Gambar: Farah Farina Mohmad Zali
Kedai Emas dan Permata Hajah Fatimah yang terletak di Jalan Banggol Kuala Terengganu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai khususnya kaum wanita ekoran harga emas turun menjelang musim perayaan aidilfitri tahun ini.
Tinjauan Teganukita ke kedai emas terbabit yang dimiliki Hajah Fatimah Abd Ghani dan diusahakan bersama suami dan anak-anaknya baru-baru ini, mendapati harga emas jenis 916 yang menjadi pilihan ramai wanita hanya RM129 untuk 1 gram, berbanding RM135 bagi 1 gram di kedai lain.
Anak pemiliknya, Mohd Faizal Yusof (gambar) berkata, disebabkan harga emas yang dijual di kedai ibunya jauh lebih murah berbanding kedai lain, ramai pelanggan memilih untuk membeli emas di kedai mereka.
"Walaupun harga emas di pasaran ada kalanya naik dan turun kami memilih untuk menawarkan harga yang berpatutan dengan kadar harga yang boleh dirunding.
"Disebabkan faktor sedemikian kemungkinan ramai pelanggan lebih gemar dan memilih untuk berurusan di kedai keluarga kami yang mula beroperasi sejak tujuh tahun yang lalu,”ujarnya kepada Teganukita.
Katanya, disebabkan harga emas yang turun kebetulan dengan bulan Ramadan kali ini, kira-kira 100 pelanggan setiap hari datang ke kedai ini bagi membeli atau melihatnya untuk digayakan pada hari raya tidak lama lagi.
Tambah beliau, sifat peramah mereka sekeluarga yang mudah mesra dengan pelanggan telah menarik kira-kira 5000 pelanggan tetap terdiri daripada penggemar emas bukan sahaja dari negeri ini malah termasuk dari luar Terengganu.
Katanya, selain emas Kedai Emas dan Permata Hajah Fatimah turut menjual, membeli dan menerima tempahan suasa, perak, permata serta surat pajak.
"Kami turut menyediakan perkhidmatan mencuci emas dengan harga yang bersesuaian,”ujarnya.
Katanya, rantai tangan atau gelang paling mendapat sambutan di kedai mereka yang dibuka pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum dari 9 hingga 6 petang.