Halaman

22 July 2013

TTI - ANSARA anjur kempen derma darah

Oleh: Aida Abd Rahman dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar (pelatih)

Pihak Pengurusan Taman Tamadun Islam, TTI Management Sdn Bhd (TTIMSB) bersama Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia, ANSARA akan menganjurkan Kempen Derma Darah Ramadhan Ansara TTI 2013 ‘1Darah 1Malaysia’ pada Khamis ini (25 Julai).

Pengarah Urusan TTIMSB, Haji Wan Adnan Wan Derahman, berkata program derma darah berkenaan dilaksanakan sempena Kempen Derma Darah Tahunan Seluruh Malaysia Ansara 2013 bagi edisi ketujuh.

“Kempen sehari ini dijangka bermula jam 6.30 petang bertempat di Pusat Konvonsyen TTI, Taman Tamadun Islam dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat sekitar yang berkelayakan menderma untuk mengisi Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

“Pada masa yang sama,pihak XKT (Ansara Cawangan Kuala Terengganu) juga bersedia menaja penderma untuk berbuka puasa secara percuma di TTI pada hari berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

 Haji Wan Adnan berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan penderma yang layak bagi memeriahkan sambutan itu selain penderma menikmati faedah terrmasuk pengecualian bayaran rawatan dan wad dalam tempoh tertentu bergantung kepada jumlah derma yang sudah dijayakan.

“Oleh itu,pihak kami sangat berbesar hati sekiranya pihak yang mengetahui makluman serta menerima surat jemputan berhubung program ini dapat menghantar wakil yang layak untuk menderma bagi menjayakan kempen ini.

 “Kempen derma darah yang bermula selepas berbuka dan solat terawih dijangka akan berakhir pada tengah malam berkenaan,” katanya. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 09-6278888/8807