Halaman

13 July 2013

AHMAD SAID DAN IDRIS JUSOH SAMA-SAMA BERUSAHA MEMENANGKAN CALON BN, TENGKU ZAIHAN


Ruslan Abdul Rahman melaporkan: Sekiranya anda hadir ke kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, pasti anda akan menemui dua pemimpin ini, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh bersama-sama berkempen untuk memastikan kemenangan calon BN, Tengku Zaihan Engku Abdul Rahman.
 Majlis utama yang sering dihadiri mereka ialah berbuka puasa bersama penduduk di beberapa kampong di Dun Kuala Besut yang akan disertai sama oleh calon BN, Tengku Zaihan.
Dalam gambar ini kelihatan Dato’ Seri Idris meletakkan kuah ke dalam pinggan nasi Dato’ Seri Ahmad di suatu majlis berbuka puasa semalam.
Sementara itu, bekas wakil rakyat Kuala Besut, Dato’ Haji Wan Zakaria Abdul Rahman dan Haji Abdullah Che Muda sentiasa mengiringi calon, Tengku Zaihan untuk menemui rakyat.

LIM KIT SIANG DAN DS HAJI HADI DISAPA DS IDRIS SEMASA PENAMAAN CALON PRK KUALA BESUT

Penasihat DAP, Lim Kit Siang adalah di antara pemimpin dalam pakatan pembangkang yang hadir menemani Presiden Pas,Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang di penamaan calon, PRK Kuala Besut semalam, lapor Ruslan Rahman. 
  Walaupun pada peringkat awal, anaknya Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP meminta Pas memboikot PRK itu, tetapi Pas meneruskan hasratnya bertanding juga.
  Hubungan rapat Presiden Pas dan Penasihat DAP itu amat jelas tergambar kerana mereka tidak pernah berpisah sama-sama memberi sokongan kepada calon Pas dalam PRK itu.
  Bagaimanapun, Menteri Pendidikan II, Dato' Seri Haji Idris Jusoh tetap menyapa kehadiran kedua-dua pemimpin pembangkang itu di pusat penamaan calon, Pusat Rakan Muda Daerah Besut.
  

TPM PUJI KERAJAAN NEGERI TERENGGANU BANGUNKAN PERUMAHAN UNTUK RAKYAT

Laporan Roslan Rahman dari Kuala Besut:
 Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin memuji langkah kerajaan Terengganu yang berusaha menyediakan perumahan kepada rakyat, iaitu dengan sasaran 10 ribu unit pada tempoh lima tahun.
  Langkah itu adalah menepati juga dengan dasar kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri , Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahu menyediakan perumahan kepada rakyat, termasuk golongan yang berpendapatan rendah.
 Tan Sri Muhyiddin memberitahu, dalam aku janji kerajaan BN dalam PRU 13 yang baru lalu, sebanyak 1 juta unit rumah akan di bina dalam tempoh lima tahun akan datang.
  Katanya, kementerian berkaitan sedang mengambil langkah-langkah wajar bagi menentukan taburan projek tersebut supaya meliputi seluruh negeri.
  Beliau berkata demikian ketika berucap di perasmian Perletakan batu asas pangsapuri mampu milik 4 tingkat Kampong Layout Tok Saboh Kuala Besut petang ini 13 Julai.
  Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan pemimpin-pemimpin negeri dan pusat serta penduduk kampong berkenaan.
   Tan Sri Muhyiddin menyatakan, bahawa memberi kemudahan perumahan kepada rakyat adalah menepati kehendak agama Islam.
    Beliau berkata, dasar-dasar kerajaan semuanya adalah menepati kehendak agama Islam dan janganlah ada pihak pembangkang cuba mengatakan apa yang kita lakukan tidak Islamik dan sebagainya hanya kerana perbezaan parti.


TENGKU ZAIHAN MENYENTUHI HATI PENGUNDI: JIWA SENI BAPANYA MENGALIR DALAM DIRINYA...

Oleh: Ruslan Rahman


 Calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman  berkempen dengan cara menemui pengundi secara mesra dan sentuhan hati.
 Sama ada pengundi muda, pertengahan dan pengundi lama (berusia) semua didekatinya agar memberi sokongan kepada beliau sebagai calon BN.
 Nelayan, petani, buruh dan sebagainya ditemui oleh Tengku Zaihan tanpa kekok kerana beliau adalah anak kelahiran Kuala Besut dan ramai yang mengenali beliau dan keluarganya.
 Tengku Zaihan mempunyai keluarga yang besar di Kuala Besut.
  Beliau ingin sekali melihat Kuala Besut dapat diberi kekuatan untuk dimajukan serta menekankan soal pembangunan dan peluang pekerjaan untuk dijadikan keutamaannya bila dipilih sebagai wakil rakyat nanti.       Hati dan jiwanya berdarah seni, mudah tersentuh hati dan berjiwa rakyat…..
  Dilampirkan sebuah puisi karya ayahandanya, KUALA BESUT SEBUAH NAMA:

 Kuala Besut sebuah nama keramat
 Ku ingat sejarahmu setiap menjelang
Fajar pagi yang kudus gemilang
Ku zikir namamu setiap siang memanjang
Ku mimpikan zaman manis bersama gadis-gadismu
 Beberapa musim berlalu

 Mengingati lagenda zaman bahari
 Panglima Abu dan Panglima Ebeh
 Yang gagah kening bertaut mata bulat berapi
 Dan rambutnya sampai ke buku lali
Menguasai pantai laut dan pulau-pulau
Dagang senteri dan Munsyi Abdullah
Gentar melewati pulau-pulau dan muara terdedah

Batin Besut yang berpengkalan
Di bibir kelu yang tenang dan
 Kaya dengan khazanahnya- menyerahkan
Lubuk Emas ini dengan segantang kail cuma
 Lalu berpindah ke hulu sungai – Batu Pahat
 Dan hilang entah ke mana
 Kuala Besut,
Engkau pernah menyaksikan api siang api malam
Kampong jadi renting di pusatnya masjid usang
Tetap teguh tetap selamat
 Engkau menyimpan para wali para keramat
Engkau miliki dua ulamak namanya Haji Muhamad

Di bawah kulung langit sedang aku berdiri
Di atas bumi nelayan yang sedang aku pijak ini
Putera puterimu bersuara lantang
Menghalau penjajah dalam segala bidang
Di sini lahirnya KMM
Di sini tegaknya PKMM,
API Dara muda membuak persis suara
Gelombang musim tengkujuh di pantai Besut.

Karya: Che Ku Abdul Rahman Che Ku Abdullah Kuala Besut 1990















KERJA-KERJA SEBAGAI WAKIL AKAN DIURUSKAN ORANG LAIN- KATA CALON PAS KUALA BESUT

Laporan Ruslan Rahman dari Kuala Besut: Akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian hari ini menyiarkan kenyataan calon Pas yang awal awal menyatakan akan melantik orang lain untuk menguruskan kerjanya jika menang. Kenyataan beliau yang boleh ditonton yang dimuatkan dalam portal Terengganu Today (http://terengganutoday.com) itu antara lain menyebut keadaan dia yang sibuk termasuk menguruskan perniagaan di Kota Bharu, Kelantan. Menurut laporan itu lagi, disebabkan itu beliau akan melantik dan menggaji orang lain untuk menguruskan kerja-kerjanya sebagai wakil rakyat sekiranya berjaya. “Saya ada banyak kerja sekarang, satunya saya ada perniagaan di Kota Bharu. Kalau saya keluar kerja pun, kerja-kerja sebagai wakil (wakil rakyat) akan diuruskan oleh orang lain, saya akan menggaji dia,” katanya seperti dipetik menerusi rakaman video tersebut.
                   
                     

Calon BN tumpu program agama

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, menumpukan kegiatan bercorak keagamaan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.



Beliau menghadiri majlis-majlis berbuka puasa bersama-sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan pemimpin-pemimpin Umno di masjid-masjid yang diatur petugas parti di seluruh kawasan DUN.

“Kebiasaannya kami mengadakan solat terawih di masjid yang berlainan pula. Selepas terawih kami menikmati moreh bersama-sama pegawai dan kakitangan masjid serta penduduk berhampiran.

“Saya rasa program seumpama ini amat baik kerana ia mendekatkan kita kepada Allah dan pada masa yang sama memberi peluang untuk beramah mesra dengan penduduk tempatan,” katanya kepada Teganukita  ketika ditemui semalam.

Tengku Zaihan menyifatkan kempen PRK Kuala Besut yang kebetulan jatuh pada bulan Ramadhan mempunyai hikmah yang tersendiri di mana ia memberi peluang kepada semua pihak untuk lebih banyak berada di masjid dan surau bagi menjalankan kempen.

“Bagi pihak BN kita memang memberi tumpuan kepada program bercorak keagamaan. Tidak ada ceramah besar-besaran seperti yang dibuat pada bulan lain sebagai menghormati bulan yang mulia ini.

“Saya harap generasi muda turut mengambil kesempatan untuk berada di masjid dan menghadiri program-program keagamaan yang telah kita atur sepanjang kempen pilihan raya ini,” katanya.

Beliau turut meminta pengundi di DUN Kuala Besut memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat di kawasan itu selepas PRK ini dengan memilih beliau sebagai wakil rakyat.

“Saya mahu berkhidmat kepada penduduk tempatan dan mencurahkan pengalaman yang ada bagi menyambung legasi Alahyarham Dr A Rahman Mokhtar membangunkan kawasan ini,” katanya.






Pembabitan Dua bekas wakil rakyat mantapkan lagi sokongan calon BN Kuala Besut


Dato' Wan Zakaria Abd Rahman                    Abdullah Che Muda


Oleh: Mohammad Ishak 

Kesediaan dua bekas Wakil Rakyat DUN Kuala Besut menjadi pencadang dan wakil calon membangkitkan semangat calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman,37 pada Pilihan Raua Kecil (PRK) DUN berkenaan 24 Julai ini.

Bekas ADUN terbabit,Dato' Wan Zakaria Abd Rahman diberi tanggungjawab sebagai pencadang manakala Abdullah Che Muda diamanahkan sebagai wakil calon.

Kedua-dua bekas ADUN berkenaan adalah idola kepada pengundi di DUN Kuala Besut kerana mereka banyak membantu mengubah sosio ekonomi penduduk di perkampungan nelayan itu.

Bekas ADUN berkenaan adalah penyangdag jawatan sebelum Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar diberi peluang bertanding menggantikan Abdullah pada 2008.

Manakala Wan Zakaria yang juga bekas Ahli Exco Kerajaan Terengganu, tokoh politik paling lama selepas 25 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu sebelum diambil alih oleh Abdullah.

Zaihan berkata, beliau terharu dengan sikap yang ditunjukkan oleh dua pemimpin itu kerana sanggup bergelombang dalam politik walaupun sudah lama bersara.

“Kesediaan mereka menjadi pencadang dan wakil calon satu pengiktirafan amat besar dan berharga kepada saya kerana mereka sangat berpengaruh dan masih dikenali rakyat,”katanya ketika ditemui Terengganukita.

Zaihan berharap, sokongan padu dua pemimpin terbabit akan membantu meraih sokongan pengundi terhadapnya sepanjang tempoh kempen PRK berkenaan berjalan.

Jangan bawa lambang parti ke Masjid

Mereka yang berkenaan diingatkan agar tidak meletak sebarang lambang parti politik di masjid dan surau di Kuala Besut sepanjang Pilihan Raya Kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Dato’ Mohd Rozali Salleh berkata, arahan itu bagi memastikan masjid dan surau tidak disalah guna untuk berkempen.

“Masjid dan surau adalah tempat ibadah dan kita tidak ingin rumah Allah ini digunakan untuk tujuan politik mana-mana parti,” katanya.

Beliau turut mengingatkan parti-parti yang bertanding, khususnya umat Islam agar menghormati bulan Ramadan ketika berkempen pada pilihan raya kecil itu.

Elakkan kempen yang berunsur fitnah dan mengumpat, nasihat beliau. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai ini untuk hari membuang undi manakala Jumaat ini sebagai hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu.

 Pilihan Raya Kecil itu diadakan selepas penyandangnya Dr. A. Rahman Mokhtar meninggal dunia pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

 

BN hanya tumpu ceramah kelompok kecil

Laporan Kamarudin Mat Akib, Mohamad Ishak dan Harun Hassan

Barisan Nasional (BN) hanya akan mengadakan ceramah bagi kelompok kecil bagi kempen Pilihan Raya Kecil Kuala Besut, bagi menyesuaikan dengan suasana bulan Ramadan.

Ketua Penerangan Umno Malaysia, Dato’ Haji Ahmad Maslan, berkata sebelum ini pihaknya tidak mengadakan ceramah sebaliknya kegiatan kempen bertumpu kepada aktiviti keagamaan di masjid dan surau di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

“Kita mengadakan majlis berbuka puasa yang melibatkan pemimpin dan masyarakat tempatan serta solat terawih dan moreh selepas terawih bagi meraikan masyarakat tempatan,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon semalam.

Bagaimanapun, katanya, bemula hari ini jentera BN akan mula mengadakan ceramah bagi kelompok-kelompok kecil bagi menerangkan kepada pengudi apa yang sudah dilakukan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, pijhaknya tidak bercadang mengadakan ceramah dalam skala yang besar bagi menghormati bulan puasa di mana umat Islam dituntut supaya memperbanyakkan ibadat.

“Kita tidak akan terikut-ikut dengan rentak pembangkang yang tetap mengadakan ceramah besar-besaran walaupun pada bulan puasa,” katanya.

Dato’ Ahmad Maslan yakin pendekatan yang digunakan oleh jentera BN dapat diterima oleh masyarakat di DUN Kuala Besut dan mereka akan memilih calon BN pada pilihan raya nanti.

“Calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman merupakan taruhan terbaik BN dan saya yakin beliau mampu menambat hati pengundi di kawasan kelahirannya,” katanya.



Lebih 1000 pelajar sertai kempen keselamatan jalan raya

Oleh: Noraini Jusoh

Lebih 1000 pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman menyertai Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya Allianz Malaysia yang bertujuan mendedahkan golongan muda khususnya pelajar sekolah mengenai keselamatan ketika berada di jalan raya.

Pengurus Wilayah Pantai Timur, Allianz General Insurance Company Malaysia Berhad, Tay Tam Huat, berkata sejak Julai 2011, sebanyak 61 kempen advokasi sudah dijalankan di seluruh negara.

"Sepanjang tempoh ini, lebih daripada 400 pekerja sudah dilatih oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk menjadi Duta Keselamatan Jalan Raya.

"Sekolah adalah antara tumpuan kami pada kali ini. Kempen ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk memupuk kesedaran keselamatan jalan raya di kalangan pelajar sekolah dan orang dewasa.

"Untuk tahun lepas sahaja sebanyak 31 kempen sebegini sudah dilaksanakan. Setakat ini, sambutan yang diterima sangat menggalakkan terutama daripada golongan muda," katanya ketika berucap pada Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya Allianz Malaysia, di SMK Sultan Sulaiman, baru-baru ini.

Beliau berkata lebih 6000 kematian jalan raya dicatat setiap tahun di Malaysia dengan seramai 18 hingga 20 orang terbunuh setiap hari.

"Penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang kira-kira 60 peratus daripada kematian yang kebanyakannya adalah golongan muda," katanya.

Justeru, katanya penting untuk menyebarkan pendidikan keselamatan jalan raya dan kesedaran untuk golongan muda supaya mereka sentiasa peka dan menjaga keselamatan diri ketika berada di jalan raya.

Pada kempen itu, sebanyak 600 pelekat reflektif diedarkan kepada penunggang motosikal. Allianz Malaysia juga menaja pertukaran 100 topi keledar yang tidak selamat dan terlalu lama dengan yang diluluskan oleh SIRIM.

Selain itu, 300 baju hujan dan 20 buah Kerusi Booster Keselamatan Kanak-kanak diedarkan kepada pelajar dan guru sebagai satu inisiatif kepada pelajar dan guru di sekolah berkenaan.