Halaman

18 June 2013

Kerajaan sedia RM8.5 juta untuk usahawan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah memperuntukkan RM8.5 juta (1999-2012) bagi tujuan pinjaman kepada golongan usahawan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, YB Roslee Daud berkata pelbagai program telah dilaksanakan bagi membantu usahawan mengembangkan bidang yang diceburi.

“Antaranya menyediakan kemudahan pinjaman kepada usahawan yang memerlukan modal pusingan, menyediakan premis kilang dan perniagaan, pembangunan produk seperti pembungkusan dan perlebelan serta program promosi produk,” katanya.

YB Roslee (BN-Bukit Besi) berkata demikian ketika menjawab soalan YB Haji Muhammad Pehimi Yusof (BN-Jerteh) pada Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Katanya, turut disediakan latihan teknikal dan latihan pengurusan, melaksanakan program pembangunan perniagaan di bawah Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang melibatkan usahawan desa yang tinggal di kampung-kampung.

Tambahnya, bimbingan dan khidmat nasihat diberi keutamaan kepada usahawan untuk memberi peluang mereka meneroka lebih jauh dalam bidang yang diceburi.

“Beberapa skim diwujudkan bagi membantu mereka iaitu skim pinjaman tanpa faedah, pinjaman kecil, sahabat penjaja Melayu, pinjaman peniaga pasar malam dan pinjaman khas untuk mendapatkan kanopi,” katanya.

 Menurutnya, kerajaan menyediakan segala kemudahan untuk rakyat terutama masyarakat di luar bandar agar mendapat kehidupan lebih baik termasuk menceburkan diri dalam bidang usahawan sama kecil atau besar dan peluang itu tidak harus persiakan .