Kerajaan memperkenalkan program 'Klik dengan Bijak' ke seluruh negara dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam diri setiap individu mengenai implikasi jika tersalah guna kemudahan internet.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari berkata kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memperluas program yang sudah dilaksanakan di lima negeri itu supaya mampu mendidik pengguna laman sesawang mengenai cara dan fungsi yang betul menggunakan kemudahan teknologi itu.
“Kesilapan menekan butang klik ketika mengakses internet boleh memberi kesan buruk kepada pengguna dan juga masyarakat keseluruhannya sebagaimana banyak laporan yang kita terima berhubung peningkatan isu penyalahgunaan laman sosial seperi blog dan Facebook.
"Seperti yang kita tahu, banyak kes dilaporkan membabitkan penggunaan blog dan Facebook jadi kita tekankan program ini bagi mendidik para pengguna," katanya kepada pemberita sempena program `Happy Iftar Ramadhan Bersama Perkaya dan Media, di Hotel Primula, Kaula Terengganu, kelmarin.
Turut hadir Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya), Dato’ Tengku Mahmud Mansur; Ketua Perhubungan Strategik DiGi Telecommunication Sdn Bhd, Encik Roslan Rosli dan Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat.
Hadir sama, 200 anak yatim Perkaya dan 30 pengamal media seluruh Terengganu yang diraikan di majlis itu.
Dato’ Jailani berkata penggunaan internet boleh diumpamakan seperti pisau pemotong sayur atau daging yang mampu memberi kesan dan risiko yang tidak boleh dijangka jika tidak berhati-hari serta disalahgunakan.
Sehingga kini, lima negeri yang sudah melaksanakan program tersebut iaitu Pulau Pinang, Sabah, Terengganu dan Johor.
“Program `Klik dengan Bijak’ ini mendapat sambutan baik apabila kita laksanakan dengan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan seperti bersama Kementerian Belia dan Sukan, PDRM, KPDNKK dan sebagainya.
"Penerimaan mereka Alhamdulillah, malah mereka mempunyai jadual untuk melaksanakan program kesedaran menggunakan internet. Dari situ, kita mengingatkan pengguna yang mengakses internet dalam setiap portal perlu berhati-hati dengan sentuhan yang kita klik. Kita perlu bertanggungjawab dan berfikirlah terlebih dahulu sebelum kita mahu klik internet," katanya.
Beliau mengingatkan orang ramai agar mengelak dan mengawal diri daripada mengakses internet yang tidak boleh menjejaskan sensitiviti dan budaya negara.