dan memohon kerajaan menjelaskan dasar yang digunapakai berhubung sah laku tandatangan wakil rakyat pembangkang.

 “Sebelum saya terlupa, mengenai tandangan Yang Berhormat, kita pada bulan lepas, saya bertanya apakah tandatangan YB dari pembangkang sah dan laku yang terpaksa diterima oleh agensi kerajaan yang memerlukan tandatangan YB.

 “Dengan jelas YAB Menteri Besar menjawab, ya. Sah dan laku mesti diterima termasuk YB pembangkang. Adakah dasar ini sudah berubah ataupun baru ini tidak diterima tandatangan YB kerana wakil rakyat belum akngkat sumpah lagi, yang mana satu, jadi nak minta penjelasan,” katanya.

Sementara itu , YB Ariffin Deraman (Pas-Alor Limbat) yang turut mengambil bahagian dalam sesi perbahasan itu juga menyentuh isu tandatangan yang didakwanya kini banyak menyusahkan dan dianggap sebagai diskriminasi.

“Kami tidak kisah pun mengenai tandatangan ini tidak dapat tandatan pun tidak mengapa, tetapi penduduk yang mahukan tandangan kami (wakil rakyat) untuk mendapat bantuan kerajaan dan sebagainya," katanya.

Beliau juga memberitahu penduduk yang menemuinyanya menyifatkan tindakan tidak mengiktiraf tandatangan wakil rakyat pembangkang sebagai satu dendam oleh kerajaan Barisan Nasional.

Sementara itu, YB Mohd Iskandar Jaafar (BN-Jabi) menyifatkan senario yang sama juga sebagaimana yang berlaku di Kelantan, apabila Kerajaan Pas negeri itu turut tidak mengiktiraf tandatangan daripada wakil rakyat BN selaku pembangkang.