Halaman

25 July 2013

Hari pertama sebagai YB Tengku Zaihan jumpa orang ramai di pasar Kuala Besut


YB Tengku Zaihan dan isteri Salbiah menemui peniaga di pasar Kuala Besut

Oleh: Mohammad Ishak

Selepas dua belas jam bergelar Yang Berhormat, Tengku Zaihan Che Ku Rahman,37, turun padang dengan memilih lawatan ke Pasar Kuala Besut, untuk menemui rakyat dan membeli belah. Tengku Zaihan ditemani isterinya,Salbiah Othman,34, keluar dengan sebuah kenderaan dan bergegas ke pasar berkenaan yang menjadi tugas pertama selepas bergelar wakil rakyat.

Tengku Zaihan mewakili Barisan Nasional (BN) yang diumumkan pemenang dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon Pas, Endut @ Azlan Yusof memulakan tugas pertamanya berjumpa penyokong di pasar berkenaan.

Sebaik tiba di pasar itu beliau dan isteri beramah mesra dengan orang ramai dan peniaga yang menjalankan perniagaan di situ.

Katanya,walaupun masih dalam keadaan penat dan tidak cukup tido beliau berusaha sedaya upaya untuk menemui penyokong selepas diumumkan sebagai wakil rakyat malam semalam.

“Selepas ini saya akan menziarah seorang penduduk di Kampung Gong Nering,Kuala Besut yang dilaporkan meninggal dunia malam tadi,” katanya ketika di temui.

Mengulas kejayaan dipilih menjadi wakil rakyat beliau berkata, ia berkat sokongan dan kesungguhan jentera parti selain pemimpin Barisan Nasional (BN).

“Saya nak ucap terima kasih kepada semua pemimpin BN yang turun padang membantu saya ketika kempen pilihan raya selama 12 hari,” katanya.

Tengku Zaihan juga puas hati sokongan golongan muda yang turut membantu beliau mencapai kejayaan pada PRK Dun Kuala Besut itu.

 Malah,manjoriti tambahan yang diperolehinya juga hasil sokongan golongan berkenaan selain serta keluarganya yang sebelum ini memihak kepada pembangkang.

Bantuan Khas Aidilfitri ringan beban penjawat awam, pesara kerajaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan Aidilfitri kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54 serta RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan yang diumumkan semalam, memberi khabar gembira kepada golongan berkenaan.

Seorang penjawat awam, Mohd Hazli Mustafa, 30, bersyukur dengan bantuan khas berkenaan selepas beberapa minggu berteka-teki dan menunggu pengesahan sebenar mengenai `bonus’ hari raya itu.

 “Alhamdulillah, dengan wang RM500 itu dapat dijadikan perbelanjaan tambahan serta meringankan beban kami sekeluarga menyediakan kelengkapan hari raya, apatah lagi harga barang-barang semakin meningkat dari masa ke semasa.

“Ini membuktikan keprihatinan dan penghargaan kerajaan terhadap penjawat awam dan juga pesara khususnya ketika umat Islam sedang sibuk menguruskan persiapan hari raya yang bakal menjelang,” katanya.

Seorang lagi kakitangan awam, Malina Ali, 37, turut teruja dengan pengagihan wang hari raya yang mampu melancarkan urusannya menyediakan kelengkapan bersama tiga cahaya mata bagi meraikan lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi.

 “Sebelum ini, penjawat awam agak berteka-teki dan tertunggu-tunggu dengan bonus yang dikatakan `mungkin tiada’, bagaimanapun sangkaan itu meleset memandangkan kerajaan masih cakna dan peka dengan keperluan rakyatnya terutama pada musim perayaan sebegini yang menuntut lebih belanja,” katanya.

Sementara isteri pesara kerajaan, Aliza Abd Rahman, 42, berkata walaupun jumlah itu kecil berbanding sebelum ini, dia tetap gembira dan berasa bersyukur dengan kesudian kerajaan menyediakan duit raya yang dapat menampung sedikit sebayak perbelanjaan mereka sekeluarga apatah lagi selepas kematian suami 16 tahun lalu.

“Sekurang-kurangnya dengan bantuan khas itu, dapat saya berbelanja untuk menyediakan makanan kegemaran anak-anak dan juadah istimewa di hari raya ketika berkumpul bersama-sama sanak saudara,” katanya.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang diumumkan semalam, membabitkan peruntukan kewangan RM835 juta yang akan dibayar pada 31 Julai ini.

Selain pembayaran bantuan khas sebagai menghargai jasa bakti penjawat awam dan pesara itu, kerajaan turut melaksanakan dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada tahun ini yang turut diterima hari ini.

Pembayaran KGT membabitkan peruntukan kewangan RM1.3 bilion bagi 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion setahun.

Sementara pembayaran KGT dan Bayaran Bantuan Khas Kewangan bagi meringankan beban kewangan bagi persiapan Aidilfitri pula melibatkan keseluruhan peruntukan RM4.7 bilion.


50 peratus tenaga kerja berkemahiran teknikal untuk capai status negara maju

Oleh: Noraini Jusoh

Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia komited dalam memartabatkan bidang kemahiran bagi membantu negara menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Timbalan Ketua Pengarah JPK, Nidzam Kamarulzaman berkata, bagi tujuan tersebut Malaysia memerlukan lebih kurang 50 peratus daripada populasi tenaga kerja di negara ini terdiri daripada mereka yang berkemahiran teknikal.

Katanya, kerajaan sedar bahawa pentingnya meramaikan lagi bilangan tenaga mahir di negara ini kerana ia merupakan ciri-ciri atau keperluan sebuah negara maju.

"Jika kita lihat di Jepun, Korea dan sebagainya, jumlah pekerja yang berkemahiran teknikal sudah mencecah 50 peratus dan Singapura pula sudah mencapai angka 45 peratus.

"Tetapi, tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal di Malaysia masih lagi rendah iaitu sekitar 24 peratus,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Showme Skills Malaysia Competition 2013 di Hotel Permai Kuala Terengganu.

Menurut beliau, Malaysia harus mengejar peratusan ini supaya dapat bersaing dengan negara maju yang lain.

Katanya, dalam melahirkan ramai tenaga mahir berkemahiran JPK mengambil inisiatif mengadakan pertandingan Kemahiran Malaysia atau ‘Skills Malaysia’ yang bertujuan untuk memberitahu orang ramai terutamanya golongan belia bahawa bidang kemahiran bukan lagi bidang pilihan kedua.

"Kita hendak orang ramai tahu bahawa apabila mereka memilih bidang kemahiran, mereka masih mempunyai kerjaya dan masa depan yang baik.

"Malah, dalam membantu belia yang berminat dalam bidang kemahiran juga, pihak kami menjalin kerjasama dengan beberapa universiti teknikal di seluruh Malaysia untuk membolehkan pelajar-pelajar yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Katanya, dengan adanya laluan seperti ini beliau berharap pelajar yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang akademik mempunyai alternatif lain dengan menceburi bidang kemahiran sekaligus berupaya membekalkan tenaga mahir yang berkemahiran teknikal secukupnya menjelang 2020.

 

Taman Tropika Tasik Kenyir masuki fasa akhir

Oleh; Esah Abdullah

Terdapat 1,500 pokok melibatkan 112 spesies pokok buah-buahan termasuk yang jarang ditemui (nadir) ditanam di Pulau Tekak Besar dan Pulau Sungai Tekak di Tasik Kenyir.

Penolong Pengurus KIH Jabatan Pelancongan dan Pembangunan Tasik Kenyir, Encik Adnan Awang Sulong berkata, kedua-dua pulau tersebut dijadikan kawasan penanaman pokok buah-buahan nadir serta pusat penyelidikan dan juga mendidikan.

“Projek berkenaan telah dilaksanakan sejak 2008 itu kini telah memasuki fasa terakhir sebelum dibuka kepada orang ramai,” katanya.

Katanya, secara keseluruhan Taman Tropika itu berkeluasan tujuh hektar mendapat tenaga kepakaran daripada pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) sebagai konsultan dan pelaksana projek tersebut.

Katanya, menyedari kepentingan generasi spesies buah-buahan tersebut perlu dikekalkan lalu Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Mardi mengorak langkah mengumpul spesies buah-buah nadir bagi tujuan mengelak kepupusan.

Menurutnya, terdapat sesetengah spesies pokok buah-buah nadir itu hanya boleh dikenali dan ditemui oleh pakar barulah diketahui bahawa buahnya boleh dimakan mahupun tidak.

Antara pokok buah-buahan nadir yang terdapat di pulau berkenaan ialah buah ajaib, mahkota dewa, buah Melaka, buah pokok arang dan kedondong.
 

Kuala Berang Melangkah Ke Depan.

Oleh: Mastura Jamaldin

Program satu hari satu malam yang di adakan di Bahtera Kenyir walaupun singkat masanya tetapi memberi impak yang cukup besar apabila berjaya mengumpulkan seramai 80 orang yang terdiri daripada pemimpin masyarakat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN)Kuala Berang.

Retreat yang di laksanakan buat pertama kali selepas Pilihanraya Umum ke 13 mendapat sambutan apabila rata-rata yang hadir memberikan tindakbalas yang positif terhadap sesi bengkel yang di sampaikan oleh Dato’ Ghazali Taib atau lebih dikenali Ghazali King yang merupakan anak jati Kuala Berang yang cukup berjaya di perantauan.

 “Untuk mewujudkan pasukan kekitaan,dun kuala berang yang satu kepala,kuat dan jitu Demi menjadikan kuala berang boleh hebat,..kebanggaan kite,..untuk semua peringkat…..dalam 5 tahun ke depan….kuala berang kita hadiahkan satu peradaban terbaik,unik dan damai untuk dunia…”

“Hari ini…….kita sambung berfikir,kita bentuk pasukan ,kita pasang niat bersama ,kita susun baris-baris tindakan bagaimana nak satukan masyarakat dewasa , muda dan remaja dalam bentuk program tindakan untuk mereka” kata YBM Dato Haji Tengku Putera, ADUN Kuala Berang sewaktu memberikan ucapan aluan dalam program tersebut.

Menurut YBM Dato’ Tengku Putera,konsep yang pertama kali di perkenalkan iaitu belayar sambil berbengkel adalah untuk memberikan satu acara santai tetapi berpenuh bermaklumat kepada para pemimpin masyarakat dalam Dun Kuala Berang.

Retreat ini akan di teruskan dari semasa ke semasa kepada semua peringkat pemimpin secara berterusan untuk memastikan Kuala Berang terus melangkah ke depan.

 

24 July 2013

PRK Kuala Besut terbaik: Sharizat

Oleh: Mohammad Ishak

Pergerakan Wanita Umno akan menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, sebagai model kepada pergerakan itu untuk melakukan gerak kerja jika ada pilihan raya kecil pada masa akan datang

Ketuanya, Dato' Seri Sharizat Abdul Jalil berkata, PRK Kuala Besut adalah yang terbaik dan menjadi model kerana gerak kerja wanita yang rapi dan tersusun membolehkan jentera mendekati pengundi lebih berkesan.

Katanya, jentera wanita di PRK berkenaan adalah hebat dan beliau menghargai tugas yang dilakukan oleh ahli pergerakan itu yang sentiasa mendekati rakyat walaupun pada bulan puasa.



“Saya menganggap PRK di sini adalah yang terbaik dan bangga dengan pencapian calon Barisan Nasional (BN),” katanya selepas pengumman kemenangan, calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkata, penduduk Kuala Besut membuat pilihan bijak kerana mengundi calon BN.

Katanya, parti juga memilih calon paling tepat untuk mempastikan kerusi DUN Kuala Besut terus kekal menjadi milik BN. Tamat




PAS KECUNDANG DI DUN KUALA BESUT

Laporan : Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Haris Fadzillah 

Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri(DUN) Kuala Besut, malam ini disambut dengan penuh tawadhu oleh calon dan saf kepimpinan Umno dan BN, apabila bapa calon sendiri membacakan doa bagi memanjat kesyukuran kepada Ilahi atas kemenangan itu.



Selepas pengumuman keputusan pilihan raya itu dan sidang media yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Mohd Yassin di Dewan Majlis Daerah Besut, bapa calon,Che Ku Abd Rahman Che Ku Abdullah membacakan doa selamat, sebagai asas perjuangan Tengku Zaihan selepas bergelar wakil rakyat.

Keadaan agak berbeza apabila calon Pas, Endot @ Azlan Jusuh yang tewas pada PRK ini langsung tidak kelihatan di dalam dewan.

Begitu juga pemimpin dan penyokong Pas langsung tidak hadir sewaktu pengumuman keputusan pilihan raya dilakukan Pegawai Pengurus Pilhan Raya, A. Rahim Jusoh.

Pada pilihan raya ini Tengku Zaihan mendapat 8,288 undi menewaskan calon Pas dengan majoriti 2,592 undi.

 

KEMENANGAN TENGKU ZAIHAN TANDA SOKONGAN RAKYAT KEPADA BN - TPM

Laporan terus dari pusat penjumlahan undi : 
Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Haris Fadzillah 



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menyifatkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilhan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, merupakan manifestasi sokongan pengundi kepada BN.

“Saya memanjat kesyukuran kepada Allah atas kemenangan ini kerana ia amat bermakna bagi BN kerana kita mendapat majoriti yang lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu.

“Kemenangan ini jelas menunjukkan pengundi memberi kepercayaan kepada calon BN dan mereka percaya kepada BN yang mengotakan setiap janji yang dibuat oleh pemimpin kita,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRK Kuala Besut di Dewan Majlis Daerah Besut, malam ini.

Beliau berkata, walaupun peratus mengundi kali ini agak rendah iaitu 80 peratus berbanding 86.7 peratus pada PRU-13, yang jelas sokongan kepada BN semakian bertambah dengan majoriti yang lebih besar iaitu 2,592 undi (majoriti pada PRU-13 ialah 2,434 undi).

Katanya, BN juga menang di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada pilihan raya kecil ini, termasuk di dua PDM yang BN kalah pada pilihan raya umum lalu.

“Ini menunjukkan sokongan rakyat kepada BN semakin meningkat kerana mereka lebih gemar kepada corak kempen yang menitikberatkan kegiatan bercorak keagamaan sepanjang kempen pilihan raya ini yang kebetulan jatuh pada bulan Ramadhan,” ujar beliau.

Katanya, BN menjalankan kempen secara berhemah dan tidak menyerang peribadi calon serta mengelak daripada melakukan fitnah kepada pemimpin dan calon pembangkang.

Bagaimanapun, katanya, keadaan agak berbeza dengan kempen pembangkang yang masih menggunakan taktik yang sama seperti kempen mereka sebelum ini yang lebih gemar melempakan fitnah dan memburuk-burukkan kerajan dan pemimpin BN.

Justeru itu, katanya, pengundi di Kuala Besut dapat menilai keadaan ini dan mereka membuat keputusan untuk memilih calon BN berbanding Pas.


 

BN KEKAL DUN KUALA BESUT

Laporan terus dari pusat penjumlahan undi : 
Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan
Gambar: Haris Fadzillah 



Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) Kuala Besut apabila calonnya Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman menewaskan calon Pas, Endot @ Azlan Jusuh pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan yang keputusannya diumumkan malam ini.



Pegawai Pengurus Pilihan Raya, A. Rahim Jusoh sewaktu mengumumkan keputusan PRK itu pada jam 10 malam, memberitahu Tengku Zaihan mendapat 8,288 undi manakala lawannya hanya mendapat 5,696 undi.

Pengumuman mengenai kemenangan calon BN itu disambut dengan tepukan gemuruh oleh penyokong BN yang berhimpun di dalam dan luar dewan Majlis Daerah Besut, Gong Kemuntong, yang juga lokasi pusat penjumlahan undi bagi PRK Kuala Besut.

Turut hadir bagi meraikan kemenangan itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh; pemimpin-pemimpin BN dan UMNO negeri Terengganu serta Tengku Zaihan.

Pada pilihan raya kali ini Tengku Zaihan meraih sebanyak undi majoriti sebanyak 2,592 berbanding undi yang diperolehi penyandang Dr A. Rahman Mokhtar mendapat 2,434 undi dalam PRU13 lalu.

Undi rosak dan telah ditolak dalam pilihan raya ini ialah 125.

Pilihan raya kecil ini dilakukan setelah kerusi DUN Kuala Besut kosong setelah penyandangnya, Dr A. Rahman Mokhtar meninggal dunia akhir bulan lalu akibat barah paru-paru.

Pada PRK ini sebanyak 80% daripada sejumlah 17,683 pemilih yg layak mengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka.

 





PRK Kuala Besut guna dakwat kekal, kaedah berbeza

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar Harish Fadzillah 

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan dakwat kekal yang berbeza berbanding Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu.

Difahamkan dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya ini mengandungi peratusan nitrat perak yang lebih tinggi supaya dakwat kekal berkenaan benar-benar kekal.

Sebelum ini, SPR mengadakan satu demostrasi dakwat kekal di Kuala Besut di mana wartawan diberi peluang merasai pengalaman ‘mengundi’ tersebut.

PRK Kuala Besut juga menyaksikan suasana penggunaan dakwat kekal berbeza di mana pada kali ini pengundi perlu mencelup jari tangan mereka ke dalam botol dakwat berbanding jari dicalit oleh petugas SPR sebelum ini.

Mengikut undang-undang sekarang, dakwat kekal harus digunakan untuk mengesahkan bahawa seseorang itu telah mengundi. Dalam perkembangan lain, tinjauan Teganukita di pusat-pusat pengundian di DUN Kuala Besut sehingga tengahari ini bejalan lancar dan tiada sebarang kejadian buruk dilaporkan.

Pihak berkuasa dan SPR berpuas hati dengan keadaan di tempat pengundi dan sikap ‘gentleman’ kedua-dua parti yang bertanding membantu melancarkan proses pengundian yang akan berakhir jam 5 petang ini.