Halaman

23 July 2013

Puspakom tawar pemeriksaan kenderaan percuma menjelang hari raya

Oleh; Esah Abdullah 

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menawarkan pemeriksaan sukarela secara percuma kepada pemilik kenderaan persendirian bermula 22 Julai hingga 7 Ogos depan.

Jurucakap Jabatan Komunikasi dan Khidmat Pelanggan Puspakom Sdn Bhd berkata, tawaran itu bertujuan memastikan kenderaan dipandu selamat di jalan raya sepanjang perjalanan balik kampung.

“Pemeriksaan percuma ini antaranya merangkumi pengesahan identiti kenderaan, ujian pengeluaran asap, gelincir sisi, brek suspensi dan ketelusan cermin,” katanya.

Di Terengganu katanya, pelanggan boleh menjalani pemeriksaan percuma di semua cawangan Puspakom yang terdapat di negeri itu dari Ahad hingga Khamis mulai jam 8 pagi hingga 5.30 petang dan Sabtu dari 8 pagi hingga 5 petang.

 Selain itu katanya, jika ada sebarang pertanyaan atau maklumat, orang ramai boleh hubungi talian bebas tol Puspakom 1-800-88-6927 atau layari laman sesawang di www.puspakom.com.my.