Halaman

23 July 2013

Bekas YB bantu kemenangan BN

Oleh: Aida Abd Rahman

Kehangatan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut yang semakin memuncak dan tinggal beberapa jam lagi bukan saja digerakkan seluruh jentera dan kepimpinan parti serta negeri yang bekerja keras, malah kelibat bekas wakil-wakil rakyat turut memberi kesan besar bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) esok.

Kesediaan bekas wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut seperti Dato' Wan Zakaria Abd Rahman dan  Haji Abdullah Che Muda bertindak sebagai pencadang dan penyokong kepada calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman itu  membukti perpaduan utuh dan semangat setiakawan yang masih ampuh dan wajar diteladani.

Selain dua bekas pemimpin itu, antara wakil rakyat lain yang turut turun padang membantu kempen PRK berkenaan termasuk Dato’ Rosol Wahid (bekas Adun Ajil).

Menerusi laman sosial , facebook yang dikemaskini beliau, Dato’ Rosol ternyata bersikap terbuka apabila menyertai jentera parti bersama rakan pemimpin yang lain bagi memastikan kemenangan BN di DUN itu.

Antara status beliau yang terbaru, `Minum air bersama ex YB Paka ex YB Bukit Besi sempena membantu PRK K Besut...moga BN menang besar...Insya-Allah.’ Manakala status semalam berbunyi ` PRK K Besut 2 hari lagi....semangat semakin memuncak...Insya-Allah kemenangan BN dengan cemerlang...BN= BERI NIKMAT...’

Beliau juga dikatakan menyertai kempen berkenaan sejak hampir seminggu lalu berdasarkan status yang menyebut `Ketgi bertolak ke PRK K Besut..tolong kwn-kawan kempen...insya-Allah dipermudahkan...’.

Ternyata sikap rendah diri beliau harus dijadikan contoh oleh bekas pemimpin dan wakil rakyat lain bagi memastikan kemenangan BN dan kekuatan perjuangan Umno.

Beliau yang tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13, baru-baru ini tetap menerima ketentuan takdir itu dengan redha serta memegang kepada prinsip parti perlu diutamakan daripada individu.

“Itu prinsip saya dari dahulu hingga kini. Memang cabaran cukup besar apabila tidak disenaraikan. Tapi, saya lebih terbuka. Bahawa semua yang berlaku adalah ketentuan Ilahi.

 “Cuma, apa yang ingin saya tegaskan bahawa kepentingan parti perlu diletak nombor satu daripada individu. Saya akui bahawa, ramai pengundi di Ajil yang kecewa, tetapi saya jelaskan bahawa perlu akur dengan keputusan pucuk pimpinan dalam proses pencalonan tersebut,” katanya dalam catatan blog beliau sebelum  ini.