Halaman

16 June 2013

MB minta Adun jaga adat ketika berhujah

Oleh: Suriati Ali 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang bakal berhujah, pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu supaya menjaga adat dan peraturan.

 Mesyuarat bermula esok (17 Jun) dan berakhir Rabu ini(19 Jun) merupakan persidangan pertama Sidang DUN Terengganu selepas Pilihan Raya Umum Ke13 (PRU 13) yang menyaksikan Barisan Nasional mempertahankan pemerintahannya dengan memenangi 17 daripada 32 kerusi DUN dan empat daripada lapan kerusi Parlimen di negeri itu.

 Katanya, dia berharap semua Adun dapat memberi kerjasama baik ketika bersidang dan ikut aturan yang ditetapkan, jangan ikut emosi selain mengharapkan hujah yang disuarakan berdasarkan fakta..

“Ia bergantung kepada isu, jika seseorang Adun itu dapat berbahas secara rasional, dan memjawab soalan berdasarkan fakta-fakta yang benar, saya rasa tidak akan timbul perbalahan.

 “Sidang DUN akan menjadi hangat apabila wujudnya sikap cabar- mencabar, tuduh -menuduh dan mengeluarkan perkataan kurang elok, walaupun mengetahui situasi itu dilarang,” katanya.

 Beliau berkata demikian selepas selesai Majlis Pengisytiharan Pelantikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu Mohd Zubir Embong, dihadapan Setiausaha DUN, Encik Azhar Jusoh, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, dia berterima kasih kepada semua Adun terutama di pihak pembangkang yang memberi kerjasama baik dengan membaca skrip yang disediakan tanpa mengubah sebarang fakta. “Situasi itu cukup berbeza sewaktu berlangsungnya majlis sama pada penggal ke 11 di mana Adun pembangkang didapati mengubah skrip asal.

“Diharapkan sikap seperti ini berterusan demi kelangsungan tanggungjawab yang wajar dipikul sebagai Adun bagi membawa suara rakyat pada Sidang DUN penggal ke 13,” katanya.