Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) melaksanakan penternakan puyuh secara bersepadu bagi mengeluarkan bekalan daging puyuh segar kepada orang ramai dalam usaha mencapai hasrat menjadi hab puyuh utama di wilayah Pantai Timur.
Pengurus Besarnya Wan Mat Amin Wan Daud berkata, setakat ini Ketengah telah melabur sebanyak RM5 juta melalui peruntukan yang telah diluluskan kerajaan negeri pada tahun 2006 untuk Pusat Penetasan dan Projek Ternakan Puyuh.
"Ternakan puyuh merupakan projek ekonomi Ketengah di mana kita mempunyai pusat ternakan dan pembiakan sendiri iaitu Pusat Penetasan dan Projek Ternakan Puyuh di Bandar Seri Bandi, Kemaman yang dikendalikan anak syarikat Ketengah, Surada Jaya Sdn Bhd.
"Sekarang ini, keupayaan pusat penentasan puyuh berkenaan berjaya mengeluarkan anak-anak puyuh kira-kira 800 ribu setahun dan dijangka mampu menghasilkan 1.2 juta dalam tempoh yang sama pada masa akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Berbuka Puasa Ketengah Bersama Media di Primula Beach Hotel, baru-baru ini.
Katanya, lapan puluh peratus daripada anak-anak puyuh ini akan diternak sendiri oleh anak syarikat Ketengah dan dua puluh peratus lagi akan dibekalkan kepada penternak luar.
"Anak-anak syarikat Ketengah juga melakukan pemasaran terhadap puyuh-puyuh yang diternak oleh orang kampung sekali gus memudahkan mereka untuk memasarkan produk puyuh masing-masing,” ujarnya.
Katanya, setakat ini pasaran puyuh tidak ada masalah kerana sentiasa mendapat permintaan berterusan terutamanya daripada pasaraya di negeri ini.
Tambah beliau, pihaknya percaya dengan kemudahan yang ada dan bakal beroperasi pada tahap maksimum, maka hasrat Ketengah untuk menjadi hab bagi ternakan puyuh di Pantai Timur akan dapat dijayakan.
"Apa yang penting ialah kesan dan impaknya bakal memberi manfaat besar kepada penduduk setempat,” jelasnya.