Halaman

24 July 2013

PRK Kuala Besut guna dakwat kekal, kaedah berbeza

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar Harish Fadzillah 

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan dakwat kekal yang berbeza berbanding Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu.

Difahamkan dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya ini mengandungi peratusan nitrat perak yang lebih tinggi supaya dakwat kekal berkenaan benar-benar kekal.

Sebelum ini, SPR mengadakan satu demostrasi dakwat kekal di Kuala Besut di mana wartawan diberi peluang merasai pengalaman ‘mengundi’ tersebut.

PRK Kuala Besut juga menyaksikan suasana penggunaan dakwat kekal berbeza di mana pada kali ini pengundi perlu mencelup jari tangan mereka ke dalam botol dakwat berbanding jari dicalit oleh petugas SPR sebelum ini.

Mengikut undang-undang sekarang, dakwat kekal harus digunakan untuk mengesahkan bahawa seseorang itu telah mengundi. Dalam perkembangan lain, tinjauan Teganukita di pusat-pusat pengundian di DUN Kuala Besut sehingga tengahari ini bejalan lancar dan tiada sebarang kejadian buruk dilaporkan.

Pihak berkuasa dan SPR berpuas hati dengan keadaan di tempat pengundi dan sikap ‘gentleman’ kedua-dua parti yang bertanding membantu melancarkan proses pengundian yang akan berakhir jam 5 petang ini.