Halaman

18 June 2013

Sidang DUN: Wujud kursus khas kepada graduan kurang cemerlang

Oleh: Suriati Ali

 Kerajaan Terengganu diminta mewujudkan kursus khas dalam tempoh tiga hingga enam bulan kepada graduan kurang cemerlang sebagai persediaan menjejakkan kaki di alam pekerjaan.

 YB Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih-BN) dalam sesi perbahasan pada Sidang Undangan Negeri hari ini, berkata langkah itu cukup penting bagi memantapkan kebolehan yang ada, termasuk berkaitan kaedah penggunaan dan komunikasi Bahasa Inggeris, Teknologi Maklumat dan Komunikasi yang diperlukan mana-mana industri.

 “Kebanyakan majikan syarikat ternama di dalam mahupun luar negara, kini tidak lagi memandang kepada kelayakan setakat diploma mahupun ijazah, sebaliknya mereka lebih gemar kepada pengalaman, kebolehan dan kelayakan di peringkat lebih tinggi.

“Saya gemar menyuara dan menyampaikan hasrat ini, supaya pihak berkaitan dapat memberi penekanan lebih awal dan sebolehnya melatih anak-anak sejak di awal usia,” katanya.

 Katanya, dia kesal dengan keadaan segelintir pelajar terutama yang dapat melanjutkan pelajaran, bersikap sambil lewa ketika menuntut ilmu dan mendapat markah peperiksaan hanya sekadar lulus `cukup cukup makan’.

 “Apabila keadaan ini berlaku, cukup sukar bagi seseorang pelajar itu untuk memiliki pekerjaan yang diimpikan bagi membantu keluarga,” katanya.

 Wan Abdul Hakim turut menyarankan supaya Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta di Terengganu supaya membuat kajian terlebih dahulu sebelum menawarkan bidang tertentu kepada pelajar. Katanya, ada anak-anak kita lulus cemerlang dalam bidang yang diambil, disebabkan ruang pekerjaan dalam tertentu yang ditawarkan agak terhad, akan berlaku pengangguran.

 “Saya percaya dengan adanya kajian ini, kita boleh kurangkan kebergantuangan kepada bidang tertentu saja, selain mampu mengelak kerisauan di kalangan graduan,”katanya.